Surat Pembaca - Atasi Lurus Bendul
Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.
Surat Pembaca: Bakal Pendidik Selalu Dipermain-mainkan Orang.
Saya merupakan bakal pendidik. Masalah saya, saya senang digula-gulakan oleh orang lain. Bagi saya menipu adalah tindakan yang salah. Oleh itu, saya terlalu bersikap jujur dan menganggap orang di sekeliling saya juga jujur seperti saya. Baru-baru ini saya didatangi oleh kanak-kanak yang beraya di rumah. Kanak-kanak tersebut bijak dan petah berbicara. Malangnya, mereka telah mempermainkan saya dengan menipu identiti mereka. Tapi akhirnya rakannya yang lain memberitahu saya yang rakannya itu hanya mereka-reka cerita kepada saya. Saya sangat sedih apabila menyedari saya telah tertipu. Mungkin disebabkan saya ni lurus bendul. Bukan sekali dua saya terkena, bahkan banyak kali. Saya sebelum ini adalah seorang yang periang tetapi disebabkan kejadian tersebut, saya sering murung. Disebabkan itu, saya terlalu rendah diri dengan kawan-kawan yang lain. Untuk pengetahuan tuan,saya merupakan anak bongsu dan manja.
Nadiyah
Jawapan Amiene Rev: Usah Ambil Berat Perkara Yang Kurang Penting.
Salam, Nadiyah. Saya dapati yang mempermain-mainkan saudari cumalah sekumpulan kanak-kanak yang masih belum matang dan belum bijak berfikir. Dalam menilai benar atau palsu bagi satu-satu maklumat, kita tidak boleh bulat-bulat menerima dan menilai berdasarkan pendapat satu pihak sahaja. Saudari perlu membiasakan diri untuk menyiasat kebenaran sesuatu fakta. Untuk mengatasi sikap lurus bendul, saya cadangkan agar saudari berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak mempercayai apa-apa yang orang kata. Berfikir sebelum berbuat, adalah jalan terbaik untuk mengatasi lurus bendul. Lurus bendul biasanya berlaku kerana didalangi tabiat malas berfikir. Galakkan diri berfikir sebelum bertindak, pasti saudari tidak akan lagi dipermain-mainkan orang. Semoga panduan yang saya berikan ini dapat membantu saudari dalam kehidupan saudari.
Yang benar,
AMIENE REV
ANDA ADA MASALAH? Duke Amiene Rev: Pos Masalah Anda - Borang
|