BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Disember 05, 2008

Jurnal Pengembaraan - Amiene Rev di Plymouth

PLYMOUTH: Suhu sekitar 10 darjah celcius atau mungkin kurang daripada itu, memang betul-betul menjadikan darah seperti mahu dingin membeku. Setiap hembusan nafas mengewap dengan pantas. Aku dan Sam tiba agak lambat daripada masa yang dijangkakan. Kami akan berjalan-jalan dulu mencari buah tangan, sebelum berangkat ke rumah Ann dan keluarganya. Sambil kaki menjejak salji, aku mendiamkan kedua-dua belah telapak tanganku di dalam poket baju tebalku.

"Sam, ada tempat-tempat yang menarik di sini?"

"Saya bawa kamu ke Homepark. George Michael pernah datang ke situ."

"Benar?"

Homepark tidak begitu jauh dari Stesen Keretapi Plymouth. Aku dan Sam melalui Central Park, sebelum sampai ke Homepark.

Di Plymouth ini terdapat Theatre Royal Plymouth. Mungkin, aku Sam dan Ann akan ke sana. Aku bernasib baik kerana memiliki kawan seperti Sam dan Ann. Mereka banyak membantu sepanjang aku berada di tanah Inggeris ini.

Ingin sahaja aku bercerita apa yang aku bualkan dengan Sam di dalam keretapi tadi, tetapi isunya pasti sangat sensitif kerana berkaitan dengan Malaysia. Aku banyak memberi jawapan umum berbanding jawapan spesifik. Aku mahu Samantha datang sendiri ke Malaysia pada suatu hari nanti, supaya aku tidak berasa serba salah pada kemudian hari untuk setiap jawapan yang kuhidangkan kepadanya.

Namun, sekarang adalah masa untuk beberapa orang sahabat bersatu kembali. Aku mahu melupakan Malaysia untuk seketika. Lupakan segala urusan dan peristiwa yang pernah aku lalui di negara itu.

Botol kaca berisi surat yang diberikan oleh Caleb telah tersimpan di dalam kotak kecil. Botol kaca itu amat tebal dan berpenutup gabus, Caleb mahu aku melontarnya ke laut. Permintaan anak kecil itu pasti akan terlaksana, sebelum aku menjejakkan kaki aku kembali ke Edinburgh.

Aku tidak mahu kembali sebagai waris kepada salah sebuah keluarga bangsawan di sini, kerana aku ingin menghayati perasaan menjadi seorang rakyat Malaysia yang seolah-olah tidak berasal dari sini.

Satu kehidupan baru, satu perjalanan yang masih segar dengan kuntum-kuntum bunga mawar dan tulip.