BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Mac 28, 2010

Anjing-Anjing Berkeliaran - Hukum Memelihara Anjing

Anjing terkenal sebagai binatang yang setia. Saya masih ingat suatu ketika dahulu, saya terpaksa berdepan dengan beberapa ekor anjing garang yang cuba menyerang saya. Sejak itu, saya dan anjing seperti musuh. Namun, setiap kali saya melihat anjing, khususnya anjing liar yang kelaparan, perasaan simpati tetap akan terdetik. Sejak itu saya menyedari perasaan bermusuhan yang saya alami selama ini dengan anjing sebenarnya adalah sejenis trauma. Saya juga menyedari, saya bukanlah seorang yang anti-anjing, walaupun saya tidak suka melihat anjing berhampiran dengan saya. Saya juga menyedari, semakin takut saya kepada anjing, semakin kuat perasaan saya untuk mendekati, mengetahui dan memahami tentang anjing.

Saya menemui hal ini:
Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.[12] [Shahih Muslim – no: 1574]

Terhadap hadis di atas para fuqaha berbeza pendapat adakah haram atau makruh untuk memelihara anjing atas sebab-sebab selain menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Pendapat yang rajih (kuat) adalah makruh hukumnya, sebagaimana ulas al-Syaukani: [13]

Ini menjadi dalil atas kebolehan memelihara anjing atas sebab-sebab selain daripada apa yang disebut (dalam hadis di atas). Sesungguhnya ia tidak haram kerana sesuatu yang jika penggunaannya adalah haram ia tidak boleh digunakan dalam semua keadaan tak kira sama ada ia mengakibatkan pengurangan pahala atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa penggunaannya (memelihara anjing selain daripada tujuan menjaga tanaman, ternakan dan berburu) adalah makruh dan bukan haram.

Kesimpulannya, makruh hukumnya untuk memelihara anjing kecuali jika memiliki sebab-sebab yang tertentu demi menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Adapun hikmah hukum makruh ini antara lain adalah kerana memelihara anjing akan menyebabkan malaikat rahmat menjauhi rumah kita, menimbulkan rasa takut kepada tetamu dan salakannya mengganggu ketenteraman jiran.

PETIKAN SUMBER:
Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahwa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Pertama : Anjing itu sentiasa lapar,dia jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh.

Kedua : Anjing tidak mempunyai tempat yang tetap. Dia selalu berpindah randah mengikut keperluannya. Sifat ini adalah sifat orang-orang yang bertawakal kepada Allah.

Ketiga : Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja. Dia selalu berjaga-jaga. Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah.

Keempat : Jika anjing mati, dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris. Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud.

Kelima : Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah. Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya. Tidak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian.

Keenam : Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah, tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia. Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong.

Ketujuh : Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia pindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau berdendam. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.

Kelapan : Jika ia dipukul, dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan, dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang lepas. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang kusyuk.

Kesembilan : Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu. Jika diberi makan atau tidak diberi, dia diam sahaja. Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t.

Kesepuluh : Jika dia berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak menoleh-noleh ke belakang. Inilah tanda-tanda orang yang susah.