BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Mac 12, 2010

Pelajar Kelas Corot Yang Mendapat A Dalam Peperiksaan

Kadang-kala di dunia ini, boleh berlaku perkara yang dianggap mustahil. Tidak ada siapa pun yang tahu pintu rezeki manusia. Ada manusia yang berjaya dan cemerlang tetapi hidup susah pada kemudiannya dan tidak mendapat kebahagiaan kerana dosa-dosa mereka kepada guru-guru mereka. Kisah kali ini berkenaan pelajar kelas corot yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Pelajar Kelas Corot Yang Mendapat A Dalam Matematik
Kisah Guru Matematik dan Guru Tingkatan
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Tahun ini aku melalui detik yang penuh mencabar apabila aku ditugaskan untuk mengajar bukan sahaja subjek Matematik malah Matematik Tambahan kepada pelajar yang boleh dikategorikan sebagai lemah Matematik dan Matematik Tambahan.

Pada masa yang sama aku ditugaskan sebagai guru tingkatan. Masa-masa yang ada perlu aku bahagi-bahagikan untuk mengendalikan kesemua tugasan sekolah yang diamanatkan. Sememangnya sebagai guru, aku memerlukan 32 jam sehari.

Pada waktu malam dan awal pagi, ketika embun sedang menitik turun ke atas dedaun hijau, aku menulis modul Matematik dan Matematik Tambahan untuk anak-anak muridku. Di dalam hatiku tetap ada sinar harapan kepada para pelajarku. Kadang-kadang hati ini sayu melihat pelajar-pelajar kelas corot yang mempelajari Matematik Tingkatan 4 tanpa asas yang kukuh. Sikap dan minda pelajar-pelajar ini seperti kanak-kanak kecil, dan kebanyakan mereka tidak tahu berdikari dan mengurus dan mengawal diri. Kekuatan suara dan nafas seorang guru memainkan peranan.

Namun aku terus mengajar mereka. Jauh di sudut hati, aku mengetahui dengan asas yang sangat lemah, pelajar-pelajar ini mustahil boleh memahami konsep-konsep Matematik yang bertaraf tinggi. Semasa kelas Matematik Tambahan berlangsung, rata-rata pelajar yang lemah Matematik akan bertanya, dan pertanyaan mereka berkaitan dengan konsep Matematik yang sepatutnya sudah mereka kuasai semasa di peringkat UPSR dan PMR dahulu. Oleh sebab itu, masa pengajaranku umpama emas. Aku perlu menerangkan kembali konsep-konsep Matematik semasa di peringkat UPSR dan PMR, semasa aku sedang mengajar subjek Matematik dan Matematik Tambahan.

Baru-baru ini, ujian Matematik berlangsung. Ada beberapa orang pelajar di kelas kedua tercorot yang aku ajar mendapat keputusan yang baik dalam Matematik. Aku begitu bersyukur apabila mendapati ada pelajar yang belajar di kelas corot, di mana pelajar-pelajarnya amat lemah dalam Matematik, mendapat A dalam ujian tersebut.

Kalau dulu mendapat E atau Gagal dalam Matematik merupakan perkara biasa bagi pelajar kelas corot, kini, dan pada masa akan datang, tidak mustahil semua pelajar kelas corot pun boleh dapat A atau B sekiranya mereka betul-betul rajin belajar dan berusaha untuk memahami ilmu yang diajar.

Di dalam kelas corot yang aku ajar, ada pelajar yang mendapat A untuk subjek Matematik. Sebagai guru Matematik, aku anggap ini petunjuk daripada Tuhan untuk memberitahu aku tentang kekuasaan Tuhan. Sekali lagi aku bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan doaku, dengan memberiku petunjuk mengenai dilema yang aku hadapi sebagai seorang guru Matematik dan Matematik Tambahan. Allah telah memberi petunjuk ini kepadaku untuk memberitahuku supaya jangan risau, teruskan berusaha dan pasti, aku akan menuju ke kejayaan hakiki.

Ya Allah, terima kasih di atas petunjuk-Mu.