BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Jun 26, 2010

Taman Rahsia Di Norwich - Rahsia Gadis Ayu

Seperti yang diceritakan sebelum ini, langit yang cerah tidak seindah yang disangka. Di satu tempat di Earlham Road, seorang gadis menangis teresak-esak. Di situlah, di hujung taman bergelar Plantation Garden, satu rahsia mula tercipta.



"Ketika itu, aku melihat seorang budak lelaki keseorangan, namanya Jimmy. Anak kepada seorang hartawan yang agak ternama di Norwich." Gadis Ayu pun memulakan kisahnya.

"Aku lantas menegurnya, tetapi Jimmy berlagak sombong denganku. Aku berasa amat kecil hati, namun aku terus cuba menarik perhatiannya."

"Kemudian... tiba-tiba datang beberapa orang berpakaian serba hitam dan berambut keemasan datang berjalan perlahan-lahan. Dapatkah kau duga, apa yang berlaku selepas itu, Amiene Rev?"

-o-

Melihat kemunculan tujuh orang lelaki berpakaian serba hitam itu, Jimmy tiba-tiba melarikan diri. Si Gadis Ayu lantas mengekori Jimmy tanpa mengetahui bahaya yang bakal menimpanya.

"Tuan Muda, berhenti! Jangan lari lagi!"

Jimmy, si anak hartawan tiba-tiba berhenti.

"Tuan Muda, Tuan Besar mengarahkan kami mencari Tuan Muda. Mohon, Tuan Muda ikut kami pulang."

Jimmy menyedari dirinya telah terperangkap. Sekumpulan tujuh orang lelaki itu telah berjaya mengepungnya. Si Gadis Ayu terpinga-pinga.

"Dan siapa pula kamu ini, budak perempuan?"

Beberapa orang daripada lelaki-lelaki bertujuh itu pun terus mendekati Gadis Ayu.

"Barangkali, angkara kamu ini, menyebabkan Tuan Muda tidak mahu pulang dan menyusahkan kami."

Si Gadis Ayu berasa amat takut. Dia tidak menyangka, kini dirinya pula dipersalahkan. Si Gadis Ayu berasa amat takut, dan mula menangis teresak-esak apabila melihat lelaki-lelaki berbaju hitam berwajah garang mula mendekatinya.

"Tunggu! Jika kamu semua mempengapakan budak perempuan itu, kamu semua pasti akan dihukum oleh ayahku!"

Lelaki-lelaki bertujuh tidak berani bertindak. Budak lelaki itu pun berjalan perlahan-lahan ke arah Gadis Ayu.

"Budak perempuan ini akan mengikut aku, pulang!"

Semua lelaki berbaju hitam yang ada di situ, saling berpandangan.

"By the way, my name is, Jimmy."

Pap!

Gadis Ayu yang masih takut dan terkejut, tiba-tiba secara tidak sengaja menampar Jimmy dan terus melarikan diri. Semua lelaki berbaju hitam tersentak. Tuan Muda mereka telah disakiti oleh seorang gadis yang tidak dikenali.