BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Jun 04, 2010

Revolusi Pertama Untuk 2010

Nama aku Amiene Rev. Sepanjang perjalanan hidup yang telah aku lalui ketika ini, aku sudah melalui banyak pengalaman (yang sebenarnya ternyata lebih sedikit berbanding sesetengah orang lain), dan apabila aku mengucapkan demikian, maka ini bermaksud kecetekan intipati hidup di dalam diriku. Justeru, aku masih amat mendahagai intipati kehidupan yang masih banyak belum aku rasai di luar sana.

Antara pengalaman yang menarik pernah aku lalui, ialah mengharungi detik-detik separa mati beberapa tahun lalu. Ketika itu, aku menyedari aku sudah tidak boleh diselamatkan lagi, lalu aku berserah kepada Tuhan, Tuhan aku. Namun, keajaiban telah berlaku, dan aku terselamat. Dalam tempoh beberapa minggu itu, aku menjalani rawatan khusus sehingga aku pulih. Ketika itu, aku menyedari, wujudnya kuasa baru di dalam diri aku ini. Kuasa baru yang bercantum dengan kuasa-kuasa sedia ada. Aku memanggilnya, Esa.

Ini bukan bererti Maha Esa. Jauh sekali. Tidak layak aku berbanding dengan Tuhanku. Aku ini cuma hamba. Hamba kepada Tuhan aku. Esa, bererti tunggal. Esa manusia berbeza dengan Esa Tuhan. Kerana manusia ini tunggal, kebergantungan manusia cuma kepada Tuhan sedangkan Tuhan itu sendiri mampu berdiri sendiri tanpa mengharapkan apa-apa untuk kelangsungan hidup daripada sesiapa.

Lalu, aku menyedari, tidak salah aku mempertaruhkan nyawa sekiranya matlamatku hanya untuk Tuhan. Seperti para syuhada di perjuangan keagamaan, mereka rela gugur syahid kerana memperjuangkan kebenaran. Mereka tidak mahu lari dalam ketakutan, dayus dan membiarkan orang-orang lain teraniaya kerana mereka. Mereka semahu-mahunya membela nasib manusia yang teraniaya.

Maka inilah bezanya keesaan manusia dengan keesaan Tuhan. Manusia, apabila menjadikan dirinya tunggal, maka di hatinya cuma ada cinta kepada Tuhannya. Jadi sesuaikah perkataan esa itu digunakan untuk manusia? Kitaran kata-kata seperti ini menyukarkan kita, manusia untuk terus mengusahakan jawapan.

Revolusi pertama dalam tahun 2010, ialah misteri. Tidak ada sesiapa pun pernah menduga, sejauh mana rezeki manusia. Esa dan misteri, adalah dua sifat yang akan mendorong manusia untuk mencuba dan menguji kebolehan diri ke tahap yang lebih tinggi, dengan hanya satu pergantungan. Tuhan aku.