Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 1
Ketika itu hujan turun rintik-rintik. Awan mendung berwarna ungu sesekali disimbah cahaya kekuningan. Angin dingin bertiup sekali-sekala.
"Ibu..."
Keko menggerakkan badan Ibunya. Ibunya kaku tidak bergerak. Keko lalu duduk diam di sisi ibunya. Keko termenung. Keko tidak tahu apa nasibnya selepas ini.
Darah terus mengalir lesu dari sisi bibir ibunya. Darah ibunya terus mengalir mengikut rentak aliran air lalu menyapa lopak-lopak berhampiran. Keko tidak dapat menerima hakikat, ibunya sudah mati. Mati dilanggar kereta beberapa jam yang lalu.
-o-
"Nanti!" Jerit Ibu Keko. Keko tersentak.
"Jika mahu menangkap tikus. Bukan begitu caranya. Lihat Ibu!" Ibu Keko duduk diam memerhatikan seekor tikus kecil yang leka mencari makanan di timbunan sampah.
"Tunggu sehingga tikus itu leka." Si Ibu kian merapat ke arah tikus itu. Mata Ibu Keko membulat. Ternyata Ibu Keko memberi tumpuan penuh terhadap tikus tersebut.
"Bergerak perlahan-lahan," bisik Ibu Keko.
Ibu Keko merapat lagi. Dia menggoyang-goyangkan ekornya. Bersedia untuk menerkam.
"Apabila tikus itu mula makan, itu tandanya dia sudah mula leka," bisik Ibu Keko.
Satu, dua, terkam. Sepantas kilat, Ibu Keko menerkam ke arah tikus kecil. Tikus kecil tersedak, terbatuk-batuk seketika sebelum mencicit lari.
Skrath! Kuku tajam Ibu Keko berjaya menangkap ekor tikus kecil. Sepantas itu juga sebelah lagi cakar Ibu Keko hinggap ke badan tikus kecil. Tanpa belas kasihan, Ibu Keko menggigit tengkuk tikus kecil. Kedua-dua cakarnya kemas membelenggu badan sang tikus.
Menurut Ibu Keko, taring kucing mempunyai bisa yang mampu melumpuhkan mangsanya. Ini adalah anugerah Tuhan kepada sekalian bangsa kucing, supaya mereka mampu meratah daging, sebagai makanan asasi mereka.
-o-
Simbahan air hujan yang dingin mengenai tubuh Keko. Sinar cahaya yang terang membuatkan Keko tersedar dari lamunannya. Sinar lampu bulat berkembar tiba-tiba berhenti menyuluh jalan. Sebuah kereta kecil berhenti betul-betul di sisi mayat Ibu Keko. Keko memberanikan diri melihat ke tingkap kereta. Kelihatan seorang budak lelaki menjenguk dari arah kereta.
"Ayah, kasihan anak kucing ini!"
Suara anak kecil itu bernada simpati. Dan, dalam simpati itu ada niat keikhlasan.
Bersambung...
Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010
|