Surat Pembaca - Terperangkap Dalam Cinta Nafsu Kronik
Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Nama yang disiarkan juga adalah nama samaran, berdasarkan kehendak pengirim surat.
Surat Pembaca: Terperangkap Dengan Cinta Berlandaskan Nafsu
Saya Era berasal dari KL. Saya berumur 20 tahun tetapi saya rasa saya banyak masalah. Hal ini bersangkut-paut dengan perasaan saya. Saya merupakan seorang yang setia tetapi pasangan yang saya dapat hampir semuanya milik orang. Saya pun tak tahu kenapa saya acap kali dipertemukan dengan orang yang macam itu. Saya juga sudah melakukan kesilapan dalam hidup. Saya sangat mudah percaya kepada lelaki sehingga saya pernah terlanjur banyak kali. Bukan dengan seorang lelaki tetapi dengan ramai lelaki. Saya sendiri keliru tentang apa sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup. Saya kini sudah menyambung pelajaran saya di peringat ijazah tetapi itu semmua tidak memberi apa-apa makna kepada saya.
Kini saya berpasangan dengan lelaki yang kaki perempuan. Saya sudah kenal dia sejak 4 tahun lepas dengan dia juga saya sudah terlanjur tetapi saya mula rasa diperbodohkan oleh dia. Saya pun tak tahu bagaimana saya boleh terpikat dengannya dan kini saya mahu melupakannya tetapi tidak tahu bagaimana caranya kerana kami terlalu banyak kenangan. Tolonglah bantu saya kerana hal ini saya rasa saya banyak buang masa.
Era Syirochan
Jawapan Amiene Rev: Bercinta Hendaklah Kerana Allah
Daripada apa yang Era tuliskan di atas, saya dapati kesilapan yang jelas berlaku dalam percintaan Era adalah disebabkan cinta berlandaskan nafsu. Ini dapat dijelaskan berdasarkan kekerapan keterlanjuran dalam hubungan bagi setiap hubungan cinta yang saudari telah jalinkan, sebagaimana yang dimaklumkan oleh saudari sendiri.
Dalam hidup ini, kita mesti ada matlamat. Tanpa matlamat, hidup kita terumbang-ambing. Saya cadangkan kepada saudari agar menetapkan matlamat untuk hidup mencari keredhaan Allah. Terlalu banyak dosa yang telah dilakukan. Ingatlah, cinta kerana nafsu tidak akan membawa saudari ke mana-mana. Cuba saudari lihat kembali bagaimana kambing, kerbau, ayam, itik, monyet dan sebagainya menjalani kehidupan mereka. Hidup mereka dipenuhi dengan mengikut kehendak nafsu semata-mata. Kita sebagai manusia yang berakal, hendaklah mengutamakan akal dan fitrah hidup sebagai seorang manusia Muslim.
Kembalilah ke jalan Allah. Dikatakan, perempuan yang jahat akan dipasangkan dengan lelaki yang jahat juga. Jika saudari tidak mahu berpasangan dengan lelaki yang jahat, kaki perempuan yang suka hidup dalam noda dan dosa, maka saudari hendaklah bertaubat dan kemudian mengikut jalan yang diredhai Allah. Apabila saudari telah menjadi seorang yang baik dan beriman, maka lelaki yang akan mendekati saudari juga biasanya adalah orang yang beriman juga.
Semoga saudari akan kembali berbahagia, dan kembali ke jalan yang benar.
Yang benar,
AMIENE REV
|