BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Januari 21, 2008

Surat Untuk Adik Adiputra - 21 Januari 2008

Assalamualaikum Adik Adiputra,

Semoga sentiasa mendapat perlindungan dan petunjuk daripada Yang Maha Esa. Baru-baru ini wajah Adik tersiar di dalam surat khabar, berkaitan dengan membantu kes kehilangan Sharlinie. Kebolehan Adik dimanfaatkan lagi. Moga-moga Adik Sharlinie dapat ditemui lagi. Pemergian Adik Nurin begitu menyakitkan hati, apabila kita semua telah cuba membantu agar dia ditemui. Dalam keadaan berharap dan pada masa yang sama pasrah, sebagai orang yang jauh, yang tidak mengenali ahli keluarga Adik Sharlinie, kita cuma mampu menghulurkan bantuan, sekadar yang mampu.

Menerusi surat ini, ingin ditanya kepada Adik Adiputra, bagaimana status pembelajaran Matematik adik sekarang ini? Seluruh umat Manusia bangga dengan kewujudan adik, tetapi adakah Adik sudah memanfaatkan kebolehan Adik dalam bidang Logik dan Matematik dengan sepenuhnya?

Pernahkah Adik mempelajari subjek-subjek seperti ini Kalkulus, Aljabar Linear, Persamaan Terbitan, Statistik, Teori Set dan Mantik, Analisis Nyata, Kalkulus Vektor, Geometri Bukan Euklid, Pembolehubah Kompleks, Analisis Berangka, Matematik Diskret, Penyelidikan Operasi, Pentadbiran Statistik, Rekabentuk dan Analisis Ujikaji, Pensampelan dan Kawalan Mutu, Sejarah dan Falsafah Matematik, Aljabar Moden, Perisian Matematik, Persamaan Terbitan Separa, Kalkulus Ubahan, Mekanik, Kawalan Optimum, Pengoptimuman, Teori Kata Putus, Simulasi Sistem Diskrit, Siri Masa, Sistem Kepintaran, Pengaturcaraan C dan lain-lain subjek?

Masih terlalu banyak cabang dan subjek Matematik yang boleh Adik pelajari pada masa ini. Adalah satu kerugian buat warga Malaysia, apabila aset negara seperti Adik tidak didedahkan dengan ilmu-ilmu Matematik yang disebutkan di atas.

Adik Adiputra, barangkali adalah FredrÄ°ch Gauss Malaysia yang dapat memberi inspirasi terhadap pelajar-pelajar jurusan Matematik di seluruh Malaysia. Mungkin, Insya-Allah Adik Adiputra suatu ketika nanti akan temui kaedah-kaedah belajar dan mengajar Matematik yang lebih mudah untuk diterapkan di sekolah-sekolah. Ini suatu khazanah berharga dalam bidang pembelajaran Matematik suatu masa nanti. Satu kata-kata Adik Adiputra yang sangat-sangat menarik lebih kurang seperti berikut:

"Cikgu ajar Matematik cara susah, saya belajar cara mudah." - Adiputra

Kenapa, masihkah tidak ada seseorang pun menangkap sesuatu daripada kata-kata Adik ini? Teruskan. Amat rugi sekiranya Adik belum lagi diberi peluang mempelajari subjek-subjek Matematik peringkat universiti dari sekarang.

Semoga kejayaan mengiringi Adik, dan semoga kejayaan Adik ini akan memberi manfaat yang besar untuk manusia dan alam ini. Salam hormat,


Yang benar,
Amiene Rev