BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, November 08, 2012

Sanrio Hello Kitty Town dan The Little Big Club - TAMAN TEMA TERBARU

SELEPAS LEGOLAND, DUA TAMAN TEMA TERBARU DIBUKA 
DI MALAYSIA PADA TAHUN 2012
Sumber: HARIAN METRO

SANRIO Hello Kitty Town dan The Little Big Club akhirnya membuka pintu menerima kunjungan orang ramai.

Pembukaan dua taman tema ini adalah satu lagi tanda pencapaian besar Themed Attractions and Resort selepas Legoland Malaysia dibuka September lalu.

Sanrio Hello Kitty Town dan The Little Big Club terletak di Puteri Harbour, Nusajaya dan tidak jauh dari Legoland Malaysia.

Pengunjung kini boleh merasai sendiri pelbagai aktiviti yang ditawarkan dan berpeluang berinteraksi dengan watak-watak yang digemari dari Sanrio Hello Kitty Town dan The Little Big Club.

Pembukaan taman tema ini mencatat sejarah kerana inilah Sanrio Hello Kitty Town pertama di buka di luar Jepun dan mengumpulkan watak-watak dari The Little Big Club antaranya Bob the Builder, Barney, Anglina Ballerina, Pingu serta Thomas & Friends di bawah satu bumbung.

Pengunjung pastinya akan terhibur dengan persembahan khas, menunggang pelbagai permainan di taman tema dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dengan kakitangan taman tema yang mesra.

Selepas puas melakukan aktiviti menyeronokkan, pengunjung boleh menjamu selera dengan hidangan enak di The Red Bow Cafe, Cinnamaroll atau McBunn Cafe.

Bersempena dengan pembukaan itu, Sanrio Hello Kitty Town menerbangkan dua artis dari Jepun iaitu Kojima dan Tsukimori.

Kedua-dua artis berbakat itu akan mempamerkan kreativiti mereka dalam seni lukisan kertas dan kuku kepada pengunjung.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Themed Attractions and Resort Sdn Bhd, Burhanuddin Tunku Datuk Ahmad, berkata pihaknya sangat berbangga dengan pembukaan dua lagi tarikan di Puteri Harbour itu.

Beliau berkata, pembukaan Sanrio Hello Kitty Town dan The Little Big Club memberikan lebih banyak sebab untuk orang ramai menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga di Nusajaya.

“Kami komited menyediakan tarikan taman tema bertaraf dunia dan kedudukan Nusajaya sebagai kawasan riadah dan destinasi pelancongan.

“Kami juga akan membina dan menambah baik aktiviti di taman tema ini termasuk membawa dua artis terkenal dari Jepun,” katanya.

Pengunjung boleh menikmati keseronokan di Hello Kitty Carnival, dengan mencipta patung Hello Kitty sendiri atau menghias biskut Hello Kitty.

Pengunjung ke The Little Big Club boleh merasai pengalaman menghiburkan di Barney Beach Party, Thomas and Friends Bertie Bus Rides atau membina rumah dengan Bob The Builder.

Bagi menambah keriangan, taman tema itu menyediakan dua tiket untuk ke Sanrio Hello Kitty Town dan The Little Big Club yang dijual pada harga RM110 untuk pelancong asing dan RM85 untuk pemegang MyKad.

Layari www.playtime.com.my untuk maklumat lanjut mengenai taman tema terhebat itu.