BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, September 15, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 2

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 2
Penulis: Amiene Rev (c) 2010

Kanak-kanak lelaki itu membuka pintu. Lalu, tanpa menghiraukan rintik-rintik hujan yang turun membasahi badannya, kanak-kanak kecil itu terus merangkul tubuh Keko dan berlari semula, masuk ke dalam keretanya. Pintu ditutup kemas.

Keko meronta-ronta untuk melihat ibunya. Keko mengiau-ngiau nyaring. Keko mencakar-cakar cermin tingkap kereta itu. Ia enggan berpisah dengan ibunya.

"Ayah, Afiq mahu pelihara kucing ini." Halus sekali suara anak kecil itu.

Keko tidak peduli semua itu. Keko tidak peduli apa pun niat budak lelaki yang bernama Afiq itu. Keko cuma mahu diletakkan kembali ke sisi ibunya. Keko mahu jaga ibunya. Keko masih menaruh harapan yang ibunya akan sedar kembali. Ibunya cuma pengsan. Ibunya tidak mati!

"Ayah, boleh tak? Kasihan anak kucing ini, ibunya sudah mati."

Mati? Hampir luruh jantung Keko mendengar perkataan itu. Terguris hati Keko mendengar perkataan itu. Ibunya belum mati! Ibunya cuma pengsan! Lalu, makin kuat Keko meronta-ronta. Afiq mengusap-usap lembut badan dan kepala Keko. Entah kenapa, tiba-tiba, Keko merasa tenteram seketika.

Ayah Afiq terus menekan pedal minyak. Perjalanan diteruskan lagi.

Perlahan-lahan, kereta itu bergerak meninggalkan bangkai Ibu Keko. Keko mengiau sekuat-kuat hatinya. Air matanya mengalir. Keko melihat bangkai ibunya yang terbaring di tepi jalan perlahan-lahan hilang dari pandangan matanya. Keko menyumpah-nyumpah air hujan yang mengaburi cermin tingkap. Keko meronta-ronta minta dilepaskan, tetapi ia tidak berdaya lagi.

Dan Afiq, terus mengusap-usap badan dan kepala Keko. Menenangkan Keko. Tidak menghiraukan badan Keko yang sudah basah kuyup. Tidak menghiraukan kuku Keko yang belum cukup tajam untuk melukakan kulitnya. Keko masih anak kucing yang kecil.

-o-

"Suatu ketika dahulu, Ibu pernah dipelihara manusia. Bila Ibu sudah besar, manusia buang Ibu," kata Ibu Keko pada suatu hari.

"Ibu tidak tahu apa salah Ibu. Ibu sayang manusia itu. Ibu tolong tangkapkan tikus yang merosakkan barang-barang di rumah mereka, tapi ini balasan yang ibu dapat."

"Semata-mata kerana kelemahan Ibu. Ibu terpecahkan pasu mahal milik manusia itu. Ibu dihalau dari rumah itu. Semua jasa ibu padam begitu sahaja."

Keko menangis lagi. Keko menangis mengenangkan nasib ibunya. Kini, Keko sendiri telah diambil oleh seorang anak manusia. Anak manusia itu mahu memeliharanya.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010