BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 13, 2010

Surat Pembaca - Sampai bila saya perlu bersendirian?

Surat kiriman daripada Puteri Sepi:
Saya baru sahaja menjumpai laman ini, tetapi teringin berkongsi masalah dengan Duke Amiene Rev. Saya telah berusia 28 tahun, mempunyai kerjaya tetap tetapi masih hidup sendirian, belum berkahwin. Saya bukan tidak mahu berkahwin, tetapi entah mengapa sampai ke hari ini saya masih tidak menjumpai lelaki yang saya suka. Saya akui, sejak di bangku sekolah, saya memang seorang yang pemalu dan tidak ramai kawan lelaki. Tambahan saya lahir dalam keluarga yang susah, lantaran kesibukan belajar saya tidak pernah cuba-cuba bercinta ketika di sekolah menengah atau pun di universiti.

Saya pernah jatuh cinta beberapa kali tetapi tidak pernah mempunyai kekuatan untuk meluahkan. Saya mencintai mereka di alam diam sahaja. Sehinggalah mereka semua mempunyai teman sendiri. Disebabkan bentuk fizikal yang agak gempal, saya merasa rendah diri untuk berkawan dengan lelaki dan saya rasa tiada lelaki yang akan sukakan saya. Semakin lanjut usia, saya makin tertekan apabila ramai yang bertanya bila saya ingin berkahwin, sampai bila ingin begini.

Saya tahu,ibu bapa saya risau jika anak sulung mereka menjadi andartu hingga ke tua. Ada juga lelaki-lelaki yang diperkenalkan kepada saya, tetapi entah mengapa tidak seorang pun dapat menarik hati saya. Ramai antaranya yang saya rasa tidak sesuai dengan saya. Sampai ke saat ini, saya masih membantu ibu bapa menyekolahkan adik-adik kerana saya rasa itu adalah tanggungjawab saya dan saya gembira berbakti kepada mereka. Saya bukan memilih, tetapi saya amat berharap agar saya mendapat suami yang menyayangi saya dan keluarga saya. Yang paling penting, saya inginkan lelaki yang mempunyai ekonomi yang mantap memberi kebebasan kepada saya berbakti kepada ibu bapa dan adik-adik meskipun saya telah berkahwin.

Saya amat takut jika saya mendapat lelaki yang tidak memahami saya. Saya juga ingin sambung belajar dan berharap mendapat lelaki yang tidak menghalang cita-cita saya. Bagi orang, mungkin saya terlalu diman, tetapi itulah yang jodoh yang saya harapkan. Tetapi setakat ini, jodoh yang diperkenalkan, sikap dan sifat mereka tidak memungkinkan mereka menerima kekurangan dan impian saya. Saya semakin terasa sedih dan sepi apabila majoriti kawan telah berkahwin. Sampai bila saya perlu bersendirian? Kadang-kadang saya terfikir, adakah saya akan hidup keseorangan sampai ke akhir hayat?


Jawapan daripada Amiene Rev:
Saudari Puteri Sepi, jalan terbaik yang boleh saya cadangkan ialah setiap kali saudari bertemu atau diperkenalkan dengan mana-mana lelaki, lakukan solat istikharah agar saudari dapat membuat keputusan yang lebih baik.

Sememangnya apa yang saya nampak di sini ialah mungkin saudari tidak sedar yang saudari sebenarnya sangat memilih dalam soal mencari jodoh. Maafkan saya kerana pertentangan pendapat saya dengan pendapat saudari terhadap diri saudari. Saya cadangkan saudari banyak mendekati aktiviti berunsur keagamaan dan kebajikan, kerana di sana, saudari berpeluang mencari jodoh yang dikehendaki.

Jika saudari terlalu bimbang, saudari fikirkan ini. Cuba saudari pergi ke padang rumput dan carilah rumput yang paling cantik di padang itu, dan saudari tidak dibenarkan melangkah ke belakang untuk mengutip mana-mana rumput yang telah saudari tolak. Pasti, saudari akan bertanya kepada diri sendiri, setiap kali ada jejaka yang baik saudari temui, saudari tolak kerana mengharapkan lelaki yang paling memahami saudari.

Seperkara lagi, saya dapati saudari adalah jenis yang mengutamakan cita-cita sendiri berbanding cinta. Kebanyakan insan seperti ini pasti sering bersendirian, kerana kesunyian tanpa teman hidup adalah teman bagi kebanyakan insan yang mengutamakan cita-cita berbanding cinta. Ingatlah, ada wanita yang belajar tinggi-tinggi tetapi selepas bersuami, dia tidak dibenarkan bekerja, tetapi menjadi suri rumah.

Saya cadangkan saudari cepat-cepat sambung belajar, kemudian barulah fikirkan soal perkahwinan. Jika saudari bernasib baik, saudari mungkin dapat bertemu pasangan hidup saudari semasa belajar atau selepas tamat pengajian nanti. Insya-Allah.