BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Disember 04, 2011

Bahasa SMS Simbolik Kemalasan Orang Melayu?

Bahasa SMS Simbolik Kemalasan Orang Melayu?
Bahasa SMS, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
Hadir rasa Amiene Rev (C) 2011

Pada permulaannya Malaysia ini merupakan tanah agung untuk Bahasa Melayu, yang juga diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan - Bahasa Malaysia. Malaysia wujud selepas era penjajahan British berakhir, dan pada ketika itu orang-orang Melayu di serata negara, di seluruh pelusuk negeri, bahagia menuturkan bahasa ibunda mereka. Hal ini walau bagaimana pun, cuma mampu berlanjutan selama hampir setengah abad sahaja.

Ancaman baru kini, Bahasa SMS, perosak bahasa, parasit yang meracuni darah daging dan jati diri anak bangsa. Seluruh dunia digegarkan dengan Bahasa SMS. Seluruh dunia siber juga  turut digegarkan dengan Bahasa SMS. Teks-teks ringkas dengan ejaan-ejaan yang cuma mewakili maksud, pada akhirnya bukan sahaja telah merebak keluar dari dunia telefon bimbit ke dunia penulisan di bangku sekolah, malah kini telah mencemari tesis-tesis di peringkat universiti dan sarjana muda! Betapa kuatnya pengaruh Bahasa SMS ini.

Anak-anak generasi baru, begitu malas untuk menggunakan ejaan, begitu gopoh dan tidak sabar untuk menyatakan isi hati dan suara mereka. Mereka lantas melangkah bendul peradaban dan kehormatan, lalu melompat dan menyergah masyarakat dengan bahasa SMS. Tidak perlu tulis panjang-panjang, pedulikan susunan huruf dan ejaan, yang penting bagi mereka ini, adalah orang ramai faham apa yang mereka ingin katakan. Mereka tidak perlu faham orang lain!

Sememangnya padan sikap anak-anak generasi baru ini dengan sistem makan suap, di mana cuma guru-guru yang jauh lebih penat berusaha dan memberikan gred markah kepada mereka, tanpa perlu mereka bersusah payah untuk mendapatkan kecemerlangan akademik untuk diri mereka dan keluarga mereka.

Bahasa SMS adalah bukti nyata, bahawa anak-anak hari ini semakin malas berusaha, semakin individualistik, hanya berusaha jika sesuatu itu memberi makna keuntungan pada diri mereka sahaja.  Tidak ada lagi anak-anak generasi muda yang mahu memikul beban kemasyarakatan, tidak ada lagi anak-anak generasi muda hari ini yang mahu menjadi pejuang bangsa. Jika benar kenyataan ini, maka sudah nyata, bahawa dunia bangsa Malaysia kita ini, sudah berada di penghujung zaman.

Apakah nasib kita semua pada ketika kita telah muncul sebagai orang-orang tua, yang berdepan dengan perkhidmatan dan layanan anak-anak muda di serata ceruk pekerjaan yang gunanya untuk melayan kita, manusia, bangsa Malaysia sebagai pelanggan? Adakah pada ketika itu sistem layan diri akan mula menguasai sektor-sektor kehidupan kita? Ini satu persoalan yang sudah mula boleh dipanaskan enjinnya dalam pemikiran kita, tentang masa depan kita, tentang masa depan negara kita.

Apakah jenis bangsa Malaysia yang akan muncul pada kemudian hari? Dunia masa depan kita, mungkin akan menjadi padang pasir yang tandus. Kita ketandusan pelapis kepimpinan Kita kekurangan orang-orang muda yang mempunyai kesedaran untuk memperjuangkan bahasa kita. Bahasa melambangkan bangsa.

Baru-baru ini satu usaha untuk meluaskan semula penggunaan bahasa Melayu kita ke seluruh Asia Tenggara. Ini satu langkah yang perlu dilaksanakan pada sekitar dasawarsa ini. Kita adalah generasi terkini, dan kitalah yang akan menentukan sama ada Bahasa Melayu merangkap Bahasa Malaysia ini, akan terus berkembang dan digunakan dengan penuh kedaulatan dan kehormatan.

Mari, berjuang demi bangsa. Mari, mulakan perjuangan ini, dengan Bahasa Ibunda kita. 

Bagaimana jika pada esok hari, blog Duke Amiene Rev ini ditulis dalam Bahasa Inggeris? Seringkali apabila ada orang menulis dalam Bahasa Inggeris, mungkin akan ada orang yang bukan Inggeris mahu menunjuk kepandaian menegur jika ada kesilapan ejaan atau tatabahasa bagi perkataan-perkataan atau struktur ayat yang ditulis itu. Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu? Beribu-ribu dan mungkin berjuta-juta orang dengan sengaja menggunakan ejaan-ejaan yang salah dalam perkataan-perkataan Bahasa Melayu, tetapi tidak ada seorang pun cuba menunjuk pandai untuk membetulkannya? Oh, dunia. Betapa agungnya bahasa asing pada minda mereka, betapa hinanya bahasa ibunda pada mata mereka.

Adakah ini tandanya kemajuan bangsa? Bangsa maju, bahasa tergadai. Ini bukan sesuatu yang kita mahu saksikan.

Bahasa SMS digunakan di Twitter? Itu barangkali, satu cerita yang lain.