Ombak Rindu Yang Sangat Menyentuh Hati
Ombak Rindu - Filem Drama Mengasyikkan
Ulasan Oleh Amiene Rev
Para pelakon: Aaron Aziz (Hariz), Maya Karin (Izzah), Lisa Surihani (Mila Amylia)
Saya pasti peminat-peminat setia dan tegar novel Ombak Rindu pasti sudah menonton filem Ombak Rindu. Walaupun mereka sudah tahu jalan ceritanya, namun apa yang mereka ingin lihat ialah bagaimana imaginasi mereka tentang Izzah dan Hariz direalisasikan ke dalam bentuk visual, bentuk video atau filem. Tulisan saya ini mengandungi jalan cerita filem Ombak Rindu dari mula sehingga tamat, namun sebagai seorang pemerhati filem, saya tidak pernah menganggap pendedahan jalan cerita ini sebagai spoiler. Ini kerana sebagai pemerhati filem, saya menikmati sesuatu filem itu bukan kerana mahukan kejutan kerana tidak tahu jalan ceritanya, tetapi kerana hasil pembikinan filem tersebut dari segi lakonan, dialog, visual dan runut bunyi untuk menyampaikan jalan cerita. Saya mendapat keseronokan menonton filem kerana seni dan tekniknya, bukan kerana terhibur. Oleh itu kepada mana-mana pembaca yang tidak mahu 'spoiler' maka mungkin tulisan saya ini tidak begitu sesuai untuk anda. Namun bagi pembaca novel Ombak Rindu, saya sedia maklum, mereka sudah tahu jalan ceritanya. Jalan cerita awalnya mungkin tidak sama dengan sinopsis Ombak Rindu versi novel.
Naskah novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari, sememangnya sebuah karya yang mampu mengusik jiwa. Dalam novel Ombak Rindu, emak saudara Izzah digambarkan sebagai seorang antagonis, namun di dalam filem Ombak Rindu, emak saudara Izzah digambarkan sebagai seorang yang baik. Izzah, merupakan seorang gadis, seorang ustazah, seorang anak yatim piatu bernama Izzah yang sering dizalimi oleh pakciknya, telah dijual ke sebuah pusat pelacuran. Daripada seorang ustazah bertudung menutup aurat, Izzah telah dibawa ke jalan hina. Pada malam pertama Izzah dinodai, adalah detik pertemuannya dengan lelaki yang bernama Hariz, yang kemudiannya telah menyelamat Izzah dari dunia pelacuran dan menjadikan Izzah sebagai perempuan simpanan. Izzah walau bagaimana pun enggan menjalinkan hubungan sulit dengan Hariz melainkan secara halal.
Hariz menyedari bahawa Izzah sememangnya bukan perempuan murahan yang hina, yang sanggup menjual dan membenarkan mana-mana lelaki menyentuh badannya. Hariz juga sedar Izzah seorang yang kuat pegangan agamanya. Oleh itu, Hariz telah membawa Izzah bernikah di Siam, dan kemudian barulah mereka berdua dapat bersama sebagai pasangan suami isteri.
Hariz yang memiliki sifat yang ganas sebenarnya memiliki hati yang baik. Lama-kelamaan cinta Hariz terhadap Izzah mula muncul, dan untuk selama dua tahun, mereka berdua dapat mengecapi kehidupan yang bahagia. Kemudian, kehadiran Mila Amylia yang merupakan kekasih lama Hariz, telah menggugat cinta antara Hariz dan Izzah. Tanpa mengetahui bahawa Izzah adalah perempuan yang dicintai oleh Hariz, Mila Amylia telah menjadi kawan baik Izzah, dan pada masa yang sama telah menjadikan Izzah sebagai tempat meluahkan perasaan sedihnya kerana Hariz tidak mencintainya. Izzah merahsiakan kisah dirinya sebagai isteri pertama Hariz daripada pengetahuan Mila Amylia, dan menanggung derita sendiri.
Namun kisah cinta Izzah dan Hariz akhirnya terbongkar juga. Mila Amylia tidak mampu menyalahkan Izzah, kerana sebelum ini, Hariz pernah memberitahu hasratnya untuk tidak mahu berkahwin dengan Mila, dan telah memberitahu Mila bahawa dia sudah memiliki wanita lain di hatinya. Namun kedegilan Mila untuk melangsungkan perkahwinan dengan Hariz, ditambah lagi dengan sokongan ibu bapa Hariz, menyebabkan Hariz tidak ada pilihan selain berkahwin dengan Mila. Malah Hariz juga selama ini tidak pernah mencintai Mila, Mila cuma seorang gadis yang mahu dijodohkan kepadanya sebagai tanda ikatan dua keluarga yang masing-masing mewakil satu syarikat gergasi yang besar. Malah, tujuan perkahwinan Hariz dan Mila sebenanya adalah bertujuan untuk mengukuhkan perniagaan ibu bapa Hariz dan Mila.
Datin Sufiah yang mengetahui kehadiran Izzah yang telah menyebabkan Hariz tidak mahu berkahwin dengan Mila, telah memfitnah Izzah dan menyebabkan Hariz untuk seketika, membenci Izzah. Namun, Hariz dikejutkan oleh satu berita benar, bahawa beliau sebenarnya bukan anak kandung Datin Sufiah. Malah, Hariz juga akhirnya mengetahui bahawa Datin Sufiah telah memfitnah Izzah. Hariz kembali mendapatkan Izzah.
Di kampung, selepas berpisah dengan Hariz, Izzah meneruskan pekerjaannya sebagai seorang ustazah. Hariz yang telah menyesal, kembali mendapatkan Izzah. Pada masa yang sama, Mila Amylia mengekori Hariz dan bersemuka secara baik dengan Izzah. Mila sedar bahawa dia yang telah merampas Hariz dari Izzah. Mila tidak mahu terus hidup bermadu. Mila meminta secara baik kepada Hariz untuk menceraikannya. Akhirnya, Mila dan Hariz hidup bahagia bersama. Mila pula telah berjaya menjadi seorang pelakon terkenah yang memenangi banyak anugerah.
Filem Ombak Rindu dibintangi oleh ramai pelakon hebat. Maya Karin, Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Malah barisan pelakon pembantunya juga hebat-hebat belaka. Zaidi Omar, Blon Palare, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan dan Julia Ziegler juga dikenali sebagai pelakon drama yang hebat. Kemunculan gandingan pelakon hebat, ditambah lagi dengan skrip yang diolah daripada sebuah novel popular, menghasilkan sebuah karya hebat.
Watak Izzah yang dilakonkan oleh Maya Karin memiliki kekuatan. Filem Ombak Rindu mengingatkan saya kepada drama Nur Kasih, di mana terdapatnya watak perempuan beriman, dan lelaki yang ganas tetapi memiliki kemuliaan dalam hatinya. Formula ini telah bertahun-tahun membantu menghasilkan karya yang digemari di pasaran. Namun Ombak Rindu muncul jauh lebih awal berbanding berbanding Nur Kasih. Malah, Ombak Rindu kini diulang cetak untuk kali ke 19. Ternyata Ombak Rindu bukan sebarangan karya, ia merupakan sebuah karya yang dicintai dan disanjung. Ada segelintir pembaca yang mengakui novel ini telah hilang dari simpanan mereka (sama ada dipinjam oleh orang lain dan tidak dipulang-pulang sampai kini), dan mereka mahu membelinya semula. Ini menunjukkan karya Ombak Rindu ini merupakan sebuah karya yang berpengaruh.
Sebuah novel yang hebat, mesti disokong oleh gandingan para pelakon yang hebat, supaya filemnya mampu setanding dengan karya asalnya. Sebab jika filem yang terkemudian dilahirkan itu gagal menandingi karya asalnya, maka para peminat setia novel tersebut pasti akan mengkritik filem itu habis-habisan. Mana-mana pengarah atau penerbit filem yang gagal memahami kenyataan ini, sekiranya mereka menghasilkan filem dengan cara paksa atau tidak sensitif, maka karya yang terkemudian itu akan binasa di pasaran layar perak.
Sebuah filem hebat yang dihasilkan dari karya hebat, tetapi tanpa pelakon yang hebat, akan musnah. Ketelitian penerbit dan pengarah filem Ombak Rindu dalam memilih pelakon, akhirnya telah menjamin keselamatan filem ini daripada kemusnahan, Ucapan tahniah, harus diberikan kepada kedua-duanya.
Sesekali ada juga kecacatan dari aspek fokus visual, di mana ada
sesetengah watak utama kelihatan kabur, seolah-olah tersalah titik
fokusnya. Saya tidak pasti sama ada ini disengajakan atau tidak, namun
sejujurnya saya menyatakan, hal ini, salah fokus, sedikit sebanyak ada
mengganggu penghayatan, tetapi kesalahannya adalah agak kecil.
Filem Ombak Rindu mengusik jiwa saya sepanjang perjalanan ceritanya. Lagu tema, biarpun diulang-ulang tetapi itulah jiwa filem ini. Sebuah filem sukar dihayati sepenuh hati jika lagu temanya tidak asli. Geseran violin menambahkan lagi kesayuan dalam filem ini. Ombak dan pemandangan indah, serta visual yang menarik menghidupkan filem ini dari aspek seni. Filem Ombak Rindu muncul sebagai satu lagi karya seni yang seronok untuk dihayati.
Fakta Filem Ombak Rindu
Pengarah : Osman Ali
Penerbit : Sharad Sharan
Pengarang : Fauziah Ashari
Suntingan : Affandi Jamaludin
Mula tayangan : 1 Disember 2011
Negara : Bendera Malaysia Malaysia
Bahasa : Bahasa Melayu
Perbelanjaan : RM 1.56 juta
Penerbit : Sharad Sharan
Pengarang : Fauziah Ashari
Suntingan : Affandi Jamaludin
Mula tayangan : 1 Disember 2011
Negara : Bendera Malaysia Malaysia
Bahasa : Bahasa Melayu
Perbelanjaan : RM 1.56 juta
Watak utama
Aaron Aziz sebagai Hariz
Maya Karin sebagai Izzah
Lisa Surihani sebagai Mila Amylia
Bront Palarae sebagai Mail
Watak pembantu
Julia Ziegler sebagai Wafiah
Azizah Mahzan sebagai Datuk Sufiah
Zaidi Omar sebagai Pak Dollah
Normah Damanhuri sebagai Mak Jah
Aaron Aziz sebagai Hariz
Maya Karin sebagai Izzah
Lisa Surihani sebagai Mila Amylia
Bront Palarae sebagai Mail
Watak pembantu
Julia Ziegler sebagai Wafiah
Azizah Mahzan sebagai Datuk Sufiah
Zaidi Omar sebagai Pak Dollah
Normah Damanhuri sebagai Mak Jah
|