BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 18, 2012

[Video] Mythbusters Buktikan Jack Watak Titanic Boleh Diselamatkan Jika

Mythbusters Buktikan Jack Watak Titanic Boleh Diselamatkan Jika...

Perdebatan yang telah berlarutan sejak filem Titanic ditayangkan, iaitu adakah Rose membiarkan Jack mati dengan tidak "membenarkan" kekasihnya itu naik ke atas serpihan papan Titanic ketika mereka terapung di lautan?

Benarkah kedua-duanya akan tenggelam jika Jack naik ke atas serpihan papan tersebut? Bagi menjawab persoalan itu, siri televisyen AS, Mythbuster telah menjalankan satu siri ujian yang akhirnya membuktikan bahawa watak Jack lakonan Leonardo DiCaprio dapat diselamatkan jika dia naik ke atas serpihan kayu bersama-sama dengan kekasihnya Rose, lakonan Kate Winslet.

Dalam filem blockbuster tahun 1997 itu, watak Jack mati sebagai akibat hipotermia manakala Rose terselamat kerana berada di atas serpihan papan kapal Titanic.

Pasukan Mythbusters mendapati nyawa Jack dapat diselamatkan jika Rose membuka jaket keselamatannya dan meletakkan jaket itu di bawah serpihan kapal Titanic tempat dia dan Jack berpaut kerana hasil ujian membuktikan jaket itu dapat mengapungkan serpihan papan itu walaupun Jack dan Rose berada di atasnya.

Sebelum itu, Pengarah Titanic, James Cameron memberitahu Mythbusters bahawa beliau percaya serpihan papan itu tidak dapat mengapungkan Jack dan Rose.

Adam Savage dan Jamie Hyneman kemudiannya menjalankan ujian hipotermia untuk melihat perkara yang akan berlaku jika watak Jack berada di atas serpihan papan itu dalam keadaan kesejukan.

Boneka dengan daging gelatin dan sistem pemanas air tembaga kardiovaskular untuk memantau suhu badan telah digunakan untuk mensimulasikan keadaan watak Jack.

Suhu boneka itu ditetapkan pada 98.6 °F. Boneka itu kemudiannya dibiarkan terapung di atas air yang membeku pada suhu 29 ° F.

Selepas sejam, pasukan Mythbusters mendapati suhu badan boneka itu adalah 82.5 ° F. Bacaan suhu itu bermakna Jack akan hidup jika dia naik ke atas serpihan papan Titanic yang dipautnya. -DCM/DM