BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mac 01, 2010

Kebangkitan Semula Guru Tingkatan

Kali ini saya ingin mengisahkan bagaimana seorang guru tingkatan bangkit semula setelah melalui rintangan yang berliku-liku dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang guru tingkatan dan juga seorang guru Matematik.


Kebangkitan Semula Guru Tingkatan dan Guru Matematik
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Mungkin ramai yang tidak tahu, tugas sebagai seorang guru sebenarnya amat memerlukan pengorbanan masa, emosi dan mungkin juga wang. Guru tidak dibayar kerana bekerja lebih masa. Mungkin benar seorang guru balik ke sekolah sekitar jam 2 petang, tetapi rata-rata perlu menyiapkan tugasan selepas pukul 2 petang. Guru-guru harus berdiri dan bersuara lantang di depan kelas, supaya mesej mereka dapat sampai ke belakang kelas. Guru-guru ada yang perlu menanda sebanyak 840 buah buku latihan dan nota dalam masa satu minggu, di mana semua itu memungkinkan masa yang diperlukan untuk menanda sebuah buku adalah sekitar 150 jam seminggu, bersamaan enam hari seminggu.

Bagaimana pula jika guru tersebut menjadi guru tingkatan? Ya, inilah cabaran aku sebagai seorang guru tingkatan. Terlibat sebagai pengurus sukan tenpin boling dan juga sebagai penolong ketua rumah sukan merangkap penolong pengurus rumah sukan memerlukan aku menguruskan masa dengan bijak walaupun aku memerlukan 32 jam satu hari untuk membolehkan pergerakan kerja lebih selesa.

Kini, aku dalam melaksanakan satu proses untuk mencipta sistem baru peribadi untuk menyelaraskan kerja-kerja penandaan buku latihan dan nota, dan juga urusan pengurusan serta pengkeranian kerja-kerja guru tingkatan bagi membolehkan aku memiliki lebih masa untuk merancang dan mengatur strategi pengajaran kelas-kelas Matematik dan Matematik Tambahan di sekolahku.

Sejak beberapa minggu lepas, aku seolah-olah memacu seekor kuda liar di jambatan bertali yang dihujani dengan ratusan anak panah dari langit. Bukan mudah untuk mengendalikan seekor kuda liar yang ketakutan dalam keadaan permukaan jambatan yang tidak rata. Aku rasa aku berjaya melalui rintangan tersebut.

Rintangan tersebut adalah penuh dengan kenangan. Kenangan yang berisi keringat, darah dan air mata. Kadangkala aku kesal dengan mana-mana ketidak-sempurnaan kerja yang aku lalui dalam tempoh tersebut, namun, apa yang berlalu akan terus berlalu, dan aku tahu, Tuhan pun tahu, aku telah berniat untuk cuba melakukan kerja-kerja aku seberapa baik yang mungkin. Kerana aku, cuma memiliki 24 jam dalam ketika aku memerlukan 32 jam sehari.

Ini adalah permulaan, untuk aku bangkit semula sebagai seorang Guru Tingkatan, dan seterusnya menjadi Pendidik Matematik Terunggul dalam sejarah pendidikan, dan seterusnya menyumbang sedekah pahala dan saham akhirat untuk diriku dan juga untuk guru-guru yang telah mendidik aku sebelum ini, dengan ilmu-ilmu yang aku tuntut daripada mereka.

Kerana aku memilih untuk menjadi guru Matematik, dan guru tingkatanku dahulu, semuanya juga adalah Guru Matematik, dan doa aku ketika itu seolah-olah sedang direstui Tuhan. Aku dijadikan sebagai guru tingkatan, ketika aku juga seorang Guru Matematik dan Matematik Tambahan. Aku kini dapat menghayati perasaan guruku sepenuhnya, dan seterusnya mewujudkan rasa cinta, kasih dan penghargaan serta sanjungan tertinggi untuk Guru Matematik aku yang sehingga kini masih berhubung denganku.

Konsep Matematik adalah keadilan, kata guru Matematikku pada suatu ketika dahulu. Kalau di sebelah kiri kamu tambah suatu nilai, maka di sebelah kanan persamaan itu juga kamu perlu tambah suatu nombor yang sama nilainya dengan nombor di sebelah kiri. Kini, aku mengulang kata-kata ini kepada anak-anak muridku pula.

Dan aku masih ingat, ketika aku mendapat 100% markah, markah penuh dalam ujian Matematik ketika aku di tingkatan satu, aku tidak menoleh ke belakang lagi, aku terus mara, apabila aku mengingati Guru Matematikku semasa di tingkatan satu yang juga merupakan guru tingkatanku semasa di sekolah menengah, yang terus memberikan kepercayaan dan inspirasi kepadaku. Tidak kira semasa di tingkatan satu, dua atau di tingkatan empat atau lima, guru tingkatanku adalah guru Matematik.

Semua kenangan ini memberi inspirasi kepadaku untuk cuba menjadi guru tingkatan yang lebih baik dalam pada masa yang sama aku menjadi guru Matematik. Kadangkala aku bertanya di dalam hati:

Cikgu, bagaimana cikgu dahulu menjadi guru tingkatan?
Cikgu, bagaimana cikgu rasa semasa mengajar saya ilmu Matematik?

Konsep Matematik ialah keadilan
Matematik Tambahan dahulu dianggap sebagai subjek dewa-dewi
Nombor, angka, cara cikgu menyebut perkataan-perkataan tersebut sangat sedap didengar,
dan kerana itu saya jatuh cinta terhadap Matematik
Bagaimana cikgu lakukan semua ini?

Cikgu, Cikgu buat saya bersemangat dan berminat dengan Matematik
Pernahkah cikgu berasa susah hati semasa mengajar saya?

Cikgu, sampai sekarang bila saya pergi ke sekolah,
Cikgu sering menyebut nama saya,
Sehingga guru-guru baru pun mengenali saya,
walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu,

Cikgu, semasa di universiti dahulu,
saya mohon kepada cikgu,
agar restui segala ilmu saya,
yang akan saya perturunkan kepada anak-anak murid saya.

Sebab dengan ilmu cikgu,
saya akan wariskan kepada anak-anak murid saya.

Cikgu, saya akan sentiasa ingat cikgu sampai mati,
dan saya telah melalui pelbagai rintangan dan air mata,
sebelum bergelar Cikgu Matematik,
tetapi semua itu saya tidak peduli,
kerana saya mengejar bayang-bayang Cikgu,
Jadinya saya sebagai Guru Matematik pada hari ini,
adalah kerana pada suatu ketika dahulu,
saya memiliki suatu inspirasi,

dan inspirasi itu adalah Cikgu-Cikgu semua,
guru-guru saya.

Ilmu cikgu mengalir dalam darah daging saya,
tidak kira sama ada saya menjadi guru atau pun tidak,
segala makan minum saya pada hari ini,
bersumberkan daripada ilmu-ilmu yang Cikgu-Cikgu semua
berikan kepada saya.

Saya akan terus menyebar saham akhirat Cikgu-Cikgu semua
dengan ilmu yang saya warisi ini.

Suatu hari nanti saya akan menjadi
seorang murabbi berjiwa pendidik
melaksanakan perjuangan yang suci
dan diredhai Allah