Jibunsyi Peribadi Terhebat
Seorang sahabat saya yang hidupnya sangat menderita tiba-tiba menghubungi saya sekejap tadi. Dia memberitahu saya, dia sudah bersedia untuk membungkus kemas-kemas kisah hidupnya yang sebelum ini dianggap sebagai memalukan, sejarah kegelapan yang penuh dendam, derita, kebencian dan dosa, sehingga menjadi sebuah novel.
Saya doakan agar novelnya ini akan menjadi satu karya sastera legenda yang kekal sehingga berabad-abad lamanya. Sudah lama benar dia menderita, nampaknya sekarang dia sudah bangkit semula. Saya sempat menjenguk blognya sebentar tadi, dan nampaknya sejak akhir-akhir ini dia sudah kembali rajin menulis.
Saya pula, kemungkinan akan berhenti menulis di blog selepas bulan Februari 2008. Jika saya menulis pun, barangkali dalam Bahasa Inggeris, kerana semester ini saya perlu mengambil satu subjek khusus. Besar harapan saya sekiranya lulus subjek ini, maka saya akan mempunyai masa depan yang cerah pada kemudian hari.
Hasrat untuk berangkat ke Eropah, menjejak sejarah silam, akan dapat dipenuhi. Kemungkinan, saya akan terus menetap di sana. Ketika itu, saya pasti akan merindui Malaysia.
Darah yang mengalir dalam badan saya, lebih banyak Melayunya berbanding darah orang di sana. Sedangkan, di Safa dan Marwah, bermulanya kisah manusia yang pertama di muka bumi, sebelum kedua-duanya ditemukan di Jabal Rahmah.
Bagi setiap orang, tidak ada yang lebih hebat selain kisah hidup peribadi. Kisah hidup yang romantis lagi menyayat hati. Menghibakan hati apabila mengingatinya, membangkitkan kesedaran, mempersoalkan takdir dan kemudian menyesali akan kesilapan lalu.
Semoga berjaya, sahabatku.
Dan telah aku kenali siapa dirimu, sejak bertahun-tahun dahulu. Ketika itu, duka sering mengiringimu. Dengan iringan perkataan 'nakama', menghidupkan ruang hati yang sepi, supaya kembali mengingati, jalan-jalan silam yang pernah kau lalui. Pasti, dengan tegas dan garang, kau hadapi semua pengalaman silam itu, demi mencari satu jawapan. Dan dengan jawapan itu, dunia yang kelihatan gelap itu, tiba-tiba disinari nur kesyukuran.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah...
|