BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 30, 2010

Hari Ini Tanpamu Lagi, Namun Hidup Ini Tetapku Teruskan

Musim hujan sudah turun. Setiap kali hujan turun, akan ada satu kenangan silam datang berbisik ketika aku merenung tanah. Apabila aku mengingati hari ini hujan turun, aku akan terkenangkan kisah silam, yang telah berlalu, diiringi doa dan harapan. Sekali lagi, aku paparkan sajak ini, dan berkongsi apa yang berlaku pada hari ini. Kejayaan. Demi kejayaan. Kebahagiaan yang mekar selepas berlalunya kisah lalu. Aku percaya, hadiah yang paling baik daripadaku untuknya, adalah kebahagiaan hidupku kini. Kerana dia di alam sana, pasti bersedih, jika aku bersedih. Maka aku ciptakan kebahagiaan dalam hidupku kini, untuknya.


Pusara Adinda
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2006


Menjelang hari lebaran
Tidak mampu kulebarkan senyumku
Mengingati pusara adinda
Kian hari ditumbuhi mawar dan herba

Terkenangkan hari itu mendung langitnya hujan membasahimu adinda
lumpur mencalit wajahmu adinda
kesejukan mendinginkan sumsummu adinda
rintik-rintik hujan berbunyi menghilangkan sunyi, mengusik jiwa kanda.

Terkenangkan hari itu panas terik mentarinya
tanah kontang terma mengewapkan pusaramu adinda
semut dan serangga singgah merayap ditubuhmu adinda
kain putih bertukar kuning diliputi debu, mengharukan hati kanda.

Sudah terkilan silam kita
Berlalu sudah manis-manis madu hidup kita
Namun hubungan dinda dan kanda
terus bertaut tidak mudah dicarik-carik
dan pada hari lebaran ini nanti
tunggu hadirnya jasad yang bernyawa ini
merinduimu...
mendoakanmu...
mengubati hati yang hiba
memohon rahmat akhirat
Syawal tanpa hadirmu...
tanpamu di sisi...