BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Jun 20, 2010

Kebebasan Abadi

"Kau tahu Amiene, sepanjang hidup aku, aku cuma mahukan satu perkara yang aku tidak pernah dapat," tutur seorang gadis ayu semasa aku berkunjung ke Norwich beberapa tahun lalu.

"Apa dia?" Tanyaku.

"Kebebasan abadi." Pendek jawapan itu. Namun dalam dan luas maksudnya.

"Amiene, kau tahu, aku tidak pernah berharap agar terus tinggal di sisi keluargaku membantu menguruskan rumah tamu dan kedai makan ini."

Ternyata gadis cantik ini mahu meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Aku diam dan mendengar. Sepanjang berada di Norwich, aku tinggal bersama keluarga ini sebagai tetamu istimewa. Hadirku di sini adalah untuk menyebarkan sesuatu yang menjadi saham akhiratku. Perutusan.

"Aku pernah fikir untuk melihat sejauh mana indahnya dan amannya Malaysia seperti yang sering digembar-gemburkan oleh tetamu dari negara tersebut."

Aku diam lagi, sambil meneguk secawan kopi tanpa kafein. Ketika itu pagi bulan Ogos. Cuacanya tidaklah sesejuk mana pun.

"Aku harap suatu hari nanti, aku akan dapat menjejakkan kakiku ke Malaysia." Gadis itu terus menyusun rapi gelas-gelas berukir ringkas di atas rak, menjadi satu barisan.

"Pasti. Pasti suatu hari nanti." Jawabku, sambil meneguk lagi air kopi tanpa kafein itu.

"Amiene, tidakkah kau ingin membawaku ke Malaysia?"

Aku terdiam. Apa maksudnya? Ketika itu, aku tidak menangkap maksudnya. Adakah ini yang dikatakan menjurus ke arah kebebasan abadi seperti yang dimahukannya?