BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Jun 22, 2010

Taman Rahsia Di Norwich - Bersiar-siar Dengan Si Gadis Ayu

Langit cerah tak seindah yang disangka. Suatu hari Gadis Ayu meninggalkan rumah tamu, dan pergi ke Jalan Theater. Dia mengajak aku dan adiknya berjalan-jalan mengelilingi bandar.

Sampai saja di Royal Theater, kami menaiki bas dua tingkat berwarna merah. Kata gadis ayu, hari ini kami akan bersiar-siar melihat keindahan Norwich.

Kami berhenti di Plantation Garden, sebuah taman rahsia di Earlham Road. Menariknya di sini, tidak ada seekor pun anjing kelihatan. Gadis Ayu memberitahu aku, di sini, tidak ada sesiapa pun dibenarkan membawa anjing ke mari.

Di beberapa tempat, kelihatan beberapa pekebun yang agak berusia begitu tekun dan khusyuk menjaga bunga-bunga dan tumbuh-tumbuhan. Kata Gadis Ayu, kebanyakan pekerja di situ tidak dibayar upah, mereka sukarela datang menjaga keindahan alam.

Indahnya budi pekerti penduduk Norwich. Demi kecantikan alam, mereka sudi berkorban tenaga untuk memeliharanya. Jauh bezanya dengan di sesetengah tempat di Malaysia, begitu banyak sampah-sarap bertaburan, sedangkan rata-rata mereka adalah bergelar Muslim. Inikah namanya kebersihan separuh daripada iman? Renung-renungkan.

Terdapat kolam teratai dengan ikan-ikan merah. Adik Si Gadis Ayu tertarik melihat ikan-ikan tersebut. Selepas itu, Gadis Ayu mengajak aku menjamu teh di taman itu. Kebetulan hari itu hari Ahad, pengunjung boleh menikmati hidangan teh dan kek di taman itu setiap Ahad.

Sehari bersahabat dengan alam memang mengujakan. Di sini terdapat banyak warisan alam semula jadi dan ciptaan manusia. Wajah-wajah batu yang kelihatan serius dan binaan-binaan Gothic di sini mewujudkan suasana yang agak unik dan misteri.

"Di hujung taman ini, ada satu rahsia," kata Gadis Ayu.

"Sis, please..." tiba-tiba Adik Si Gadis Ayu bersuara.

Nampaknya satu kisah menarik akan diceritakan di sini.