Aku Mahu Hidup Sebagai Pendidik, Syahid Sebagai Murabbi
Kali ini saya akan melakukan sedikit perubahan dalam jalan cerita Catatan Seorang Guru Matematik, Guru ICTL, Guru Pendidikan Seni Visual dan Guru Tingkatan. sebenarnya judulnya yang panjang ini sangat menimbulkan rasa kurang senang di hati saya.
Tujuan saya menulis novel ini tidak lain dan tidak bukan untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada diri saya sendiri dan kepada para pembaca mengenai peranan seorang guru. Percaya atau tidak, hubungan saya dengan guru-guru saya sangat rapat, walaupun ketika saya di sekolah tadika. Tidak kira semasa di tadika, di sekolah rendah, di sekolah menengah atau pun di universiti, hubungan saya dengan orang yang pernah mendidik saya, sangat rapat. Malah sehingga kini, nama saya masih diingati oleh para pensyarah dan guru-guru yang pernah mengajar saya. Kerana gurulah, orang yang mendidik saya sehingga menjadi saya pada hari ini yang mampu membalas jasa ibu bapa saya. Tetapi bilakah pula saya mahu membalas jasa guru-guru saya?
Tujuan saya menulis novel ini tidak lain dan tidak bukan untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada diri saya sendiri dan kepada para pembaca mengenai peranan seorang guru. Percaya atau tidak, hubungan saya dengan guru-guru saya sangat rapat, walaupun ketika saya di sekolah tadika. Tidak kira semasa di tadika, di sekolah rendah, di sekolah menengah atau pun di universiti, hubungan saya dengan orang yang pernah mendidik saya, sangat rapat. Malah sehingga kini, nama saya masih diingati oleh para pensyarah dan guru-guru yang pernah mengajar saya. Kerana gurulah, orang yang mendidik saya sehingga menjadi saya pada hari ini yang mampu membalas jasa ibu bapa saya. Tetapi bilakah pula saya mahu membalas jasa guru-guru saya?
"Kaum guru dan pensyarah ialah orang yang mendidik saya sehingga mampu membalas jasa ibu bapa saya, tetapi bila dan bagaimana pula saya mahu membalas jasa guru-guru dan pensyarah-pensyarah saya?" - Amiene Rev.Maka novel ini pada asalnya ditulis dengan harapan untuk menceritakan kepada para pembaca mengenai betapa besarnya jasa guru, dan betapa tersirat derita seorang guru dalam mendidik anak muridnya. Ini adalah cerita rekaan semata-mata, dan bagi semua e-mel yang bertanya kenapa cerita ini seperti cerita betul, maka ketahuilah, saya menulis cerita ini daripada isi hati saya sendiri. Terima kasih di atas maklum balas yang hebat! Maaf kerana saya tidak mampu membalas semua kiriman e-mel. Dan terima kasih atas sokongan moral yang diberikan. Jika watak di dalam cerita ini betul-betul wujud, watak tersebut sudah tentu berterima kasih kepada anda juga. Kali ini, judulnya telah diubah menjadi seperti berikut:
Kisah Seorang Guru Yang Mencari Keredhaan Tuhan
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Cuaca pada waktu tengah hari cukup panas. Aku menghantar pulang seorang pelajar yang kebetulan merupakan anak muridku ke rumah. Kami tinggal sekampung dan rumah kami berjiran. Oleh itu saya rasa tidak ada masalah jika saya menghantarnya pulang kerana kami sememangnya berjiran.
Sebenarnya, setiap kali aku menghantar anak muridku pulang, aku akan mengambil peluang ini untuk menyatakan sesuatu yang baik-baik. Tentang menghormati guru, tentang ibu bapa, tentang masa depan, tentang persaudaraan, tentang memberi sumbangan bermakna kepada bangsa dan sebagainya.
Aku juga memberitahu anak muridku ini mengenai Projek Mahir Matematik yang aku cipta khusus untuk pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam matematik. Aku mencadangkan pelajar ini mengambil bahagian.
Sebenarnya, terdapat perubahan dalam Projek Mahir Matematik yang telah aku lakukan kali ini. Aku ingin menyuntik unsur-unsur kemanusiaan. Ini kerana aku tidak mahu tragedi lama berulang lagi. Sakit dada aku setiap kali aku mengenangkan kekesalan silam. Sebak dan kecewa menguasai diri. Aku tidak mahu ada lagi kisah sedih seperti kisah aku mendidik pelajar yang pernah membalas budi dengan tuba pada tahun lalu.
Perasaan dimalukan di depan ibu bapa, diherdik di depan kawan-kawannya masih terasa hingga kini. Sesungguhnya aku betul-betul perlukan tempat untuk mengadu, kerana setiap kali aku mengenangkan kisah sedih tersebut, badanku akan menjadi lemah dan aku semakin mudah jatuh sakit. Apabila aku jatuh sakit, aku pasti tidak akan dapat menjalankan tugas dengan baik, maka sebab itu aku mesti memulakan hidup baru. Bayangkan betapa deritanya menanggung kesakitan fizikal di bahagian dada. Seolah-olah bengkak, sesak nafas, kebas, sejuk yang tajam menikam dan bagai dihimpit dan ditukul dengan sesuatu yang berat. Tulang belakang terasa lenguh dan hati, paru-paru serta jantung bagai dihiris-hiris kerana perasaan sedih, sebak dan kecewa yang masih berterusan sehingga kini. Juga ketakutan, trauma, kebimbangan dan kemurungan yang sering mengundang air mata. Inilah kecederaan emosi yang telah aku alami sejak berbulan-bulan lalu angkara disakiti oleh pelajar yang pernah aku tolong dengan sepenuh daya kira-kira setengah tahun lalu. Bagaikan seorang ibu atau bapa yang membesarkan anaknya, kemudian ditendang dan disepak terajang oleh anaknya sendiri selepas anak itu besar dan kuat. Begitulah perit kesakitan yang aku alami. Kini, aku masih cuba untuk mengubati kecederaan emosi ini. Sesungguhnya aku masih menyayangi pelajar tersebut sebagaimana aku menyayangi pelajar lain, kerana akulah antara guru yang pernah mendidiknya. Dan aku pernah mendidiknya seolah-olah aku mendidik anak kandung sendiri. Aku tidak pasti bila aku akan sembuh daripada kecederaan emosi seperti ini. Barangkali selepas pelajar tersebut benar-benar berubah. Atau mungkin selepas aku mati.
Aku sendiri tidak tahu kenapa aku suka mengambil berat tentang pelajar-pelajar aku. Barangkali, kerana guru-guru dan pensyarah-pensyarah pun dahulu pernah begitu mengambil berat tentang diri aku. Aku pernah dilabelkan sebagai anak emas guru, dan anak emas pensyarah. Aku tidak tahu kenapa, tetapi aku tidak pernah berpura-pura atau hipokrit. Aku menjadi diriku sendiri. Aku tidak tahu bagaimana menjadi orang lain, aku tidak tahu berlakon, aku tidak tahu menyamar, aku tidak tahu berilusi. Aku adalah aku, aku sentiasa cuba berubah, aku sentiasa bimbang dan risau, jika aku tidak dapat melakukan lebih baik daripada sebelumnya. Aku sayang guru-guru dan para pensyarahku. Aku cuma tahu menjadi diri aku sendiri.
Mungkin benar, aku lebih sesuai menjadi pensyarah berbanding guru. Ini kerana sebagai guru yang berdepan dengan budak-budak, aku sentiasa dirundung perasaan bimbang dan mahu mengambil berat. Jika aku menjadi pensyarah, aku tidak perlu lagi menjaga mahasiswa universiti seperti anak-anak, kerana mahasiswa universiti terdiri daripada golongan yang sudah dianggap dewasa dan boleh berdikari serta pandai menguruskan diri sendiri. Mungkin aku patut mempertimbangkan pilihan kerjaya yang baru suatu hari nanti.
Apabila mengingati diri aku yang mula bergelar seorang guru pada usia 17 tahun, aku terasa sayang untuk meninggalkan status seorang guru. Pertama kali aku menjadi guru, adalah pada usia 17 tahun, dan niat aku ketika itu adalah untuk mengembangkan saham pahala guru-guru yang pernah mengajarku sehingga menjadi Pelajar Terbaik SPM pada suatu ketika dahulu.
Walaupun aku memegang banyak jawatan penting di sekolah, dan sering digelar Pelajar Mithali, tetapi aku tetap tidak mahu berlagak di depan guru. Sehingga kini, setiap kali aku pulang ke kampung, aku akan pergi ke sekolah atau jika aku tidak pulang ke kampung, aku akan ke universiti, menjenguk para pendidik di sana. Sehingga kini aku masih menghubungi guru-guru di sekolah dan para pensyarah di universiti.
Niat aku cuma satu, aku mahu membalas jasa guru-guru dan para pensyarah di universiti dengan memberikan mereka pelaburan akhirat. Aku mahu guru-guru dan para pensyarah yang pernah mengajar aku memiliki status yang tinggi di akhirat kelak.
Aku juga mahu membalas jasa ibu bapaku. Setiap kali aku berdoa, aku akan meminta agar usia ibu bapaku dipanjangkan sehingga melebihi usiaku, dan aku meminta agar mereka berdua sentiasa diberikan kesihatan seperti orang muda. Aku juga meminta agar mereka jangan mati sebelum aku mati, kerana aku mahu ibu bapaku merasai hasil yang pernah mereka jaga sejak kecil. Aku mahu ibu dan bapaku dapat merasai nikmat kejayaanku.
Sebenarnya... aku sendiri pun tidak pasti, sama ada apa yang aku lakukan setakat ini sudah cukup untuk membalas jasa ibu bapa, guru-guru dan para pensyarah yang pernah mengajarku. Aku rasa budi yang aku tabur untuk membalas jasa mereka semua, tidak pernah cukup. Oleh itu, aku akan berbudi sebagai pendidik sepanjang hayatku.
Aku mahu hidup sebagai pendidik, dan syahid sebagai murabbi. Ini, adalah perjuanganku. Dan aku tahu, aku masih jauh daripada matlamat perjuanganku. Masih banyak perkara yang perlu aku pelajari.
|