BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Jun 19, 2010

Sudah Terhantuk Baru Terngadah - Pandang Ke Depan

Keretapi kelas 1 menunggu ku. Kemungkinan besar selepas ini, aku akan memperbaharui passport untuk ke luar negara. Seperti kebanyakan manusia, aku tidak suka menetap di satu-satu tempat dalam kadar yang terlalu lama. Sudah nyata, maksudku ini ialah, berpindah.


Kebanyakan manusia pada zaman ini sudah hilang toleransi. Kebanyakan mereka, manusia, cuma tahu mengaut keuntungan daripada bangsa mereka sendiri. Ada juga sekumpulan manusia yang bodoh, tidak tahu merebut peluang, dan mereka inilah yang bakal membebankan kerajaan dan masyarakat pada masa akan datang. Mereka inilah yang akan terus merayu-rayu subsidi daripada kerajaan, meminta belas kasihan agar kerajaan dan masyarakat mengampuni dosa dan kesalahan mereka kerana berlaku malas, alpa dan leka semasa usia muda dan remaja, sehingga mereka gagal meraih pencapaian cemerlang dan memberi sumbang bakti yang mengharukan kepada kerajaan dan masyarakat.

Bak kata orang-orang tua, sudah terhantuk baru terngadah. Terngadah maksudnya mendongak. Mungkin disebabkan terlalu banyak subsidi, atau mungkin disebabkan kerajaan atau masyarakat kita sering menyuap rakyat kita, bangsa kita sendiri sehingga mereka berkahwin, beranak dan kemudian anak mereka pula sudah menjadi lemah dan tidak berupaya untuk berdikari? Sudah sekitar 3 generasi berlalu dan semakin ramai manusia yang tidak tahu berdikari.

Hal ini menyebabkan sebilangan manusia berputus asa dengan sikap sesetengah manusia di sekeliling mereka. Manusia ini akhirnya memutuskan untuk mengikut undang-undang rimba. Mereka tidak lagi peduli dengan jurang kemiskinan.

"Mereka miskin sebab mereka malas dan tak mahu mengubah nasib mereka sendiri, sebab itu memang padanlah mereka terus jatuh miskin. Ilmu tak mahu dicari. Apa yang mereka tahu ialah mencari orang untuk disusahkan," kata seorang kaya yang berjaya kepada jurnalis.

"Buat apa kita nak sibuk-sibuk buang tenaga, buang duit nak tolong orang yang pemalas macam tu? Kalau dia orang nak, dia orang datang cari kita, bukan kita cari orang malas. Dah memang pemalas, biarlah mereka rasa sendiri hidup pemalas," kata seorang kaya yang berjaya yang lain.

"Orang kalau rajin, pandai-pandailah mereka cari saluran dan peluang untuk berjaya. Kalau mereka rajin mencari, mesti jumpa peluang, mesti jumpa laluan untuk berjaya. Kalau ada yang bagi alasan sudah berusaha tapi tak jumpa-jumpa itu maksudnya mereka pembohong besar! Kalau betul, di dunia ini aku boleh jumpa ada orang yang tak pernah jumpa satu pun peluang untuk berjaya, aku rela murtad sebab itu tandanya Tuhan tu tak adil. Tuhan tu zalim. Tuhan zalim? Tuhan tu tak zalim, kalau manusia berusaha, mesti dia jumpa peluang kejayaan," kata orang kaya yang berjaya yang lain pula.

Rata-rata berpendapat, di dunia sekarang ini terlalu ramai pemalas. Oleh kerana itu, kebanyakan mereka lebih suka membiarkan sahaja jurang kemiskinan meningkat. Kerana mereka berpendapat, sesiapa yang berusaha pasti boleh berjaya. Cuma orang yang pemalas sahaja yang akan kata susah untuk berjaya.

Seperti ulat dalam batu pun boleh hidup. Begitulah perkaitan antara usaha dengan kejayaan. Kerana ulat itu rajin berusaha mencari makanan, ulat itu tetap boleh hidup biarpun tinggal di dalam batu. Mungkin ulat itu telah menemui sejenis mikroorganisma yang boleh ditelan, itulah peluang untuk ulat itu hidup di muka bumi ini.

Semasa di bangku sekolah dahulu, guru-guru sering mengulang kata-kata ini. "Tak guna bersusah payah mengajar orang malas. Orang malas belajar, kalau diajar menggunakan kaedah atau penerangan konsep yang paling hebat mana pun, esok lusa dia akan lupa balik apa yang dipelajarinya. Kalau murid-murid mahu cikgu bersungguh-sungguh mengajar kalian, kalian mesti buktikan kalian bersungguh-sungguh mahu belajar. Kalau tidak sia-sia sahaja."