BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 17, 2010

Permulaan Untuk Kebahagiaan Hidup

Hari ini ikan Betta saya sudah mula membiak. Anak-anak ikan Betta yang halus berenang-renang di dalam bekas khas. Saya menggunakan Liquifry yang dibeli dari United Kingdom untuk kegunaan bayi-bayi ikan Betta ini. Ibu ikan Betta telah pun diasingkan, kerana saya dapati ibu ikan Betta suka berpura-pura tidak dapat membezakan antara anak ikan Betta dengan makanan yang terapung-apung. Ikan-ikan Betta yang sebelum ini telah pun besar. Menjaga anak-anak ikan Betta dari kecil sehingga besar, memang mencabar. Antara ratusan ekor, cuma beberapa ekor sahaja yang berjaya membesar dengan baik.

Guru Terampil, Guru Tingkatan
Kisah Seorang Guru Yang Mencari Keredhaan Tuhan
Aku Mahu Hidup Sebagai Pendidik, Syahid Sebagai Murabbi
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Setiap hari, kehidupan aku sebagai seorang guru tingkatan semakin bahagia. Ada di antara anak-anak muridku sudah mula mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sekolah lain. Nampaknya dalam tempoh sebulan dua ini, bilangan anak-anak murid di dalam kelasku mungkin akan berkurangan satu demi satu.

Kerja sebagai guru tingkatan tidak kalah dengan kerja sebagai seorang kerani. Perlu menguruskan kewangan, kehadiran, keceriaan kelas,sistem maklumat murid, keputusan ujian bulanan dan sebagainya. Ditambah lagi dengan beban tugas lain seperti menanda buku, menyedia rekod pengajaran harian, merancang pengajaran, menyediakan bahan pengajaran, menangani masalah disiplin pelajar di dalam kelas, melakukan pemulihan dan lain-lain lagi tugas menyebabkan seorang guru tingkatan banyak kehabisan tenaga.

Walaupun kebahagiaan ini tampak mula berputik, namun, kesakitan yang aku alami tidak pernah menunjukkan tanda-tanda untuk pulih. Adakah orang lain mampu menanggung apa yang aku alami?

Kemudian Tuhan mengurniakan sesuatu kepadaku supaya aku lebih menghargai ketabahanku menghadapi penderitaan ini. Tuhan telah tunjukkan aku situasi yang menimpa seorang individu lain, mengalami kesakitan dan melalui keadaan yang seakan-akan apa yang aku alami. Didapati individu itu tidak tertahan melaluinya.

Ketika itu aku sedar, betapa Tuhan telah mengurniakan aku, kekuatan dalaman yang jauh mengatasi manusia lain. Rupa-rupanya penderitaan yang aku alami, bukan mampu ditanggung oleh manusia biasa. Aku menanggung beban yang lebih selama ini, yang menyebabkan aku terpaksa melalui kehidupan ini dengan agak berlainan dengan orang lain. Tidak sekadar kesakitan, tetapi juga ubat-ubatan yang diambil. Aku memberikan individu tersebut salah satu makanan yang membantu mengurangkan penderitaan hidupku, dan ternyata dia tidak mampu untuk menelannya. Tersangat pahit. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskannya. Ketika itu aku semakin sedar, kasih sayang Tuhan kepadaku. Tuhan menjadikan aku mampu melalui sesuatu yang tidak mampu dilalui oleh orang lain. Aku tidak mengkritik atau mengeluarkan komen terhadap individu tersebut. Kerana aku tahu, tidak ada perkara yang perlu diperbesar-besarkan. Aku masih mampu ketawa, berlari, bermain pelbagai permainan sukan biarpun dalam keadaan kesakitan yang terus-menerus menyerangku.

Kesakitan ini menyebabkan suaraku sering tersangkut di kerongkong. Aku bercakap dalam keadaan aku menahan kesakitan. Jika orang lain mungkin sudah gila, meraung atau menjerit, atau merintih tidak tahan menanggung penderitaan seperti ini. Kadangkala aku berpeluh-peluh menahan kesakitan dan orang akan mengatakan aku berpeluh kerana aku sihat. Bukan mudah untuk bercakap dengan suara yang kuat di dalam kelas, pada masa yang sama aku harus mengendalikan kesakitan sepanjang masa. Aku tidak mengambil apa-apa pil atau ubat penahan sakit kerana aku mahu melindungi ingatanku supaya aku boleh terus mengingati banyak ilmu pengetahuan dan konsep untuk diajar kepada anak-anak muridku. Oleh itu aku mesti terus menahan sakit yang tidak pernah reda ini, biarpun semasa sedang tidur.

Semua ini menjadi rahsia hidupku. Rahsia yang tidak ada sesiapa pun tahu. Aku bijak mengalihkan fakta tentang kesakitan yang aku alami. Aku meletakkan banyak peraturan untuk diri aku sendiri selama ini, kerana dengan peraturan-peraturan inilah aku akan dapat meneruskan hidup. Sekali-sekala keadaan ini membuatkan aku kelihatan agak 'lone ranger'. Namun, ini adalah perkara yang terbaik daripada memohon belas kasihan orang lain supaya bersimpati denganku. Tidak ada sesiapa pun sedar bahawa aku sentiasa menahan kesakitan. Aku kelihatan kuat, dan mungkin tegap di mata orang lain. Aku kelihatan ceria dan mungkin aktif di mata orang lain. Aku boleh tersenyum dan ketawa, berjenaka dan mengambil berat tentang orang lain dalam masa yang sama aku menahan kesakitan. Dan aku boleh menaip kisah aku di sini dalam keadaan kesakitan yang sedang menyerang, seolah-olah aku tidak sakit. Betapa hebatnya kurniaan Tuhan. Semoga suatu hari nanti, kesakitan ini akan hilang juga, sama ada dengan kematianku, atau dengan penyembuhan.

Aku tidak suka meminta-minta. Aku tidak suka bergantung kepada orang lain. Apa yang mahu, aku akan usahakan sendiri. Jika aku tidak tahu, aku akan belajar, bertanya atau mencari maklumat mengenainya. Ini adalah prinsip hidup aku.

Namun Tuhan sentiasa tahu keperluanku, setiap hari Tuhan permudahkan segala keperluan harianku. Tuhan memberikan aku kemudahan untuk mendapatkan tempat tinggal, dan sebagainya. Betapa sayangnya Tuhan kepadaku.

Sayang sekali, aku pun bukan benar-benar mampu untuk membalas kebaikan Tuhan kepadaku. Sekali lagi aku terdengar bisikan ke jiwaku:

"Dan Tuhan telah berikan kau ilmu, kepada siapa ilmu itu akan kau sebarkan? Dan Tuhan meminta kamu bersembahyang lima waktu, maka setiap kali kau menunaikannya, maka setiap kali itu juga engkau mendapat keredhaan Tuhan."

Mengingati kebaikan Tuhan kepadaku, menyebabkan aku cuba menyempurnakan kekuranganku sebagai seorang guru dengan lebih baik. Tuhan tidak suka melihat manusia menjadi lupa daratan, tidak tahu mengenang budi dan jasa. Maka aku harus mendidik manusia supaya ingat asal-usul mereka, dan belajar mengenang budi dan jasa.

Setiap hari Tuhan menabur budi kepada manusia, menyayangi manusia. Aku pula sekadar manusia. Bukan seorang nabi, bukan seorang rasul. Aku yakin Tuhan akan sentiasa membantu aku untuk mendidik manusia. Aku tahu Tuhan akan membantu aku membentuk diri aku daripada seorang yang tidak matang kepada lebih matang.

Dengan ini, aku harus meneruskan perjuanganku untuk mengubah kehidupan. Mengajar manusia erti kebaikan. Mengajar manusia untuk melakukan sesuatu kerana Tuhan dan bukan semata-mata kerana kepentingan diri. Mengajar manusia untuk tidak memperalatkan manusia lain untuk kepentingan diri. Mengajar manusia untuk sentiasa mengutamakan kebajikan.

Adalah silap untuk kita melakukan kebajikan, tetapi pada masa yang sama kita tidak menyedarkan orang yang kita bantu, tentang kepentingan menghargai bantuan dan melakukan kebajikan. Jika kita sekadar melakukan kebajikan tanpa mengajar manusia tentang erti mengenang budi dan membalas jasa. Kita sekadar menyuap manusia itu seperti seekor binatang.

Jika anjing akan menurut dan mengekori orang yang suka memberinya makanan, manusia pula suka mendampingi seseorang atas nama persaudaraan dan keikhlasan. Bukan kerana harta atau kelebihan yang lebih bersifat duniawi.

Hati aku semakin tenang kini. Aku pernah dianiayai anak murid sendiri, aku pernah dilaga-lagakan oleh anak murid sendiri dengan guru-guru yang lain. Namun Tuhan melindungi aku, dengan kasih sayang-Nya. Kesemua usaha murid yang derhaka itu, murid yang pernah aku didik dengan kasih sayang itu, digagalkan. Kerana Tuhan tahu, setiap teguran dan tindakan yang aku buat ke atas anak-anak murid aku, adalah kerana aku mengasihi mereka, dan aku tidak mahu mereka mengambil sesuatu yang bukan hak mereka, dan kerana aku tidak mahu mereka mementingkan diri mereka ketika mereka sudah memiliki kemewahan sedangkan masih ada pelajar-pelajar lain yang sangat-sangat memerlukan wang dan bantuan.

Dan aku sedar, ketegasan aku terhadap murid aku dalam hal-hal berkenaan kebajikan manusia, mungkin akan mengurangkan populariti aku sebagai seorang guru. Ada pelajar mendakwa mereka layak mendapat biasiswa, sedangkan mereka tinggal di rumah besar, memiliki playstation, kereta, syarikat perniagaan, mampu naik kapal terbang dan lain-lain.

Ada pula pelajar yang tinggal di rumah tanpa bekalan elektrik sendiri. Rumah yang sesak, tidak ada kemudahan belajar. Persekitaran yang panas. Malah sanggup menolong ibu bapa di tengah panas menjaja minuman. Pelajar yang seperti ini sepatutnya lebih layak menerima bantuan.

Aku tersenyum, kerana aku sedar, sebagai seorang guru, yang aku cari bukan populariti tetapi keredhaan Tuhan. Aku tersenyum, kerana aku telah melakukan sesuatu yang betul. Tidak ada gunanya seorang guru itu disukai pelajar kerana guru itu tidak tegas, tidak menegur pelajar atas kesilapannya, tidak mengambil tindakan atau memberi muka kepada pelajar. Seorang guru mestilah tegas, berani mengambil tindakan disiplin, berani menegur pelajar kerana kesilapannya dan sudah semestinya tindakan-tindakan wajar seorang guru seperti itu tidak akan disenangi pelajar. Aku tidak peduli lagi semua itu. Aku cuma mahu melakukan apa seorang guru yang patut lakukan. Tegas. Aku tidak lagi bersimpati melihat pelajar disebat atau dirotan kerana kesalahan mereka. Sebaliknya aku terus berdoa kepada Tuhan, agar mengampuni aku sekiranya aku ada melakukan kesalahan atau kecuaian, dan aku memohon kepada Tuhan agar pelajar-pelajar yang dihukum itu sedar akan salah dan silapnya.

Aku akan terus membetulkan apa-apa yang silap selagi aku mampu, kerana inilah perjuanganku. Soal-soal melibatkan biasiswa, bantuan kerajaan sangat sensitif. Kerana aku tidak mahu bantuan diberikan kepada orang yang salah. Tidak malukah seseorang itu menerima bantuan kerajaan, sedangkan ada lagi orang yang satu hari hendak makan pun susah. Umpama orang celik dipimpin tangannya melintas jalan, sedangkan orang buta dibiarkan terkial-kial melintas jalan seorang diri.

Gunakan logik akal dan perikemanusiaan. Ada pelajar yang tidak cemerlang kerana masalah pembelajaran yang serius. Terpaksa menolong ibu bapa untuk mencari nafkah hidup. Kerana mereka miskin, tidak dibesarkan dalam lingkungan intelektual, otak mereka tidak terdedah dengan pengetahuan-pengetahuan tentang peluang kewangan dan kejayaan, maka mereka terus berada dalam kerugian.

Sebagai seorang guru, aku akan cuba memberi pendedahan seperti ini kepada para pelajar. Supaya mereka tidak menyalahkan status keluarga mereka, lalu berputus asa dan menganggap tidak ada orang akan mempedulikan keluarga mereka. Guru juga mampu memberi pendedahan kepada pelajar mereka tentang peluang-peluang untuk meringankan beban keluarga. Setiap hari aku mencuba membuka peluang ini. Aku tidak mahu melihat anak-anak yang mahu belajar, menjadi mangsa kebodohan ibu bapa. Benar, ibu bapa sesetengah pelajar memang betul-betul bodoh. Jika mereka bijak, sudah tentu anak-anak mereka mempunyai kemudahan yang baik untuk belajar. Jika mereka bijak, sudah tentu anak-anak mereka berpeluang merebut bantuan-bantuan kerajaan.

Namun aku tertarik dengan seorang ibu. Ibu ini gajinya tak sampai satu ribu sebulan. Namun dia mampu menguruskan kewangan keluarganya dengan cukup baik. Semasa meneliti jumlah pendapatan seisi keluarganya, aku bertanya dan berbincang dengan ibu tersebut tentang bantuan kerajaan.

Ibu berkenaan berkata, kalau boleh biarlah diberikan kepada anak orang yang lebih layak. Ibu berkenaan berkata, dia takut jika wang yang diterimanya nanti tidak mendatangkan keberkatan kepada anaknya, kerana mungkin ada orang lain yang lebih layak, tetapi tidak berpeluang mendapatkannya kerana bantuan tersebut direbut olehnya. Aku juga mendapat tahu, anak-anak ibu miskin tersebut kini semuanya berjaya memasuki universiti. Ternyata ibu tersebut bukan sebarang ibu, beliau adalah ibu yang bijak menguruskan kewangan keluarga selain prihatin dengan soal-soal kebajikan orang yang lebih miskin. Semoga hidupnya dirahmati Tuhan.

Ibu itu juga mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang pernah mendidik anak-anaknya. Jasa seorang guru, sampai mati pun tidak akan dapat dibalas. Guru adalah ibu bapa kedua bagi para pelajar. Guru adalah orang yang mengajar anak-anak orang lain sehingga bijak pandai, hingga anak itu mampu membalas jasa ibu bapa mereka, tetapi... tidak guru.

Adakah ada anak murid yang mahu menjaga guru-guru mereka yang telah tua? Anak-anak murid itu cuma akan kembali kepada ibu bapa mereka. Betapa besar, pengorbanan seorang guru.

Aku menjadi guru untuk mencari keredhaan Tuhan. Tugas guru bukan sekadar mengajar Matematik semata-mata, tetapi juga mengajar pelajar supaya tahu mengenang budi dan membalas jasa.