Guru Terampil Guru Tingkatan
Kali ini saya mahu mengubah tajuk novel novel saya kepada GTGT yang bermaksud Guru Terampil Guru Tingkatan. Saya tidak pasti bagaimana saya mendapat idea ini, tetapi saya yakin pengaruh manga Great Teacher Onizuka banyak mempengaruhi judul novel blog kali ini. Namun ternyata, jalan ceritanya jauh berbeza. Watak guru dalam novel blog ini bukan seorang ketua samseng lumba haram yang mengetuai 2000 orang pelumba haram yang lain. Watak guru di dalam novel ini adalah seorang guru yang mencari keredhaan Allah.
Guru Terampil, Guru Tingkatan
Kisah Seorang Guru Yang Mencari Keredhaan Tuhan
Aku Mahu Hidup Sebagai Pendidik, Syahid Sebagai Murabbi
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Kisah Seorang Guru Yang Mencari Keredhaan Tuhan
Aku Mahu Hidup Sebagai Pendidik, Syahid Sebagai Murabbi
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Tahun ini aku bukan sahaja mengajar Matematik, tetapi aku juga mengajar seni lukis. Masih ingat dalam kisah yang lalu, aku ada menceritakan tentang aku membeli peralatan melukis sekitar dua ke tiga bulan lebih awal sebelum aku mendapat tugasan sebagai seorang guru seni lukis? Ya, barangkali itu satu bentuk naluri. Barangkali itu juga satu bentuk doa. Apa pun yang berlaku, aku dapati, setiap kali aku terlintaskan sesuatu atau memohon sesuatu, pasti pada masa akan datang ia akan menjadi kenyataan. Betapa kasih dan sayang Allah kepada hamba-Nya, dia terlebih dahulu menjadi kekasih setiap manusia, sebelum manusia mengasihi-Nya.
Sejak sehari dua ini, aku diserang penyakit batuk yang agak berterusan. Aku yakin, ini berpunca daripada 'musuh' lamaku, iaitu kapur. Debu-debu kapur yang berterbangan ditiup angin sangat tidak menyenangku. Percikan darah mulai terasa membasahi rongga setiap kali aku batuk. Hari ini, suara aku sudah mulai serak.
Lupakan soal darah, lupakan soal batuk. Aku dimaklumkan mengenai pertukaran jadual waktu. Ada guru mengatakan, perubahan jadual waktu pengajaran secara besar-besaran ini mungkin akan menuntut perubahan kelas yang diajar. Barangkali ada guru yang akan berdepan dengan murid-murid yang baru. Aku tidak pasti. Apa pun yang berlaku, aku agak bimbang jika perubahan jadual ini akan mengganggu perancangan pengajaran yang kubuat sejak tahun lalu. Namun, aku berharap perubahan yang wujud tidak ketara.
Baru-baru ini seorang guru seni lukis yang berbangsa cina, menawarkan diri untuk mengambil alih subjek seni lukis yang aku ajar. Aku mengagumi semangat guru cina itu. Beliau guru senior dan berpengalaman dalam mengajar seni, dan baru bertukar ke sekolah ini. Oleh sebab itu, beliau belum mendapat jadual mengajar yang rasmi. Aku pula sekadar mendapat A dalam subjek seni lukis semasa di sekolah, menjuarai pertandingan melukis poster, kad raya dan selain menghasilkan grafik berkomputer, animasi tiga dimensi dan persembahan multimedia untuk peringkat negeri yang membantu aku untuk mengajar subjek seni lukis. Selain itu, aku cuma mengubah dan menyelaras pedagogi untuk subjek Matematik dan Komputer untuk mengajar seni. Pasti, ada perbezaan dari segi kesan dan hasil yang diajar oleh seorang guru yang berpengalaman dalam bidang seni lukis, yang turut memiliki kemahiran dan pedagogi dalam mengajar ilmu seni lukis.
Di sekolah, setiap kali aku mengajar tentang seni lukis dan seni visual, aku memanfaatkan tema berunsur kemanusiaan sebagai elemen utama. Pada siang tadi, aku mencatat sesuatu di papan putih. Memandangkan ramai pelajar yang belum mengaku usia mereka 15 tahun kerana belum mencecah usia 15 tahun, aku pun mencatatkan kata-kata berikut:
"Seorang anak yang hidup selama 14 tahun, takkanlah tidak ada walau satu pun jasa ibu/bapa yang masih segar dan jelas dalam ingatannya?"
Dan kemudian aku menambah, "Ibu atau bapa itu tidak semestinya ibu atau ayah kandung kamu. Mungkin mereka ialah ibu atau bapa angkat kamu. Orang yang menjadi penjaga kamu. Orang yang mendidik kamu. Orang yang mengasuh kamu. Jika kamu tidak ada ibu bapa dan kamu dijaga oleh kakak kamu, maka kakak kamu itulah ibu bapa kamu."
Pelajar-pelajar terdiam. Seorang pelajar mengatakan, "Cikgu, jangan buat saya menangis cikgu. Benda-benda macam ni akan buat saya menangis, Cikgu."
Aku tersenyum seketika. Sesungguhnya, aku tidak mahu melihat ada antara anak-anak muridku lupa akan jasa ibu bapa mereka. Aku tidak mahu melihat anak-anak murid aku lupa daratan, besar kepala dan tidak menghormati ibu bapa mereka, lantas mereka lupa apa tujuan mereka ke sekolah. Semua itu, aku tidak mahu ada di dalam jiwa, setiap penghuni sekolah ini.
Sementara itu, hari ini aku rasa bersyukur kerana setiap kelas tingkatan empat yang aku ajar Matematik, berjaya memahami apa yang aku ajar dengan mudah, tidak kira kelas corot atau kelas agak ke hadapan. Malah boleh dikatakan dua daripada tiga kelas yang aku ajar, ada sebilangan pelajarnya bertepuk tangan di dalam kelas kerana berasa puas hati dan gembira dapat memahami apa yang aku ajar. Aku juga bersyukur kerana ini bukan pertama kali tepukan-tepukan kejayaan menghiasi aktiviti di dalam kelas. Sebenarnya aku seorang yang sangat bimbang jika anak-anak muridku tidak memahami apa yang aku ajar. Oleh sebab itu setiap komen yang aku terima akan menjadi begitu sensitif buatku. Ia akan membuatkan aku memburu kesempurnaan dalam teknik mengajarku. Dan dendam, dendam kerana aku tidak suka melihat kecacatan dalam hasil pengajaranku. Aku mementingkan kefahaman konsep dalam apa yang aku ajar.
Keseronokan mengajar di dalam kelas, membuatkan aku lupa seketika tentang pertukaran jadual waktu mengajar yang dikatakan akan berlaku secara besar-besaran. Hinggalah ada beberapa orang pelajar kelas Matematikku yang bertanya kepadaku:
"Cikgu, selepas dapat jadual baru nanti, Cikgu akan mengajar kelas kami lagikah?"
Aku tidak pasti.
"Cikgu, kalau boleh, kami mahu cikgu mengajar kelas kami lagi. Seronok belajar dengan cikgu. Cikgu ajar memang best."
Aku tidak memberi sebarang komentar. Walau bagaimana pun, kepercayaan seperti ini membuatkan aku hilang letih untuk seketika. Debu-debu kapur sebenarnya telah melemahkan badan aku. Debu-debu kapur pernah menjadi 'musuh' aku dahulu yang menyebabkan aku diserang batuk tanpa henti, sistem imunisasi badan menjadi lemah dan badanku juga menjadi cepat letih sekitar satu dekad yang lalu.
Kini aku mengalaminya lagi. Adakah kerana aku kepenatan menjalankan tugas sebagai guru tingkatan, atau kerana sebab tekanan dan trauma yang masih menghantui aku sehingga kini? Tekanan dan trauma, kerana sejak minggu lalu, sudah ada beberapa orang pelajar yang meminta aku untuk mengadakan tuisyen Matematik untuk mereka.
Aku terbatuk. Dada aku terasa sakit. Bau hanyir darah mula menguasai kerongkong. 'Musuh' lama menyerang terlalu awal. Aku menanti saat yang sesuai untuk menjalani pembedahan. Tetapi bukan sekarang. Oleh itu, aku harus menanggung kesakitan ini untuk beberapa bulan lagi.
Mungkin aku akan terlupa tentang pembedahan itu, dan lalu, adakah aku akan syahid sebagai murabbi? Tuhanku, aku rasa aku masih terlalu jauh daripada mendapat keredhaan-Mu. Masih banyak perkara yang aku harus perbaiki, sebelum aku menemui-Mu. Andai ditakdirkan aku tidak dapat memiliki apa yang aku hajati semasa di dunia ini, maka janganlah di akhirat nanti, aku dijauhi daripada rahmat-Mu. Allah, Tuhanku, dekatkanlah hatiku kepada-Mu, dan aku mohon kepada-Mu, bagi hembusan nafasku yang terakhir nanti, adalah kunci untuk aku berada dekat dengan-Mu di syurga-Mu.
Sesungguhnya Engkaulah, Tuhanku, yang Maha Mengetahui, lagi Maha Mengasihi.
|