BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Jun 17, 2010

La Hot Spring - Kolam Air Panas La - Kemudahan Yang Disediakan

Menurut legenda, terdapat sebuah kolam mata air panas di Besut, Terengganu. Kolam mata air panas La atau dikenali sebagai La Hot Spring di kalangan orang putih ini mempunyai kepanasan sekitar 45 ke 49 darjah Celcius. Kolam air panas ini mengandungi sulfur yang merupakan sumber perubatan semula jadi, khususnya untuk kulit. Jurnalis Amiene Rev telah mengunjungi Kolam Air Panas La Hot Spring untuk meninjau sendiri kebenaran legenda tersebut. (Sebenarnya penulis pernah pergi ke tempat ini berbelas-belas tahun dahulu.)

La Hot Springs
SILA KLIK MANA-MANA FOTO DI DALAM ARTIKEL INI
UNTUK IMEJ YANG LEBIH BESAR DAN AGAK JELAS.
Pengembaraan menjejaki kolam air panas bermula dari Kota Bharu, Kelantan, menuju ke Besut, Terengganu. La Hot Spring pernah dianggap sebagai lokasi mutiara di Terengganu. Terletak di kawasan ladang kelapa sawit, para pelancong boleh menaiki kenderaan untuk sampai ke Kolam Air Panas La.

Jalan menuju ke La Hot Spring sudah diturap dengan cantik. Pemandangan kelapa sawit di kiri dan kanan jalan tar dua hala ini amat menarik, dengan latar belakang bukit-bukau yang indah. Namun, dalam keasyikan menikmati keindahan alam separa semula jadi ini, pemandu kenderaan harus berhati-hati dengan kemunculan lembu-lembu putih yang berkeliaran di jalanan untuk mengiringi kenderaan para pelancong secara suka rela. Bom-bom najis juga ada memenuhi sesetengah tempat di tengah-tengah jalan raya. Ini cukup menguji kebolehan para pemandu untuk latihan memutarkan stereng kereta anda. Pastikan stereng kereta anda tidak longgar.

Perjalanan penuh keindahan menuju ke Kolam Air Panas La berakhir apabila pelancong menemui pondok pengawal parkir. Dengan bayaran sekitar RM2, anda boleh memarkir kenderaan anda di mana-mana yang anda suka kerana agak banyak tempat parkir kereta disediakan di sini.


Pengunjung tidak perlu risau soal makan-minum atau apa-apa keperluan tambahan di Kolam Air Panas La, kerana terdapat banyak kedai makan di sini. Peralatan untuk bermain air seperti pelampung dan bola getah juga disediakan.


Antara gerai yang menjual pelampung air di sekitar tempat parkir kereta di La Hot Spring. La Hot Spring terdiri daripada dua bahagian, iaitu air sungai yang mengalir jernih dan dua kolam mandi yang asal (disusun dua tingkat). Pengunjung mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada mahu mandi di kolam air panas, atau di sungai yang berarus dingin. Kedalaman air kolam adalah separas peha orang dewasa, manakala kedalaman air sungai adalah setakat betis orang dewasa.


Boleh dikatakan lokasi Kolam Air Panas La sering menerima kunjungan daripada para peserta dan fasilitator program-program motivasi. Terdapat banyak khemah-khemah peserta tersergam di sini. Untuk pergi ke tapak perkhemahan, pengunjung perlu melalui titian ringkas yang dibina dengan menggunakan kepingan-kepingan papan. Sebenarnya, para pengunjung juga boleh meredah air sungai yang amat cetek di bawah titi tersebut dengan mudah. Pengunjung yang mempunyai semangat inkuiri yang tinggi boleh meredah menentang aliran air sungai untuk pergi ke kawasan yang lebih dalam dan privasi.


Kemudahan lain seperti surau dan bengkel motivasi juga disediakan. Pengguna tidak dibenarkan masuk ke surau dengan berpakaian basah. Surau yang serba putih di luar dan dalaman ini lengkap dengan kemudahan PA sistem. Ini sudah tentu memudahkan aktiviti kerohanian diadakan di dalam surau, khusus untuk program motivasi, jati diri dan kepimpinan.


Terdapat kemudahan tandas lelaki dan tandas perempuan kira-kira di seberang sungai bagi pengunjung lelaki dan perempuan untuk mandi atau menukar pakaian secara lebih privasi.


Terdapat juga beberapa buah chalet untuk penginapan pengunjung. Nampaknya pada musim cuti ini, chalet-chalet di La Hot Spring sudah penuh dengan penginap.

Sekian dahulu, pos saya mengenai La Hot Spring. Masih ada beberapa pos lagi mengenai La Hot Spring akan disiarkan di blog ini. Tunggu pos yang berikutnya yang akan menceritakan mengenai kejutan-kejutan yang berjaya dirakamkan di La Hot Spring baru-baru ini. Semoga jantung para pembaca tidak tergugat membacanya. Pembaca juga akan didedahkan dengan rupa dan rekabentuk kolam air panas yang baru, mirip spa di luar negara.