Surat Buat Semua Blogger Malaysia
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Blogger-blogger Malaysia,
Saya akan berada dalam keadaan sibuk buat beberapa waktu. Mungkin sehingga akhir bulan Disember atau sehingga tahun hadapan. Sebelum ini, apabila saya muncul dengan identiti pengkritik blog, apa yang ingin saya tegur selama ini ialah bagaimana kita sebagai warganegara Malaysia, berusaha untuk mengagung-agungkan bahasa bangsa kita.
Tidak salah jika mahu menggunakan bahasa asing, namun apabila menulis blog, ingin saya seru semua warganegara Malaysia supaya cuba sedaya upaya menggunakan ejaan yang betul. Kita sama-sama masih belajar, saya juga masih berusaha memperbaiki penulisan saya dalam Bahasa Melayu.
Sebelum saya melabuhkan tirai, mahu saya tinggalkan pesanan-pesanan terakhir saya buat semua pembaca dan rakyat Malaysia yang disayangi.
Renung-renungkan kata-kata ini:
"Manusia itu dikatakan sombong apabila tidak mahu berbicara, bergaul, memandang dan menghormati manusia yang lainnya. Melayu pula dikatakan sombong apabila tidak mahu berbicara, menulis dan mengeja Bahasa Melayu dengan betul."
"Jika seorang Melayu, apabila diminta menulis dalam Bahasa Melayu, lalu dia rasa begitu berat hati, tertekan, bosan, hilang kebebasan untuk mengisi masa lapang, (maka jika sekecil pengorbanan itu pun tidak dapat dilakukan) bagaimana dia berani mengaku dia adalah seorang Melayu?"
"Blogger-blogger berbangsa Melayu kita mempunyai banyak peluang untuk berlatih menulis dalam Bahasa Melayu pada masa lapang, iaitu ketika mengisi ruang-ruang di dalam blog mereka. Namun, berapa ramai di kalangan kita yang berusaha merebut peluang ini? Pelajar-pelajar yang menulis blog, seharusnya lebih berjaya dalam subjek Bahasa Melayu sekiranya mereka pandai merebut peluang ini."
"Tidak kira apa sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Asing, apabila menulis blog, hormatilah bahasa itu (menerusi ejaan yang betul). Boleh dimaafkan apabila ejaan sesuatu bahasa itu diringkaskan ketika menulis di ruang-ruang yang terhad seperti di dalam SMS (Sistem Pesanan Ringkas) dan Shoutbox (Kotak Mesej), namun apabila menulis blog, adakah kalian masih berkira-kira untuk menulis dalam ejaan yang betul?"
"Tidak ada seorang pun daripada kita yang dapat lari dari membuat kesilapan. Namun niat dan usaha itu penting, jika ada salah dan silap, maka kita harus cuba perbaiki. Bahasa Melayu, apabila semakin kerap digunakan, maka akan semakin faham. Apabila semakin faham, maka semakin mudah sesuatu konflik dan permasalahan itu diselesaikan. Ketahuilah, bahasa itu adalah pengantara, yang membantu dalam kefahaman ilmu dan penyelesaian masalah. Fahami maksudnya, fahami fungsinya setiap istilah itu. Maka bangsa Melayu kita akan berdaya menghadapi apa jua cabaran pada masa akan datang. Kesatuan itu amat penting, Bahasa Melayu itu merupakan salah satu elemen penting yang berupaya mengukuhkan ikatan bangsa kita, tidak kira agama, kaum dan budaya."
"Kekuatan muktamad bangsa Malaysia akan dapat dilihat apabila Bahasa Melayu itu digunakan dengan secara menyeluruh dan sempurna."
Sekian, saya akan menulis lagi apabila masa mengizinkan. Sampai jumpa lagi.
Yang menyayangi kalian (sekalian warganegara Malaysia),
Amiene Rev.
16 November 2006.
|