BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Julai 16, 2009

Kisah Dunia Robotik dan Kempen Membanteras Sikap Biadab Di Kalangan Pelajar Masa Kini

Semasa saya masih berusia belasan tahun, saya sangat suka melukis robot. Saya sangat suka melukis sesuatu yang berkaitan dengan teknologi. Saya sangat suka melukis sesuatu yang berkaitan dengan kejuruteraan. Saya mencipta struktur kerangka robot, cengkerang luaran, sistem litar elektrik, deria berlima dan sebagainya.

Setiap robot, android dan mecha yang saya cipta diberi nama kod yang tertentu. Begitu juga dengan rekabentuk jet, pesawat udara dan kapal angkasa yang saya cipta. Ketika itu, saya bercita-cita untuk menubuhkan satu makmal robotik dan mecha. Ketika itu saya sangat sukakan sains dan teknologi, sebelum saya mengenali bidang psikologi dengan lebih lanjut.

Pada usia yang masih kecil, saya juga suka menempa pedang, golok, mata lembing dan pisau. Saya mengetuk besi-besi untuk dijadikan mata pedang, golok, lembing dan pisau. Selain itu, saya juga suka melukis rekaan pedang, golok dan lembing.

Rekaan pisau, pedang, golok dan lembing yang berkonsepkan robotik, memenuhi kertas-kertas lakaran saya. Beberapa orang rakan sekelas saya suka mengerumuni saya semasa saya melukis. Bagi mereka, apabila mereka melihat cara saya melukis di atas kertas, boleh menimbulkan satu ketenangan dan rasa khayal yang menyeronokkan. Mereka akan memerhati saya melukis sehinggalah apabila saya berhenti melukis, maka mereka seolah-olah manusia yang baru terlepas dari ilmu pukau.

Mereka menganggap, melihat garis-garis yang saya lakarkan di atas kertas sebagai satu terapi ketenangan. Ada juga yang meremang bulu roma apabila melihat satu demi satu garisan lukisan wujud di atas kertas. Ada juga pelajar yang mengatakan, setiap garisan yang wujud di atas kertas, membawa mereka jauh, tenggelam dalam satu dunia kenikmatan yang belum pernah mereka rasai. Seperti meneroka satu dunia baru yang selama ini tidak pernah terlintas dalam imaginasi mereka. Suatu pembaharuan minda. Terapi lukisan, barangkali inilah nama yang paling sesuai untuk menamakan apa yang pernah saya lakukan dahulu.

Kisah Seorang Guru Matematik dan ICT - AE
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Hari ini saya menulis satu lembaran baru dalam catatan jurnal saya. Setiap hari AE, yang berusia 14 tahun, yang juga merupakan calon ketua pengawas sesi petang yang baru akan datang bertemu saya. Memandangkan saya berada di sesi pagi, maka AE akan berkesempatan meluangkan masa untuk bertemu dengan saya. Kadangkala dia mengekori saya naik ke kelas yang perlu saya masuk pada waktu tengah hari.

Saya tidak pasti apa tarikan yang ada pada diri saya sehingga menarik perhatian ramai pelajar lain untuk mendekati saya. Malah saya dimaklumkan oleh kaunselor, bahawa pelajar-pelajar telah tersalah anggap saya sebagai seorang kaunselor di sekolah. Apabila ditanya, siapakah kaunselor di sekolah ini, maka para pelajar akan menyebut nama saya sebagai salah seorang kaunselor di sekolah ini.

Sepanjang masa, saya beranggapan diri saya sebagai seorang guru yang garang pada masa-masa tertentu. Namun, pada masa yang sama saya menyayangi murid-murid saya. Bagi saya, apabila saya memarahi seorang pelajar, maka saya adalah seorang ayah yang memarahi anak kandungnya.

Hari ini AE datang bertemu saya untuk menyatakan masalahnya. Dari situ saya mendapat tahu AE mahu saya menjadi seseorang yang rapat dengannya. Seperti kawan baik. Dan, semakin hari semakin ramai pelajar yang mendekati saya. Dan, semakin banyak rahsia pelajar yang saya tahu, semakin banyak masalah pelajar yang dikongsikan kepada saya. Dan, semakin mudah untuk saya memberi ceramah dan kata-kata nasihat kepada mereka.

Saya akan mula mengajar kelas ICT pada minggu depan. Sudah pasti, saya berharap untuk menjadi seorang guru ICT yang tegas lagi garang. Memastikan keselamatan peralatan dan perkakasan di makmal komputer adalah tanggungjawab saya dan juga para pelajar. Garang, merupakan elemen seorang guru. Garang bukan kerana marah. Garang kerana sayang. Seperti kita melihat seorang budak kecil bermain di tengah jalan raya. Kadangkala, teguran yang baik tidak memberi kesan, maka teguran secara garang diperlukan. Sedikit kegarangan mungkin mampu menyelamatkan nyawa atau masa depan seseorang.

Saya terkilan membaca akhbar hari ini, mengenai sikap seorang ibu yang menyalahkan seorang ustaz kerana menampar anaknya yang terlalu biadab sehingga berani mempermain-mainkan nama ustaz. Saya berpendapat, ibu kepada anak biadab itu terlalu memanjakan anaknya sehingga tidak tahu menghormati orang tua. Apabila anaknya ditampar, barulah si ibu menyalahkan orang lain. Barangkali si ibu tidak cukup garang untuk membentuk sikap anaknya. Anak-anak yang biadab mencerminkan sikap ibu bapa mereka. Disebabkan ibu bapa tidak mengambil langkah awal untuk membentuk budaya menghormati orang tua di kalangan anak-anak mereka, maka apabila anak-anak tersebut masuk ke alam persekolahan, mereka mula bersikap biadab terhadap guru-guru.

Kebanyakan pelajar biadab yang ditanya, mengakui mereka mewarisi sikap biadab tersebut sama ada daripada ibu atau bapa mereka. Pelajar-pelajar biadab mengatakan, mereka terpengaruh dengan cara ibu atau bapa mereka bercakap dan bergaul dengan orang lain. Kesimpulannya, ibu bapa biadab akan menghasilkan anak yang biadab, oleh itu sikap anak-anak adalah penentu setinggi mana maruah ibu bapanya. Semakin ibu bapa menyokong sikap biadab anak mereka, maka semakin jatuhlah maruah ibu bapa tersebut.

Kempen membanteras sikap pelajar yang biadab perlu dilakukan dalam pelbagai cara. Watak-watak dalam drama, filem dan rancangan televisyen perlu menggunakan dialog atau perkataan yang bersopan-santun. Filem-filem bertemakan gejala sosial perlu diharamkan. Pelajar cenderung meniru dialog-dialog lawak dan biadab yang diucapkan oleh watak-watak di dalam drama dan filem. Mereka akan mengulangi dialog tersebut dalam dunia realiti, sama ada untuk bergurau sesama mereka, mengusik pelajar lain atau sebagai modal untuk melawak di depan guru-guru sekolah. Astagfirullahalazim.

Pengaruh dialog biadab, kesat dan kasar juga boleh dilihat di dalam komik, majalah lawak dan beberapa jenis karya lawak tempatan. Pelajar-pelajar biadab didapati meniru aksi-aksi kartun, dan dialog-dialog kartun di dalam majalah lawak yang mereka baca. Antara aksi atau tingkah laku yang biasa dilihat ialah penggunaan bahasa-bahasa atau istilah-istilah kreatif rekaan penulis atau pelukis karya lawak terbabit yang digunakan untuk menyumpah, gelaran terhadap individu lain, memaki hamun, memperbodohkan individu lain, menyakiti individu lain secara fizikal, bergurau terhadap individu lain dan sebagainya.

Menyedari hakikat ini, saya sering memikirkan betapa besarnya dosa sesetengah pengkarya lawak kerana banyak menghasilkan karya-karya yang mencemarkan moral dan etika para pelajar. Ini, urusan mereka dengan Tuhan. Apa yang boleh saya harapkan di sini, agar satu usaha untuk membanteras karya-karya yang memuatkan dialog kesat, kasar dan lawak biadab daripada terus meracuni para pelajar. Dunia kita hari ini sudah terlalu ramai pelawak. Sehingga semua orang pun seolah-olah mahu menjadi pelawak.
Dahulu saya tidak memahami kenapa rakan-rakan sekelas seolah-olah terpukau dan ketagih melihat saya melukis. Apabila saya merakamkan sendiri aksi saya sedang melukis, barulah saya sedar, seperti wujud satu keasyikan atau ketenangan apabila melihat diri saya sedang melukis. Mereka akan meminta saya melukis dan melukis lagi. Tetapi kini, saya rasa sudah bertahun-tahun saya tidak mengasah bakat melukis saya. Saya juga tidak berhajat untuk aktif melukis kembali, sebab saya ada tanggungjawab lain yang lebih besar, yang mencuri masa-masa saya. Ini ialah tanggungjawab.

Sejak mengenali dunia grafik digital, saya tidak lagi mewarnakan cat air, oil pastel atau cat minyak di atas kanvas. Kemahiran melukis sudah beralih arah. Zaman ini zaman digital. Tidak ada lagi estasi dan ketagihan.

Bercakap mengenai biadab, saya teringatkan sikap seorang pelajar universiti yang menghubungi saya baru-baru ini untuk meminta pandangan saya berkaitan dengan projek sarjana mudanya. Saya cukup pantang apabila pelajar tersebut bertanya kepada saya begini: "Susah tak nak buat tu? Minat tak?"

Soalan di atas merujuk kepada jenis projek kajian yang hendak dibuat. Pada mulanya saya tidak membalas, memberi respon atau jawapan terhadap soalan tersebut. Selepas pelajar universiti tersebut mengulangi soalan tersebut buat kali kedua, barulah saya rasa saya perlu menegur pelajar universiti tersebut. Saya tidak menyenangi sikap pelajar universiti tersebut yang sudah berada di tahun akhir tapi masih tidak serius atau bermatlamat tegas dalam pembelajarannya. Adakah kita belajar semata-mata kerana gred atau kerana mahu pengalaman kehidupan yang berharga? Di mana nilai kemanusiaan kita jika belajar sesuatu bukan kerana pengajaran tetapi kerana material dan keduniaan?

Kita memilih untuk berbuat sesuatu tidak semestinya berasaskan minat atau senang. Kesungguhan berusaha dan kepakaran adalah lebih penting. Jika kita melakukan sesuatu kerana kesenangan atau semata-mata kerana minat, maka kita tidak akan mendapat suatu hasil atau pengalaman yang berharga.

Sebagai contoh, cuba lipat sekeping kertas beberapa kali. Kemudian koyakkan bucu kertas tersebut. Bucu kertas yang paling tebal dan susah untuk dikoyak, apabila kita buka kertas yang dilipat itu, kita akan mendapat paling banyak lubang. Sebaliknya apabila kita memilih bahagian yang senang untuk dikoyak, kita barangkali cuma mendapat satu lubang sahaja.

Apabila kita berbuat sesuatu, jangan fikirkan susah atau senang. Fikirkan apa tujuan kita memilih tajuk tersebut. Saya cukup meluat dengan pertanyaan yang telah dikemukakan oleh pelajar tersebut: "Susah tak?"

Jika kita tidak ada kepakaran, belajarlah untuk mendapatkan kepakaran tersebut untuk memudahkan kita melaksanakan projek tersebut. Soalan manja seperti "Susah tak?" adalah soalan sampah. Saya berharap mana-mana mahasiswa tidak datang bertanyakan saya soalan seperti ini yang saya rasa sudah cukup untuk mencemarkan ikredibiliti seorang mahasiswa.

Huh! Sambil menggeleng kepala mengenangkan sikap mahasiswa universiti pada hari ini.