BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Januari 18, 2010

Seorang Guru Yang Sunyi

Kisah anak buang bapa tiba-tiba menjadi isu di media massa. Saya percaya isu ini timbul sebagai satu akibat daripada pemikiran manusia yang lebih mengutamakan akademik berbanding kemanusiaan. Saya berharap, novel blog yang saya tulis ini sedikit-sebanyak dapat membuka pemikiran para pembaca mengenai sifat-sifat kemanusiaan yang semakin terhakis dalam diri manusia. Saya dapati sesetengah manusia hari ini lebih suka mengutamakan diri atau menyelamatkan diri sendiri berbanding kebajikan. Novel blog saya hari ini mengisahkan hal ini.

Guru Terampil, Guru Tingkatan
Kisah Seorang Guru Yang Mencari Keredhaan Tuhan
Aku Mahu Hidup Sebagai Pendidik, Syahid Sebagai Murabbi
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Sebagai seorang guru, aku sangat sensitif dengan isu-isu melibatkan kebajikan pelajar miskin. Baru-baru ini ada seorang bapa pelajar menyalahkan seorang guru kerana menggunakan buku teks sebagai bahan bantu mengajar. Bapa itu meminta guru tersebut menggunakan buku-buku rujukan yang lebih baik di pasaran untuk digunakan di dalam kelas.

Aku menganggap bapa pelajar tersebut sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri dan keluarga sendiri. Adakah dia lupa, ramai lagi pelajar miskin yang tidak mampu membeli buku-buku rujukan sendiri? Apa gunanya kerajaan menyediakan skim pinjaman buku teks percuma untuk semua pelajar warganegara Malaysia jika buku teks yang dipinjamkan secara percuma itu tidak digunakan langsung. Alangkah bagusnya kalau bapa pelajar itu, yang kaya, datang ke sekolah sambil membeli secukupnya buku-buku rujukan lalu meminta guru tersebut mengagihkan buku-buku tersebut untuk kegunaan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Bercakap soal pelajar miskin, selagi lagi isu biasiswa terlintas di kepalaku. Ada pelajar di sekolah aku yang keluarganya menyewa di rumah besar, ibu bapanya bekerja sebagai tauke kafeteria, dan pelajar ini sendiri mampu memiliki telefon bimbit, permainan video playstation, kereta dan motosikal. Namun, pelajar ini tetap diberikan biasiswa kerana dianggap cemerlang di sekolah.

Dahulu, aku tidak tahu pelajar ini anak kepada tauke restoran. Aku cuma mengetahui daripada dirinya bahawa dia ialah pelajar miskin. Kerana dia bersungguh-sungguh mahu belajar denganku, maka aku telah mengambilnya sebagai anak murid. Kemudian, setelah aku mengenalinya dengan lebih dalam, barulah aku tahu, pelajar ini bukan anak orang miskin. Dia memiliki telefon bimbit, dan beberapa kemudahan yang mewah.

Pada mulanya aku gembira apabila pelajar ini menerima biasiswa kecil persekutuan. Namun setelah aku menyemak syarat-syarat penerimaan biasiswa, barulah aku tahu, rupa-rupanya biasiswa ini mengutamakan pelajar miskin. Lantas aku mengemukakan pendapatku kepada pelajar ini. Aku meminta dia mempertimbangkan keputusannya untuk menerima biasiswa ini kerana bimbang jika dia mengambil sesuatu yang bukan haknya.

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menganugerahkan penghadiahan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persediaan Universiti (BKPU) kepada pelajar sekolah menengah yang menunjukkan prestasi akademik, kokurikulum dan sukan yang cemerlang tetapi terdiri daripada pelajar-pelajar yang berlatarbelakangkan pendapatan isi rumah kurang dari RM1,000.00 sebulan.

Inilah kenyataan yang menyebabkan aku bertindak mengeluarkan pendapat tersebut. Kepada pelajar tersebut, aku tidak pernah memaksa dia supaya menolak biasiswa tersebut, tetapi aku cuma meminta dia mempertimbangkan tentang hal biasiswa tersebut.

Niat aku pada ketika itu, adalah untuk melatih pelajar tersebut supaya belajar untuk berfikir tentang orang lain yang kurang bernasib baik. Ini kerana ada ramai lagi pelajar yang lebih layak untuk menerima bantuan tersebut. Sayang sekali, kebanyakan pelajar miskin mempunyai sifat rasa rendah diri dan diabaikan. Mereka seolah-olah berpendapat, oleh kerana mereka miskin, maka mereka tidak diberi perhatian sewajarnya dan diabaikan.

Soal kebajikan adalah perkara yang sangat penting. Jurang miskin dan kaya akan semakin berterusan jika soal kebajikan diabaikan. Semasa di universiti aku pernah menganjurkan banyak program-program khusus untuk keluarga berpendapatan rendah. Ini kerana aku percaya, anak-anak orang miskin juga mampu cemerlang jika diberi perhatian. Hasil kejayaan program itu memang membanggakan, apabila ada pelajar miskin yang berjaya mendapat banyak A dalam peperiksaan seperti UPSR dan PMR. Contohnya 5A, 4A 1B dan sebagainya.

Oleh kerana itu, aku meminta pelajar tersebut mempertimbangkan hal ini. Apa yang aku bimbangkan ialah sekiranya penerimaan biasiswa oleh pelajar tersebut menutup peluang pelajar lain yang lebih layak.

Hari ini, seorang pelajar di kelasku tidak hadir lagi. Sebelum ini aku dimaklumkan bahawa pelajar ini sering tidak hadir ke sekolah kerana membantu bapanya menjaja untuk menyara hidup. Masalah kehadiran pelajar ini sangat serius.

Hari ini, aku menghubungi pihak KPM untuk bertanyakan tentang kes pelajar seperti ini. Pelajar miskin yang kematian ibu, terpaksa membantu bapanya menjaja untuk menyara hidup, dan memiliki masalah kehadiran yang serius. Adakah pelajar ini mempunyai peluang untuk meneruskan persekolahan? Nama pelajar ini sering berputar-putar di pemikiranku. Aku hampir-hampir menemui jalan mati untuk membantu pelajar ini.

Nampaknya, aku harus meneruskan tuisyen percuma dengan lebih giat lagi selepas ini, untuk membantu pelajar-pelajar miskin ini cemerlang dalam akademik dan seterusnya mendapat peluang untuk membantu mengurangkan beban ibu bapa mereka menerusi penerimaan biasiswa.

BKP adalah untuk pelajar yang berpendapatan di bawah satu ribu ringgit, dan ramai pelajar di kelasku berpendapatan di bawah seribu. Program Booster Matematik yang aku cipta adalah bertujuan untuk ini. Maka tidak hairanlah jika aku mengajar menggunakan strategi pantas untuk membolehkan pelajar memahami konsep dengan mudah dan pantas.

Pelajar di kelasku belajar dengan kadar yang lebih pantas berbanding kelas lain, kerana aku mahu mengutamakan latihan konsep tidak lama lagi. Peringkat janaan akan dilalui oleh para pelajarku tidak lama lagi, dan ini menuntut usaha dan kerajinan mereka sendiri.

Aku bertegas kepada murid-muridku supaya aktif dalam aktiviti sekolah selain akademik. Aku juga meminta para pelajarku supaya menjaga kelakuan dan disiplin mereka di sekolah dengan harapan mereka yang merupakan golongan pelajar berpendapatan rendah ini mampu mendapatkan biasiswa dan seterusnya mengurangkan beban ibu bapa mereka.

Namun itu semua tidak cukup. Aku harus mengajar pelajar-pelajar ini supaya berfikir tentang perkara-perkara melibatkan kemanusiaan seperti membalas jasa, mengenang budi, melakukan kebajikan dan lain-lain perkara yang diredhai Allah.

Ini supaya mereka tidak besar kepala, lupa daratan, biadab dan sesat pada kemudian hari. Semua ini menjadikan aku, umpama lilin yang cair, yang semakin haus sumbunya.

Aku memohon kepada-Mu Tuhan, supaya berikan aku kekuatan, kebolehan, pengetahuan, kebijaksanaan dan hati yang suci untuk meneruskan perjuangan ini. Setiap kali aku melihat adanya penindasan, kemiskinan dan kesusahan yang melanda umat manusia, tidak kira apa bangsa sekali pun, hatiku terusik, sayu.

Kadangkala ada pelajar yang menyakiti hatiku berkali-kali, biadab dan engkar, tetapi ketahuilah, aku amat menyayangi mereka dan ingin melihat mereka berubah. Bagiku, kecemerlangan dalam akademik adalah sia-sia sekiranya mereka, para pelajar ini tidak pandai menghormati guru, mengenang budi dan membalas jasa.

Sebagai guru, aku menyedari, pentingnya ada pelapis pada masa akan datang untuk terus mengekalkan kebajikan, keamanan dan kemajuan tamadun bangsa. Tugas guru tidak berakhir di sekolah semata-mata. Guru adalah ibu bapa kedua bagi para pelajar. Inloco parentus.

Aku menyayangi anak-anak muridku, lebih daripada mereka mengetahuinya. Dan aku menyayangi, mengasihi dan bersimpati terhadap ibu bapa anak-anak muridku, lebih daripada mereka mengetahuinya. Hubungan rapat yang wujud antara aku dengan ibu bapa pelajar, memudahkan aku untuk mengenali dan seterusnya membimbing anak-anak muridku ini.

Jika pelajar-pelajar aku mengetahui aku menulis catatan ini, maka ketahuilah... aku amat menyayangi anak-anak muridku. Sayang sekali, mustahil aku mendedahkan identitiku di sini. Jadi tulisan aku di sini, cuma aku sahaja yang tahu.
"Kaum guru dan pensyarah ialah orang yang mendidik saya sehingga saya mampu membalas jasa ibu bapa saya, tetapi bila dan bagaimana pula saya mahu membalas jasa guru-guru dan pensyarah-pensyarah saya?" - Amiene Rev.