BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Disember 24, 2011

Surat Pembaca - Mahu Tips Pembelajaran Berkesan

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul.

Surat Pembaca - Sukar Memahami Konsep Sains SPM

Salam. Saya sedang menghadapi kesukaran dalam meemahami dan menjawab dengan betul dengan subjek SPM terutama sains. Setiap hari saya mencuba memahami dan apabila menjawab dalam peperiksaan, saya rasa blank dalam melihat soalan seolah-olah saya tak pernah jumpa soalan tu. Saya tak berapa faham macam mana nak memahami sesuatu konsep dalam tajuk subjek. Saya juga tidak dapat mengingat dalam jangka masa yang panjang walaupun hampir setiap hari saya telah mengulanginya. Bantulah saya. Saya menduduki SPM tidak lama lagi. Saya mahukan sesuatu perubahan dalam pembelajaran saya.
Mata Pelajaran:
Bahasa Melayu B+
Bahasa Inggeris C+
Mathematics D
Fizik E
Biologi E
Kimia E
Pendidikan Syariah Islamiah C+
Pendidikan Quran Sunnah B+
Bahasa Arab Tinggi D
Sejarah B
Additional Mathemathics E
ERM,TERUK BUKAN??? Sila bantu saya dalam pembelajaran berkesan. Terima kasih.

Nurul AYS @ Sumaiyyah


Jawapan Amiene Rev: Jadikan Berfikir dan Mengingat Sebagai Tabiat - Elakkan Tabiat Menghafal
Salam kembali. Berdasarkan subjek-subjek elektif SPM yang saudari ambil, saya anggap saudari sebenarnya merupakan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Subjek-subjek yang saudari ambil selalunya diambil oleh pelajar-pelajar yang cemerlang dalam PMR.

Berdasarkan keputusan peperiksaan saudari, saya beranggapan bahawa saudari lebih cenderung dalam hafalan dan lemah dalam kecerdasan logik Matematik. Saudari mungkin lebih cenderung menghafal, dan apabila mengulangkaji pelajaran, saudari juga menghafal langkah-langkah untuk menjawab soalan peperiksaan dan bukannya menghayati.

Saudari Sumaiyyah, hafal dan faham adalah dua perkara berbeza. Memahami kemudian mengingati apa yang difahami adalah langkah yang bijak. Saya sendiri tidak faham bagaimana saudari boleh mengambil subjek-subjek aliran Sains Tulen. Namun, jika dilihat secara keseluruhan, subjek-subjek menghafal pun rendah juga.

Perkara seperti ini biasanya jarang berlaku. Saya duga saudari mungkin sibuk dengan aktiviti-aktiviti selain akademik, menyebabkan saudari tidak sempat atau tidak mempunyai cukup masa untuk mengulangkaji pelajaran. Mungkin juga fokus pembelajaran saudari sering terganggu dengan urusan-urusan bukan akademik.

Menjaga hati guru adalah perkara penting bagi seorang pelajar. Apabila guru redha dengan pelajarnya, maka berkatlah ilmu yang diajarnya. Apabila meminta atau bertanya sesuatu soalan kepada guru, hendaklah menggunakan ayat-ayat yang bersopan.

Faktor yang lain lagi adalah faktor pemakanan. Ada makanan yang boleh melemahkan daya berfikir dan mengingat seperti kepala ikan, makanan masam dan makanan yang telah dipijak semut. Ada makanan yang boleh menguatkan daya ingatan dan kecerdasan berfikir seperti kurma, kismis, madu dan susu.

Pembelajaran berkesan di dalam kelas bermula dengan daya tumpuan di dalam kelas. Kegagalan memberi tumpuan kepada para pelajar di dalam kelas adalah musibah yang nyata kepada para pelajar untuk menguasai peperiksaan.

Saudari juga ada menyatakan bahawa pemikiran saudari kosong apabila saudari melihat soalan peperiksaan seperti tidak pernah berjumpa soalan itu. Memanglah saudari tidak pernah berjumpa dengan soalan itu kerana soalan peperiksaan tahun ini tidak akan sama dengan soalan tahun lepas. Lainlah kalau soalan bocor.

Oleh itu, saudari mestilah berusaha untuk mengubah tabiat menghafal kepada tabiat berfikir. Tingkatkan daya berfikir dengan banyak berfikir. Kefahaman saudari akan semakin meningkat.

Selamat berjaya!

Yang benar,
AMIENE REV