BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 30, 2008

Azam Tahun Baru - Panduan dan Tips Memilih Azam Untuk Tahun Baru

Ada orang kata, azam tahun baru merupakan perkara sia-sia. Tidak perlulah buat azam tahun baru, buat saja azam esok hari. Mungkin ada sesetengah orang keliru dengan konsep azam tahun baru. Definisi azam tahun baru pada pandangan peribadi saya ialah sikap dan kesungguhan untuk melaksanakan suatu perancangan berkaitan dengan strategi dan belanjawan yang dirancang untuk mencapai matlamat tertentu pada tahun tersebut.

Tahun baru kali ini mungkin agak istimewa bagi sesetengah kepercayaan keagamaan dan kebudayaan di beberapa tempat di dunia. Tahun baru bagi beberapa kalendar semakin hampir antara satu sama lain. Tiga tahun baru dalam masa sekitar satu bulan, adakah ini bermakna tiga azam perlu dirancang? Terpulanglah kepada sesiapa sahaja.

Azam adalah kesungguhan melaksanakan satu-satu perancangan. Bergantung kepada kebolehan individu. Azam saya pada tahun 2008 sudah terlaksana. Azam pada tahun 2007 juga sudah terlaksana. Azam pada tahun 2006 juga sudah terlaksana. Azam untuk tahun 2009 pula bagaimana?A

Terdapat beberapa jenis azam. Azam yang dapat dicapai dalam jangkamasa pendek, azam yang dapat dicapai dalam jangkamasa satu tahun. Pada pandangan saya, azam adalah satu peristiwa berkaitan dengan perbuatan yang dijadikan tabiat atau disiplin sepanjang tahun atau sepanjang masa. Contohnya, seseorang yang berazam untuk menurunkan berat badan dari 100 kilogram ke 60 kilogram, maka dia perlu melakukan senaman dan mengamalkan diet seimbang setiap hari.

Azam juga merujuk satu resolusi yang dapat menyelesaikan masalah kehidupan atau menyempurnakan cita-cita seseorang pada tahun sebelumnya. Ada orang yang berazam untuk mengubah sikap, menjadi lebih rajin berbanding tahun sebelumnya. Berhijrah dari dunia gelap menuju ke dunia yang penuh dengan nur dan kebaikan. Ada orang yang berazam untuk mengurangkan berat badan. Ada orang yang berazam untuk mempermudahkan perjalanan, daripada seorang pejalan kaki ke seorang pemilik kereta. Ada pula yang berazam untuk menjimatkan lebih banyak wang, lalu dia menjual kereta yang dimilikinya kerana belanja penjagaan kereta dan harga minyak yang semakin tinggi. Oleh itu azam yang dibuat mestilah realistik dan dapat dicapai.

Azam adalah berkenaan cita-cita dan hasrat. Ramai manusia memilih tahun baru sebagai titik permulaan hijrah atau titik perubahan hidup kerana selalunya banyak perkara penting yang berubah sekitar tahun baru. Mentaliti manusia berkenaan tahun baru menyebabkan azam tahun baru diwujudkan. Sesiapa yang ingin membuat azam digalakkan memberi ruang masa untuk berfikir sebelum membuat resolusi atau menetapkan azam secara muktamad.

Pada pandangan saya lagi, proses membina azam terdiri daripada beberapa fasa atau peringkat. Pada peringkat pertama ialah mengenalpasti masalah dalam kehidupan. Pada peringkat kedua, mengatur strategi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pada peringkat ketiga, cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dipilih sebagai azam. Pada peringkat keempat, persediaan dilakukan bagi mencapai azam yang ditetapkan. Pada peringkat kelima, usaha untuk mencapai azam tersebut dilaksanakan.

Manusia menetapkan tahun baru sebagai tarikh tutup penyertaan mendaftarkan azam atau matlamat mereka. Seperti satu bentuk tugasan. Jadi, sepanjang menunggu detik-detik terakhir atau pada permulaan tahun baru, mereka sama ada akan memberi tugasan pada diri mereka atau menunggu masa untuk menekan butang MULA dalam hati mereka.

Butang MULA untuk merangkak, berjalan atau berlari mengejar perubahan dalam hidup mereka. Azam adalah satu hasrat berkenaan nilai positif yang ingin dicapai oleh seseorang manusia.