BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Julai 29, 2009

Hari Yang Mengundang Sebak Di Dada

Tiba-tiba hari ini, saya terasa mahu mengingati semula kisah silam. Kadangkala apabila saya pergi ke satu tempat yang mirip dengan satu tempat yang biasa saya lalui di kampung halaman kita, satu perasaan aneh pasti muncul. Saya tiba-tiba merindui kenangan pada hari-hari persekolahan saya.

Suatu ketika dahulu, semasa masih bersekolah, saya selalu tertanya-tanya, bagaimanakah rasanya apabila sudah tamat persekolahan? Kini saya telah merasainya. Sudah hampir satu dekad saya merasainya dan secara tiba-tiba, saya merindui kenangan semasa zaman persekolahan saya.

Semasa di sekolah, saya selalu dianggap sebagai anak emas sekolah. Saya selalu mendapat keistimewaan yang pelajar-pelajar lain tidak dapat. Oleh kerana terlalu luar biasa keistimewaan-keistimewaan yang saya dapat di sekolah, menyebabkan timbul perasaan tidak senang oleh segelintir pelajar terhadap saya. Namun, pedulikan itu semua kerana apa pun yang berlaku tidak dapat menggugat saya daripada terus memiliki sesuatu yang memang patut saya miliki. Sebab saya menghabiskan sepanjang masa saya di sekolah sebagai seorang pelajar dan bukannya sebagai orang lain.

Hari ini saya tiba-tiba terkenangkan zaman persekolahan saya. Ini menimbulkan mod nostalgia. Saya terkenangkan guru-guru semasa di sekolah. Layanan baik mereka terhadap saya. Hubungan rapat mereka dengan saya. Air mata mereka yang berlinangan selepas ketiadaan saya di sekolah, dan sekali lagi mereka menangis terharu apabila saya kembali ke sekolah.

Saya tahu... guru-guru sangat merindui saya. Mereka sudah menganggap saya bukan hanya sebagai seorang pelajar, tetapi sebagai satu semangat, sebagai sesuatu yang menjadi sebahagian daripada sekolah itu sendiri. Satu simbolik, di mana kata-kata ucapan saya dilaungkan, di mana tulisan-tulisan saya tertera pada dinding-dinding sekolah, di mana nama dan kisah saya sebagai seorang pelajar diceritakan kepada pelajar-pelajar generasi seterusnya. Sebagai satu legenda. Pelajar yang berlegenda.

Itu kisah lama. Kisah pelajar yang berlegenda itu adalah kisah lama. Setiap kali mengenangkan itu semua, kadangkala mengundang rasa sebak di dada. Ini kerana pengalaman saya semasa di sekolah itu teramat cetek. Esok saya akan menghadiri satu mesyuarat yang membayangkan kisah silam saya. Kisah silam yang makin kabur dalam ingatan.

Saya mengingatkan diri saya, saya cuma akan berada di sini selama tiga tahun. Di sini, adalah tapak untuk saya melompat lebih jauh. Selepas tiga tahun saya akan meninggalkan tempat ini. Oleh itu dalam masa tiga tahun di sini, saya perlu melakukan pelbagai perkara yang boleh memberi manfaat kepada semua.

Saya memburu matlamat saya. Saya akan meninggalkan semua orang. Setiap kali memikirkan hal ini saya akan berasa sayu. Saya tidak pasti kenapa saya rasa berat hati. Ini kerana saya menyayangi sesuatu yang ada di sini. Biarpun saya tahu ia tidak kekal.