BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 03, 2010

Sajak Syurga Syaitan

Syurga Syaitan
Karya: Amiene Rev (C) 2009


Jika kamu menyangka
dirimu sudah sempurna
sudah boleh masuk ke syurga
pada malamnya

dan kamu melihat kenderaan
mengusungmu pergi ke syurga
kamu melihat pelayan syurga
rupa parasnya baik-baik
madu dan makanan yang enak-enak

lalu kamu asyik dalam kenikmatan
dan sehingga subuh
kamu lalai
kamu menyangka syurga sudah memilih kamu
menjadi penghuninya

lalu cuba sekali ini kamu ucapkan
tiga kali:
Tidak ada daya dan kekuatan kecuali Allah yang Maha Mulia lagi Maha Perkasa

dan kamu lihat semua pelayan
yang baik paras rupanya
robek wajahnya
kusut masai rambutnya
berlari lintang pukang
kerana takutkan kalimat Allah
yang baru kamu sebut

lalu percayakah kamu
selama ini
katil syurga yang menjadi
tempat kamu bertelentang
menjamu nafsumu
adalah tulang-belulang
dan kotoran
yang memperbodohkan kamu
yang menyangka diri kamu
sudah sempurna?