BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Mac 31, 2007

MISSING BOY - BUDAK HILANG SEJAK 31 MAC 2007 - MUHAMMAD NAZRIN SHAMSUL GHAZALI


Those of you who frequent the bloggerhood would probably have already heard about this. Muhammad Nazrin (aged 5, pictured on the left), known also as Yin, went missing from the Sogo mall in Kuala Lumpur, 31 MAC 2007.

CCTV footage has revealed that the little boy left the shopping mall.

If anyone spots the child, kindly alert the police immediately, after of course making sure the little one's been secured. You can also call the boy's father, Shamsul Ghazali Shamsuddin, at (012) 509-0451.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Nazrin boleh menghubungi Shamsul Ghazali atau isterinya, di talian 012-374 9647 atau 012-509 0451 atau terus hubungi Balai Polis berdekatan.

Muhammad Nazrin dilaporkan hilang lebih kurang pukul 2 petang 31 Mac lepas ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di kompleks beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Rakaman CCTV selama 17 minit menunjukkan kanak-kanak itu menaiki eskalator dan berjalan keluar menghala ke Jalan Raja Laut seorang diri pada pukul 2.45 petang, kira-kira 15 minit selepas bapanya membuat pengumuman kehilangannya di pusat membeli belah itu.

Nor Amizah berkata, suaminya turut menerima empat panggilan mengenai penemuan Yin yang dikatakan berada di tempat berasingan sekitar Petaling Jaya (PJ), Gombak, Kedah dan Kelantan.

“Pemanggil pertama kata Yin berada di Tumpat, Kelantan, pemanggil kedua kata di Seksyen 14 PJ, yang ketiga kata di Kedah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan yang terakhir kata dia berada di rumah pangsa di Gombak,” katanya.

Ibu Yin, Nor Amizah Ahmad, berkata suaminya menerima panggilan itu daripada seorang perempuan yang mendakwa dari Tumpat memaklumkan bahawa Yin ada bersama-sama empat lelaki di sana dan akan dibawa ke Myanmar.




PENGKRITIK BLOG: Pencarian Blogger-blogger Terhebat Dalam Kelasnya!

Nampaknya pencarian seorang pengkritik blog, untuk mencari blog-blog terhebat sepanjang tahun 2007 akan berakhir tidak lama lagi. Beberapa blog terhebat sedang ditinjau, namun tidak diulas, sebaliknya lakaran dibuat di satu tempat yang cukup rahsia. Anugerah Blog Pilihan Amiene Rev ini adalah anugerah peribadi yang diberikan kepada mana-mana blog yang didapati menepati pilihan dan kriteria yang dijangkau oleh saya.

Buat masa ini, sfera kaca yang berwarna biru di sebelah belum lagi bercahaya sepenuhnya, menunjukkan belum ada sasaran tetap penerima Anugerah Blogger Pilihan Amiene Rev untuk tahun ini.

Setiap blog yang disenaraikan berikut adalah blog yang mendapat pencalonan awal berdasarkan kriteria-kriteria yang telah dipenuhi. Salah satu ciri-ciri utama yang penting ialah penulisan blog.

1. Blogger Bahasa Ibunda Pilihan
Ciri-ciri: Blogger yang menulis dengan cara yang disenangi iaitu menghormati Bahasa Melayu, begitu juga dengan bahasa-bahasa lain dalam penulisannya.

2. Blogger Penghibur Hati Pilihan
Ciri-ciri: Hasil tulisan mencuit hati.

3. Blogger Selebriti Pilihan
Ciri-ciri: Sesiapa yang bertaraf selebriti atau dianggap sebagai selebriti. Secara amnya, mereka ini adalah tokoh-tokoh yang mencipta nama melalui penulisan blog. Antara kriteria yang dilihat adalah dari segi penyampaian bahasa, garapan idea dan mesej yang disampaikan.

4. Blogger Inspirasi Pilihan
Ciri-ciri: Blog yang mempunyai unsur-unsur kerohanian, motivasi, kisah-kisah pengajaran yang asli, nasihat dan sebagainya.

5. Blogger Bahasa Terburuk Pilihan
Ciri-ciri: Blogger yang menggunakan Bahasa SMS dan bahasa rosak. Namun begitu, kredit tetap akan diberikan kepada blogger sebegini yang menulis sesuatu yang bermakna kepada masyarakat. Kredit dan kutukan!
  • Dirahsiakan. Bersiap sedialah! Ha! Ha! Ha!

6. Blogger Berani Pilihan
Ciri-ciri: Penulis blog yang bersuara lantang, tegas, keras dan seumpamanya. Antara calon-calonnya ialah:

7. Blogger Karyawan Pilihan
Ciri-ciri: Blogger yang aktif dan tekun dalam menghasilkan karya-karya kreatif untuk tatapan pembaca blognya. Karya kreatif dalam konteks ini ialah puisi, cerpen, sajak, novel dan sebagainya.

8. Blogger Inovatif Pilihan
Ciri-ciri: Blogger yang merekabentuk blognya sendiri atau untuk orang lain.


Akan tiba masanya nanti... pada suatu hari nanti, untuk nama-nama blogger tersebut diumumkan di sini. Memandangkan perkara ini bakal memeningkan kepala seorang pengkritik blog yang sedang sibuk, maka masa penilaian untuk pemilihan pemenang akan diputuskan beberapa bulan lagi. Para pengunjung juga boleh memberi komen atau undian mana-mana blogger yang tersenarai di atas. =.="

Selamat Menyambut Maulidur Rasul


Selamat Menyambut

Maulidur Rasul

Khamis, Mac 29, 2007

Wanita Srikandi - Wirawati Di Mata Lelaki

Sekali lagi Amiene Rev kembali dengan tema kewanitaan dan ulasan mengenai pandangan majoriti lelaki terhadap wanita-wanita yang boleh dijadikan calon isteri.

Sebelum ini, Amiene Rev telah mengulas mengenai wanita yang bertudung labuh. Wanita bertudung labuh umpama bidadari yang turun dari syurga - cukup mempersonakan dari sudut pandangan mata majoriti kaum lelaki.

Kali ini Amiene Rev mengulas pula satu lagi calon isteri pilihan dari situasi isteri yang berusaha menutup aurat walaupun terdapat kekangan di tempat kerja.

Bagaimana sekiranya seorang wanita itu terpaksa bekerja dengan uniform berlengan pendek? Contohnya di restoran makanan segera dan kompleks membeli belah.

Ada sesetengah wanita akan memilih untuk mengenakan tudung, dan memakai apa itu yang macam stokin lengan tu, semasa bekerja. Mereka ini, seboleh-bolehnya sedaya upaya untuk menutup lengan dan rambut mereka daripada terdedah di tempat awam.

Di mata kebanyakan lelaki termasuk Amiene Rev, wanita sebegini, yang masih sedaya upaya berusaha untuk menutup bahagian auratnya walaupun terdapat kekangan dari segi uniform kerja, adalah wanita yang memiliki sifat keperwiraan atau srikandi.

Mereka dilihat sebagai wanita-wanita yang setia, amanah dan pandai berdikari. Dalam rasa simpati, akan lahir rasa terharu dan hormat di hati lelaki apabila melihat wanita-wanita ini berusaha untuk menutup aurat mereka.

Bagi kebanyakan lelaki, wanita seperti ini layak tersenarai sebagai calon isteri, calon ibu kepada anak-anak mereka, calon menantu kepada ibu bapa mereka.

Wanita yang berusaha untuk menutup auratnya dalam apa jua apabila dipandang dari sudut mata seorang suami terhadap seorang isteri, akan dianggap sebagai seorang isteri yang setia, amanah terhadap suaminya. Isteri seperti ini juga dikategorikan sebagai pandai berdikari, bijak dan boleh diharap dalam usaha-usaha membantu suami dalam mengurus dan merancang masa depan rumah tangga.

Syabas kepada wanita-wanita seperti ini!

Contoh Wanita Srikandi - Ruqaya Al Ghasara

Ruqaya Al Ghasara adalah seorang atlet sukan olahraga dalam acara trek, larian 60m, 100m, 200m.

Wanita ini memenangi pelbagai acara sukan yang penting termasuk mencipta rekod baru dalam sukan olahraga peringkat antarabangsa, antaranya Asian Indoor Championships di Tehran 2004, Asian Games Doha 2006 dan terpilih ke Olimpik. Beliau memakai hijab atau tudung semasa menyempurnakan larian-lariannya.

Beliau dianggap sebagai ikon, srikandi dan wirawati kerana usahanya memakai hijab semasa merebut pingat untuk negaranya. Ternyata beliau mampu mendapatkan pingat emas biarpun memakai hijab.

Ini menguatkan lagi pandangan majoriti lelaki bahawa wanita yang berusaha untuk menutup aurat (tidak mendedahkan rambut dan kulit) biarpun dalam kekangan uniform/pakaian bertugas, adalah wanita yang pandai berdikari, gigih berusaha, setia dan amanah.

Kisah Ruqaya Al Ghasara, pelari pecut yang berusaha melindungi mahkota pentingnya dari penglihatan awam merupakan satu kisah yang mampu membuatkan ramai lelaki berasa teruja dan kagum. Beliau adalah legenda (LIVING LEGEND) yang wujud dan mengangkat martabat wanita-wanita dalam bidang sukan.

KITAB: Sebelum waktu malam tiba

Tengah hari semalam, aku melakukan aktiviti fizikal yang banyak. Mula-mula aku berjalan kaki secara pantas dari kampus menuju ke bandar, sekitar 1-2 kilometer.

Kemudian apabila tiba di kampus pada waktu petangnya, aku pergi pula ke tapak program untuk membuat kejutan, menyusun berpuluh-puluh kerusi meja seorang diri untuk latihan kekuatan tangan.

Kebetulan kelmarin ialah Hari Rabu dan merupakan hari ko-kurikulum. Sayang sekali, petang semalam, ada beberapa orang menyaksikan aku. Ceh, tidak jadi membuat kejutan. Aku tidak mengenali pelajar-pelajar itu, aku tidak sedar mereka mengintip aku seorang diri di dalam bilik seminar itu. Tetapi mereka bukan AJK KITAB. AJK KITAB terpaksa datang pada waktu malam, kerana pada petang itu mereka ada aktiviti lain.

Anak Kecil
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2007

Anak kecilku
Terus mencari ilmu
Di tempat suci

My little children
Continue seeking knowledge
In a sacred place

Aku tidak mahu AJK-AJK tersebut berpeluh pada waktu malam kerana ini boleh mengurangkan keselesaan semasa membimbing tutee. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk meringankan beban mereka secara bersendirian. Lagi pun, hari ini ialah Hari Ko-Kurikulum.

Selepas selesai mengangkat dan menyusun kira-kira 40 buah meja dan 60 buah kerusi, aku terus pulang ke kolej sambil menanti waktu Maghrib, sebelum bertolak ke tapak program.

Terlena seketika, malam itu aku kira agak lambat tiba iaitu sekitar 20 minit sebelum kelas KITAB bermula. Kelas bermula sekitar 8.30 malam, aku tiba sekitar 8.10 malam. Sebenarnya pada hari ini, ramai tutor sedang menghadapi ujian akademik. Jadi cuma dua per tiga daripada jumlah sebenar tutor dapat hadir.

Walau pun sudah minggu ke-4, namun malam ini masih ada pendaftaran baru, kemasukan tutee dan tutor baru. Jadi, bilangan tutor tetap berada di tahap memuaskan dan lebih daripada mencukupi.

Sementara itu, aku sempat membaca berita mengenai sekolah kluster dan pembelajaran secara holistik. Berita ini menggembirakan aku. Sekiranya konsep sekolah kluster ini menetapi persepsi aku, maka kewujudan sekolah kluster akan memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan kepada para pendidik. Ini kerana para pelajar akan diberi peluang belajar mengikut potensi pencapaian kendiri berdasarkan bakat individu yang unik. Kita akan dapat lihat tokoh-tokoh yang bertaraf pemenang Hadiah Nobel akan muncul di kalangan generasi baru, pada masa akan datang.

Begitu juga dengan langkah-langkah memperketatkan syarat-syarat pengambilan mahasiswa dalam bidang pendidikan berdasarkan personaliti. Nampaknya, Program KITAB wujud, kena pada masanya. Apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan itu selaras dengan apa yang sedang aku usahakan sekarang.

Aku sering memberitahu anak-anak murid aku dahulu, "Selepas habis SPM, ambil Ujian Personaliti. Jumpa cikgu kaunseling atau kaunselor sekolah."

Selasa, Mac 27, 2007

Voice Actor - Pelakon Suara

Salah satu cita-cita sampingan aku adalah untuk menjadi pelakon suara atau voice actor. Malang sekali, aku sendiri pun tidak tahu di mana saluran yang sesuai untuk memulakan kerjaya dalam bidang ini.

Antara tokoh-tokoh pelakon suara terkenal tanah air ialah
Erra Fazira dan M. Nasir yang berlakon suara untuk filem animasi Malaysia yang berjudul Putih. Oh, ya, jangan lupa dengan animasi televisyen pertama Malaysia, iaitu Usop Sontorian. Ciptaan kartunis legenda tanah air, Ujang.

Bercakap mengenai pelakon suara secara global. Aku tertarik dengan pelakon-pelakon suara dari Jepun untuk animasi mereka. Penghayatan yang sangat tinggi. Antara suara-suara yang aku cukup suka adalah suara
Gaara dan Shikamaru.

"Sabaku Sou Sou!" Wah! Menarik! Sebagai seorang pengkritik blog (=.="), aku memberi markah yang sangat tinggi untuk suara Gaara. Suara Shikamaru juga cukup bagus. Penghayatan yang sangat tinggi dan bersesuaian dengan watak.

Kebetulan suara
Gaara mirip dengan suara... ehem. ehem. Tidak-tidak, sebenarnya aku yang meniru suara Gaara. Mungkin sebab aku agak garang semasa melakonkan suara ini. Tidak, aku berbohong. Aku perlu merakam kembali suara aku. Barangkali aku syok sendiri. Ha. Ha. Kenapa hari ini perasaannya cukup tenang semasa menulis blog? Sebenarnya suara aku tidak sama seperti Gaara, tetapi campur tangan mentaliti yang mengabui pendengaran.

Jika aku ingin menjadi pelakon suara, aku mesti mengatasi sikap dan mentaliti sebegini. Kena lebih banyak
merakam suara dan mendengarnya kembali. Bosan, setiap kali aku cuba merakam suara, kedengaran seperti ada orang memerhati dan mencuri dengar. Bunyi tapak-tapak kaki berlalu di depan pintu bilik aku kedengaran. Manusia-manusia seolah-olah mengintai bilik aku menerusi tingkap bilik di bangunan seberang sana. Wah! Ini pengalaman aku merakam suara.

Bagaimana pun, aku sedar adanya perubahan suara untuk watak
Naruto. Suara Naruto adalah milik seorang pelakon suara wanita bernama Junko Takeuchi. Suara kanak-kanak yang nyaring "Are! Are!" dan suara remaja yang agak garau. "Ohm! Ohm!"

Sekarang Naruto sudah memasuki zaman remaja. Aku meramalkan, Naruto pasti akan terkorban pada suatu hari nanti. Atau, barangkali, Sasuke yang akan terkorban. Antara dua watak utama ini, cuma satu yang akan dapat hidup kekal. Bagaimana, jika... Shikamaru yang terkorban?

Isnin, Mac 26, 2007

Laluan Pintas Dari Rumah Barkat ke City Square

Kali ini saya ingin mendedahkan mengenai laluan pintas untuk para pejalan kaki. Anda boleh juga menaiki teksi dari City Square ke Rumah Barkat, tetapi berulang-alik sahaja, akan memakan kos sebanyak RM10-RM12. Itu untuk satu kali ulang-alik, bagaimana pula untuk banyak kali?

Oleh itu, di sini, saya ingin berkongsi laluan pintas yang pernah saya lalui (siang hari) untuk sesiapa yang berminat untuk berjalan kaki.

Ini adalah peta satelit mengenai kedudukan Rumah Barkat dari City Square. Garis biru muda (Cyan) itu merujuk kepada anggaran laluan saya (hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki - kereta atau motosikal tidak boleh lalu) dari Rumah Barkat ke City Square semasa Ramadhan 2006. Berdasarkan imej satelit, jaraknya dipercayai dalam lingkungan 1 kilometer. Berhati-hati dengan pencopet.

Laluan ini sah boleh digunakan pada Ogos-September (bulan Ramadhan) tahun lalu (2006). Sekarang saya tidak pasti sama ada boleh dilalui lagi atau tidak, sebab projek pembinaan sedang pesat dilaksanakan di sana. Ketika itu, bulan Ramadhan, saya mengajar anak-anak yatim Tingkatan 5 di Rumah Barkat pada waktu petang. Laluan ini saya perolehi dengan bertanya kepada penduduk di Flat Bukit Cagar.

Awas! Sekali lagi saya beri peringatan. Laluan ini ada pencopet. Tidak digalakkan mengikuti laluan ini pada waktu petang, senja atau malam. Juga ada kemungkinan anda akan bertembung dengan anjing-anjing liar atau penagih dadah. Anda juga perlu mengharungi lintasan rel keretapi, jadi berhati-hati sebelum melintas pada malam hari, takut kaki tersangkut pada rel keretapi.

Juga perlu diingatkan, kesesakan lalu lintas akan bermula sekitar jam 5.30 petang. Sekiranya anda menaiki bas pada waktu ini, kemungkinan anda akan tiba di Taman Universiti sekitar jam 7.30 malam. Jadi, tunaikan apa-apa yang patut semasa anda berada di Rumah Barkat atau di City Square.

Rumah Barkat dalam kenangan. Saya ingin pergi lagi pada masa akan datang. Namun kali ini saya tidak lagi berseorangan, sebab saya akan menyertai geng tutor sebuah organisasi yang beroperasi di UTM. Juga ada kemudahan bas atau pengangkutan yang sewajarnya, harapnya, begitulah.

Kewujudan organisasi ini, Kelab Penyayang tidak saya ketahui sehinggalah semasa saya pergi dan mengajar sendiri di Rumah Barkat. Ramai orang ingin melakukan sesuatu kebajikan, namun tidak tahu ada saluran-saluran tertentu. Oleh itu, perlu ada promosi dan hebahan mengenai aktiviti-aktiviti kebajikan pada masa akan datang, supaya lebih ramai orang tahu dan tertarik untuk menyertainya, demi kebaikan semua pihak.

Aktiviti tutor di Rumah Barkat dijangka bermula kembali pada semester hadapan, khusus untuk pelajar-pelajar UTM. Sementara itu, KITAB kini bakal melaksanakan kelas ke-4 dan ke-5. Selepas itu akan disambung dengan KITAB2 pada semester hadapan.

Mahasiswa UTM atau bakal-bakal mahasiswa UTM (yang akan belajar di UTM) pada semester hadapan, sekiranya anda membaca catatan ini, nantikan kemunculan KITAB2.


NOTA AMIENE REV: Kedua-dua aktiviti ini, Tutor Anak-anak Yatim Rumah Barkat (Kelab Penyayang, UTM) dan Tutor Anak-anak Desa Bakti (Cikgu Amien - PMP, Fakulti Pendidikan, UTM) dianjurkan oleh dua organisasi berbeza. Matlamatnya sama, tetapi pendekatannya akan ada perbezaan. KITAB Fasa 1 (percubaan) akan tamat tidak lama lagi, dan pada semester hadapan, objektif-objektif baru akan ditambah lagi.

Memandangkan ada antara tunggak-tunggak penting KITAB akan menjalani latihan mengajar pada semester hadapan, muka-muka baru akan dicari untuk meneruskan perjuangan orang-orang lama.

Aku tidak pasti sama ada masa itu masih banyak atau tidak... perlu ada orang yang arif mengenai konsep KITAB sebelum dia berupaya untuk menggantikan tempat aku apabila aku tidak ada lagi di UTM pada tahun-tahun seterusnya. Buat masa ini, calon-calonnya sudah ada. Sekiranya aku pergi lebih awal, maka KITAB akan diteruskan dengan tahap Fasa 1 sahaja...

Ibu-ibu Tua Terbiar Mengemis Di Jejantas

PENGEMIS IBU
Hakcipta:
Amiene Rev (C) 2007

Ibu mengemis
Perut kosong berbunyi
Lagu jalanan

A mother begging
Empty stomach is crying
A song for the road

Hm. Aku masih belajar menulis haiku. Bukan sahaja tidak berpuas hati dengan apa yang aku tulis, tetapi apa yang aku perhatikan minggu lalu.
Orang Melayu pada masa kini, sanggup membiarkan ibu-ibu mereka mengemis di jalanan. Betul atau tidak? Segelintir sahaja, yang akan menjawab "ya". Atau mereka mungkin tidak menjawab ya, sebaliknya mendiamkan diri, bersetuju dengan terpaksa, atau rela hati.

Di Plaza Angsana, ada beberapa buah kedai buku. Aku sering berkunjung ke kedai buku ini, meneliti buku-buku baru. Aku perlu melalui jalan gelap seperti terowong, beratapkan lebuh raya, sebelum tiba ke plaza itu.

Sering ada, anak-anak kecil, orang-orang tua atau orang-orang cacat yang mengemis. Apabila pulang pula, ada sebuah jejantas merintang lebuh raya, yang perlu dilalui untuk menunggu bas. Di atas jejantas ini, terdapat dua, tiga atau empat orang ibu tua yang meminta sedekah.

Apabila terdapat seorang ibu mengemis, kemungkinan terdapat sifar atau lebih orang anak yang membiarkan ibu mereka mengemis. Sekarang ada empat orang ibu terbiar, apa maksudnya?

Adakah ibu ini sebatang kara, atau mengemis untuk suka-suka? Ibu-ibu ini merajuk dengan anak-anakkah?

Plaza Angsana masih menjadi salah satu pusat untuk berhibur. Agak ramai anak-anak muda lalu lalang di jejantas itu. Mereka terjerit-jerit di peti kareoke, melontar bola di pusat boling, menilik dan membeli fesyen baju terkini, mengigit daging burger dan pizza di restoran makanan segera.

Apabila balik, muda-mudi ini berpegang-pegangan tangan dan berpeluk-pelukan di hadapan ibu-ibu tua ini. Ibu-ibu tua yang mengemis, mendongak, memandang tinggi ke arah anak-anak muda ini, mengharap belas kasihan.

Apa yang sebenarnya berlaku dalam dunia kini? Nilai-nilai kemanusiaan makin terhakis. Kebiadaban sudah menjadi identiti bagi kebanyakan generasi baru hari ini. Tidak sah bangsa Melayu moden jika tidak biadab. Berapa ramai anak-anak muda kita yang mengangkat tangan, menyertai konsep baru bangsa Melayu Moden sama ada secara rela hati atau terpaksa?

Khamis, Mac 22, 2007

Kuda Ketenangan dan Kayak

Biar aku mulakan jurnal aku hari ini dengan sebuah Haiku yang aku tulis sebentar tadi:

KUDA BERLARI
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2007

Kuda berlari
Menabur debu pasir
Tenang gembira

The Horse is running
Spreads the powder of the sand
Peaceful and happy

Begitulah, bunyi haiku ini. Sehari sebelum kelas ketiga KITAB berlangsung, aku meluangkan masa berjalan kaki sekitar beberapa kilometer di perkarangan universiti. Sejak awal tahun ini, aku belum berkesempatan bercuti.

Tidak ada kesempatan untuk berehat. Jadual harian dan tanggungjawab yang padat, memenuhi ruang-ruang nafasku. Aku berjalan-jalan menyaksikan kayak yang berderetan di tasik. Aku harap akan dapat mengayuh kayak di tasik pada suatu ketika nanti.

Kemudian aku berjalan-jalan lagi, merentasi padang yang luas menghijau, dengan deretan kanak-kanak yang baru pulang dari Sekolah Agama dan pemain-pemain bola sepak, hoki, kriket yang bertaburan di atas padang. Matahari belum bercahaya jingga, aku tiba di sebuah kandang kuda yang luas. Belasan ekor kuda pelbagai warna, kuning pasir, putih susu, coklat, perang, hitam dan merah, ada yang berada di dalam kandang, ada yang berlari-lari di atas pasir.

Aku mendapati bunyi bising di padang kawad, persiapan untuk Pesta Konvo yang akan berlangsung sekitar satu minggu. Aku melihat ada beberapa pelajar warga asing sedang berlatih menunggang kuda. Aku melalui berhampiran pagar, melihat ada dua ekor kuda yang tidak ditunggangi, bermain-main di dalam padang.

Aku merapati pagar. Salah seekor kuda datang menghampiriku. Dia merenungku. Kemudian dia berlalu pergi. Berlari-lari, kemudian datang sekali lagi menapak ke arahku. Aku memandangnya sekilas lalu.

Kemudian kuda itu berguling-guling di atas lantai. Aku memandangnya seketika sambil tersenyum. Kemudian aku kembali mendengar kata-kata jurulatih yang sedang mengajar seorang pelajar menunggang kuda.

Kuda itu datang dekat kepada aku, lalu meragut rumput-rumput yang berhampiran di kakiku. Aku memerhatinya lagi, kemudian mengalihkan lagi pandangan terhadap pelajar yang sedang menunggang kuda. Pelajar itu belajar mengendalikan kudanya untuk melompat pagar.

Ketika aku sedang khusyuk mendengar kata-kata jurulatih terhadap seorang pelajar. Tiba-tiba kuda itu sengaja berjalan di samping aku, lalu melibas ekornya ke muka aku.

"That's one is a female. Very dangerous," ujar seorang pelajar warga asing kepadaku sambil ketawa.

Rupa-rupanya kuda betina itu geram kerana aku tidak melayannya. Ha! Ha!

KITAB: Malam Ketiga Yang Damai dan Mesra

Malam tadi, biarpun bertembung dengan program besar di universiti, program yang kebiasaannya menarik ramai mahasiswa untuk ke tapak kawad, namun suasana di Fakulti Pendidikan tetap tidak terjejas.

Sambutan masih terus menggalakkan. Malah kali ini, aura kedamaian dan kemesraan sudah mula dapat dirasai.

Sebenarnya aku tidak sangka, budak-budak ini akan mengingati nama aku. Sebab bagiku, sepanjang program ini berlangsung, aku tidak begitu menonjolkan diriku, atau mempamerkan nama aku terhadap khayalak. Malah ada yang masih tersalah anggap siapa sebenarnya yang menganjurkan program ini. Namun, aku membiarkan sahaja. Bagi aku, yang penting ialah kejayaan melaksanakan program ini, bukan atas dasar individu.

Namun begitu, dari segi asas dan konsep program ini aku pertahankan, sebab itu penting untuk menjamin matlamat program ini tercapai. Merujuk kepada pengasas adalah perkara yang perlu ditekankan terutama pada peringkat awal. Salah faham mengenai program akan berlaku apabila orang yang tidak arif mengenai program ini, membuka mulut. Namun segala-galanya sudah tidak jadi masalah lagi.

Aku jarang memberi arahan terang-terangan kepada para AJK KITAB. Arahan itu akan disampaikan oleh orang-orang yang telah kulantik, mengawal setiap bahagian masing-masing. Mereka perlu memahami konsep, rutin dan amalan yang perlu dilakukan sepanjang kelas ini berlangsung. Program ini bertujuan mewujudkan budaya intelektual secara santai, damai dan mesra di kalangan mahasiswa UTM dan anak-anak Desa Bakti.

Malam tadi namaku disebut-sebut. Budak-budak yang pernah belajar denganku memujiku di belakang-belakang. Mereka mahu belajar dengan aku. Hal ini dimaklumkan oleh Penasihat PMP dan juga para tutor yang lain. Mengikut sistem penyelarasan tutor KITAB, tutee tidak semestinya mendapat tutor yang sama setiap minggu. Namun, nampaknya pada malam tadi, aku terpaksa akur bahawa tutee yang sama mahu belajar lagi dengan aku.

Melihat semangat dan motivasinya untuk belajar lagi, biar pun pada malam itu dia agak keletihan kerana selsema dan latihan bola sepak sehingga jam 7 petang. Malam itu dia tetap bersemangat mahu menghadirkan diri untuk belajar. Jadi aku memenuhi hasratnya.

Tiba-tiba, aku teringatkan anak-anak murid aku di Kota Tinggi. Perkara yang seakan-akan sama nampaknya berulang lagi. Mengendalikan anak-anak murid yang keletihan kerana latihan sukan setiap hari.

Dalam kesibukan latihan, mereka perlu juga meluangkan masa untuk belajar. Nampaknya, pengalaman aku mengajar di sekolah sukan pada suatu ketika dahulu, boleh juga diaplikasikan untuk budak-budak yang belajar di sekolah biasa.

Mereka seronok belajar, mendengar, membaca dan menceritakan sesuatu kepadaku... dalam keadaan letih, mata yang penat, minat dan semangat mereka disegarkan kembali dengan teknik dan gaya pengajaran yang sesuai.... dan pada malam itu, barangkali mereka tidak tahu, seperti biasa migrain dan sakit yang masih menyerangku seperti kebiasaannya sedang berlaku. Namun, aku meneruskan pengajaranku seperti biasa. Sistem MANDAT telah diwujudkan sejak minggu lalu, jadi aku tetap yakin segala-galanya boleh berjalan lancar malam tadi.

Ini, barangkali, suatu perkara wajib diketahui dalam kehidupan setiap pendidik, yang perlu aku lalui.

Sekali lagi aku memohon, agar Tuhan sentiasa memberkati usahaku, mempermudahkan urusanku, meredhai tindakanku, merahmatiku dan juga para AJK dan Tutor KITAB yang lain.

Selasa, Mac 20, 2007

PETIKAN UCAPAN TOMOKO

Untuk kesan yang lebih baik, sila tutup lagu tema blog Duke Amiene Rev yang berada di bahagian kanan tepi sekali dalam blog ini. Jika tidak kelihatan pada paparan ini, maka gunakan tetikus untuk skrol ke bawah skrin komputer anda, dan tutup atau matikan sementara lagu tersebut. Entri kali ini khas untuk seorang teman yang nekad untuk membunuh diri, supaya dia menarik balik niatnya itu...



Drama: 
Great Teacher Onizuka (Jepun)

Peristiwa: 
Tomoko dalam pertandingan uji bakat

Sinopsis: 
Tomoko memiliki seorang rakan bernama Miyabi. Miyabi seorang yang berbakat dalam semua bidang. Ini menyebabkan dia menjadi idola Tomoko. Tomoko adalah seorang pelajar yang lembab dalam pelajaran. Namun dia memiliki kelebihan dalam bidang seni nyanyian dan lakonan. Cikgu Onizuka menyedari kelebihan Tomoko, dan cuba membantu Tomoko untuk meraih keyakinan dalam bidang seni.


SI ITIK BODOH, AKU SUNGGUH TERHARU SEKARANG PADA SESEORANG
*SIAPA DIA?
AKU SUNGGUH GEMBIRA KETIKA MIYABI BERBUAL DENGAN AKU BUAT PERTAMA KALI
MIYABI TU KAN KAWAN BAIK AKU
AKU TAK ADA KAWAN PUN MASA SEKOLAH RENDAH DULU
DIA YANG AJAK AKU BERSAMA DENGANNYA

MIYABI, AKU TAKKAN LUPA AKAN DETIK ITU BUAT SEUMUR HIDUP AKU
KAU SERING MEMBANTU AKU SELAMA INI
KAU PELAJAR YANG PALING DIGEMARI DI KELAS
NAMUN KAU MASIH BERGAUL DENGAN AKU YANG PALING TIDAK DIGEMARI DALAM KELAS

BAGI AKU...
AKU PALING BANGGA DENGAN MIYABI
AKU SERING MIMPI NAK JADI MACAM MIYABI
SERING MIMPI NAK JADI MACAM DIA

TAPI AKU DAH PUTUS ASA SEKARANG
SEBAB AKU PERLU SUKA PADA DIRI AKU SEKARANG
KALAU TAK...
SIAPA PUN TAKKAN SUKA PADA AKU NANTI
SIAPA PUN TAK NAK BERKAWAN DENGAN AKU
AKU PERLU BERUSAHA DAN TERUS BERUSAHA
MULAI SEKARANG AKU KENA LEBIH MENYAYANGI DIRI AKU INI
AKU DAH PUTUSKAN

Sebelum Lilin Sebelum Pendidik Mula Cair Mula Berkorban

Siapakah manusia yang mula-mula sekali, mencetuskan idea "Guru Umpama Lilin Yang Membakar Diri", sehingga fragmen mulia ini bercantum dalam pelbagai versi ucapan dan puisi?

Kita teliti api lilin yang menyala-nyala di dalam kegelapan. Kita teliti cairan lilin seperti tangisan harapan dan keringat kudrat seorang pendidik.

Lilin itu terus berjuang dalam kesunyian untuk menerangi dalam kegelapan, memberi petunjuk kepada sekian manusia. Adakah setiap guru itu umpama lilin yang membakar diri?

Adakah hanya segelintir guru sahaja yang layak memegang status ini? Dalam mata masyarakat dunia hari ini, guru tidak lagi dipandang kerana statusnya sebagai seorang pendidik. Profesionalisme dalam dunia pendidikan. Guru juga dianggap sebagai seorang yang memberikan kualiti perkhidmatannya berasaskan urusan antara dua pihak. Etika seorang guru. Prinsip dan piagam pelanggan. Status guru sudah semakin berubah.

Ibu bapa meminta sesuatu daripada guru, berdasarkan apa yang mereka 'dagangkan'. Guru juga adalah manusia, dalam dunia yang memandang wang dan material sebagai salah satu subjek asas kehidupan, harus menepati kualiti kerja mereka, atas prinsip profesionalisme dalam bidang perguruan.

Ini adalah perubahan. Pembudayaan intelektual, adalah perkara yang harus dibiarkan terus terserap. Namun sekiranya manusia masih memandang terhadap konsep yang salah berkaitan ilmu dan intelektual, maka bolehkah persoalan: "Apakah perkaitan antara memberi sumbangan dengan mendapat pencapaian akademik yang cemerlang?" dijawab dengan begitu mudah.

Di manakah guru-guru, yang pada suatu ketika dahulu berjuang atas dasar pendidikan percuma? Di manakah guru-guru, yang suatu ketika dahulu tidak mengharapkan ganjaran, kerana usaha mereka, memberi peluang kepada anak-anak bangsa untuk maju ke hadapan? Adakah, tanpa diberikan ganjaran, para guru akan terus berjuang atas dasar nama perguruan sejati, mutlak, unggul dan gemilang?

Zaman ini, tidak seperti zaman dahulu. Namun nilai-nilai kemanusiaan, langsung tidak akan berubah. Cuma, nilai-nilai ini akan terus diabaikan dari mata, telinga, jiwa dan logik akal yang bebas. Manusia terkongkong dengan peradaban baru yang dicipta oleh manusia-manusia yang dianggap berjaya.

Adakah penyelesaiannya? Setitik dakwat yang digunakan untuk menulis langkah-langkah penyelesaiannya adalah lahir daripada air mata kesedaran, seorang pendidik. Dalam diri anda semua, tersembunyi sumbu lilin yang menunggu, untuk kembali membara dan...

Jumaat, Mac 16, 2007

Belajar Haiku

Topik Khas: Belajar Haiku
Penulis: Amiene Rev
Sumber: www.geocities.com/haikumelayu

Hari ini saya belajar teknik atau kaedah menulis haiku secara andragogi. Setakat ini, saya masih mengkaji, oleh itu apa yang saya dapati ini belum tentu boleh dikatakan sebagai kefahaman mutlak saya mengenai konsep haiku. Haiku adalah suatu sajak bergambar yang berdisiplin mengikut tatacara penulisan tertentu.

Saya merujuk ke sebuah web:
http://www.geocities.com/haikumelayu
Untuk tujuan itu, saya merumuskan kefahaman saya mengenai haiku dalam 2 topik pembelajaran.


Topik 1: Suku Kata dalam Haiku

Berikut adalah apa yang saya dapat pada hari ini. Masa pembelajaran adalah suntuk, kerana saya perlu kembali ke penulisan akademik saya. Oleh itu apa yang dapat saya gambarkan mengenai haiku adalah seperti berikut:

Haiku adalah lakaran penulisan kata-kata yang indah berkaitan dengan gambar yang terdapat pada haiku tersebut. Haiku secara kebiasaannya menceritakan mengenai keindahan alam dan musim. Struktur haiku adalah seperti berikut:

5 suku kata pada baris pertama
7 suku kata pada baris kedua
5 suku kata pada bari ketiga.


Contoh:
Saya mengambil petikan haiku dari laman web tersebut untuk tujuan pembelajaran. Karya Aida Izzati Zainal Abidin (ketika itu berusia 7 tahun), pemenang Pertandingan Menulis Haiku Kanak-Kanak (tahun tidak dinyatakan).

Bunga berkembang (Bu+nga ber+kem+bang)
Unggas terbang nan bebas (Ung+gas ter+bang nan be+bas)
Damainya hati (Da+mai+nya ha+ti)

Perhatikan format suku kata 5-7-5 dalam baris-baris haiku di atas. Sekarang kita lihat pula terjemahannya dalam Bahasa Inggeris.

Flowers are blooming (Flo-wers are bloom+ing)
Insects are flying freely (In+sects are fly+ing free+ly)
My heart feels peaceful (My heart feels peace+ful)

Berdasarkan pembelajaran saya mengenai haiku, saya boleh simpulkan bahawa:

"Haiku merupakan satu penulisan penuh disiplin. Haiku yang baik akan dapat mengekalkan 5-7-5 format sukukata dalam baris-barisnya."



Topik 2: Fleksibiliti Terjemahan Haiku Ke Dalam Bahasa Asing (Bukan Jepun)

Kali ini saya memetik karya Basho yang menceritakan mengenai musim bunga:

"Furu ike ya kawazu tobikomu muzu no oto"

Ayat tersebut dalam Bahasa Jepun ditulis sebaris tetapi apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, ayat tersebut menjadi tiga baris dengan format suku kata
5-7-5.


Terjemahan Inggeris:

An old pond
(an old pond:
3 suku kata, gagal diterjemahkan menjadi 5 suku kata)

a frog jumps in
(a frog jumps in:
4 suku kata, gagal diterjemahkan menjadi 7 suku kata)

the sound of water
(the sound of wa+ter:
5 suku kata)

Nota: Nampaknya ada masalah dalam menterjemahkan haiku ini ke dalam Bahasa Inggeris.

Kita lihat pula terjemahan berikut.


Terjemahan Melayu:

Kolam nan tua (ko+lam nan tu+a: 5 suku kata)
kodok terjun ke dalam (ko+dok ter+jun ke da+lam: 7 suku kata)
percikan air (per+ci+kan a+ir: 5 suku kata)

Nota: Hebatkan Bahasa Ibunda Kita? Sungguh fleksibel dalam menterjemahkan haiku, setakat ini.

Memandangkan ada sesetengah Haiku mempunyai masalah dalam fleksibiliti penterjemahan, disiplin berikut telah dicadangkan kepada penulis-penulis haiku yang ingin menulis haiku dalam bahasa selain Bahasa Jepun. Keempat-empat disiplin ini iaitu penggunaan baris, suku kata, patrun dan tanda musim adalah berdasarkan penerangan dari laman web:
http://www.geocities.com/haikumelayu.

Disiplin-disiplin Penulisan Haiku Selain Bahasa Jepun:
  1. Penggunaan baris - tiga baris
  2. Suku kata - tidak perlu betul-betul terhad kepada 17 sukukata (ertinya boleh saja kurang atau lebih sedikit)
  3. Patrun - tidak perlu terpaksa menggunakan 5-7-5 (supaya bentuk moden atau gaya bebas boleh lahir)
  4. Tanda musim (Kigo atau Kidai) - boleh atau boleh juga tidak.
Hampir setengah dari semua haiku Jepun menyertakan kigo (perkataan bermusim) yang merujuk kepada keindahan alam, tumbuh-tumbuhan, cuaca dan alam sekitar)



Nampaknya pembelajaran saya mengenai haiku boleh ditangguhkan seketika.

Kajian tambahan: Perhatikan bilangan objek dalam haiku-haiku yang dinyatakan dalam entri ini.

Kajian sampingan: Sudoku, Gomoku, Haiku... saya dapati ada sebutan 'ku' di belakang setiap istilah. Barangkali membawa makna tertentu. Nampaknya budaya orang Jepun sangat sistematik. Ini dapat diperhatikan betapa tingginya disiplin dan sikap hormat-menghormati dalam budaya orang Jepun. Tidak hairanlah jika mereka berjaya menggemparkan dunia suatu masa dahulu. Namun, bangsa kita, Malaysia juga ada kelebihannya. Mungkinkah dengan mempelajari haiku, kita dapat meningkatkan adab dan tatasusila kita?


Catatan peribadi:
Selepas solat Jumaat di masjid tadi, saya terfikir kenapa adanya adab-adab seperti melangkah ke masjid dengan kaki kanan, melangkah ke tandas dengan kaki kiri dan sebagainya. Rupa-rupanya ada nilai-nilai sistematik. Begitu juga budaya menunduk dalam orang Jepun. Oh, ya, solat itu juga sistematik.

Menerusi pemikiran ini, timbul ilham baru yang boleh saya terapkan dalam Program KITAB yang akan datang. Ada sesuatu yang menarik untuk dicuba.

Khamis, Mac 15, 2007

KITAB: Kelas Kedua Yang Lebih Bergaya dan Berjaya!

Kejayaan berterusan dan semakin baik! Alhamdulillah, malam tadi persembahan semua AJK adalah jauh lebih memukau berbanding kelas pertama. Masalah kebanjiran tutee dan tutor berjaya ditangani dengan sangat baik. Tidak ada lagi jawatankuasa yang tergamam.

Sistem MANDAT yang aku perkenalkan terlaksana dengan baik. Justeru, dengan ini, sekiranya aku melepaskan jawatan aku suatu hari nanti, KITAB akan terlaksana dengan baik.

Penasihat PMP sangat-sangat gembira sehingga mengajak aku dan beberapa orang jawatankuasa makan malam bersama. Namun, semuanya menolak.

Penasihat PMP menghulurkan wang, mula-mula dia memberikan sekitar 30 ringgit kepada aku. Aku ingin menolak, tetapi mulut aku diam. Dalam fikiran aku ketika itu, duit ini bagus untuk sekiranya diberikan kepada para penyelaras tutor yang banyak menghabiskan kredit telefon untuk menyampaikan informasi kepada para tutor.

Senyap-senyap... aku memberikan duit itu kepada penyelaras tutor. Namun, nampaknya masing-masing menolak. Aku katakan, duit itu untuk menjelaskan kredit telefon. Penyelaras Tutor ragu-ragu. Sebenarnya, setiap orang patut dapat RM5. Namun aku rasa, aku tidak perlu menerima duit tersebut. Jadi aku menolak sepenuhnya duit itu kepada para penyelaras tutor.

Apa pun, di situ aku dapat lihat. Objektif tercapai. Salah satu matlamat KITAB adalah untuk menghasilkan mahasiswa yang berjiwa pendidik, yang mengajar atau berkhidmat tanpa mengharapkan wang ringgit. Sikap ahli-ahli jawatankuasa KITAB itu sekali lagi mencerminkan kejayaan Program KITAB.

Malam ini semua orang sangat-sangat gembira! Aku sendiri pun tidak tahu apa lagi yang mahu dikatakan.

Apa pun, cuma kesyukuran yang boleh kuucapkan...

Alhamdulillah. Semoga kejayaan dan rahmat terus mengiringi kami...

Isnin, Mac 12, 2007

Keputusan SPM 2006 VS Keputusan SPM 2004 - KONTROVERSI

Saya masih belum sihat untuk menceritakan perkara ini. Kontroversi dalam dunia pendidikan. Namun hari ini selepas melihat putar belit yang berlaku sehingga menyakitkan hati saya memikirkannya, akhirnya barulah dapat saya mengisi blog ini dengan berita yang sepatutnya. Saya yakin, pelajar-pelajar pintar ini pasti akan dapat mengharungi ujian hidup masing-masing.


Berita Pertama: Khabar Angin Keputusan SPM 19A untuk SPM 2006

BATU PAHAT: Nadiah Amirah Jamil, yang diuar-uarkan mencipta rekod baru dengan mencapai 19 A1 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya memperolehi 14 A1, empat A2 dan satu B3.

Pelajar cemerlang dari SMK Tun Sardon telah pun menulis dua buku bagi merakamkan kejayaan yang digembar-gemburkan itu seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Buku pertama Diari Nadiah dijangka diterbitkan hujung bulan ini manakala buku kedua Meniti Kecemerlangan dijadual terbit pertengahan tahun ini

Papan pemidang yang mengucapkan tahniah atas "kejayaan 19 A1" Nadiah digantung di tiang-tiang lampu di sekitar pekan Rengit.

Tetapi apabila keputusan rasmi diumumkan di sekolahnya hari ini, Nadiah gagal memecah rekod sebelumnya 17 A1 yang dicipta oleh Nur Amalina Che Bakri dalam SPM 2004.

Nadiah gagal mendapat A dalam subjek Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi (EST), manakala empat subjek lagi sekadar A2: Biologi, Matematik Tambahan, Ekonomi dan Sastera.

Nadiah pada awalnya merancang mengambil dua lagi subjek -- lukisan teknikal dan seni -- menjadikan jumlah semuanya 21 tetapi tidak digalakkan oleh ibu bapanya.

Dia memperolehi A1 dalam subjek-subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Fizik, Kimia, Sejarah, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan Sunah, Pendidikan Syariah Islam, Sains Teras dan Geografi.

Nadiah berkata dia tidak berpuas hati dengan keputusan itu tetapi ia tidak akan mengecewakannya.

"Saya terima keputusan dengan reda. Yang penting, saya telah berusaha sedaya-upaya dalam SPM," katanya.

Ditanya prospek jualan bukunya akan terjejas dengan keputusan yang tidak memenuhi ramalan umum, Nadiah tidak menolak kemungkinan tersebut.

"Saya tidak fikir jualan buku-buku saya akan terjejas teruk. Buku-buku itu akan tetap diterbitkan. Kami harus mengambil risikonya," katanya.

Gadis 18 tahun ini merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang farmasi di United Kingdom dan telah memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Seorang pelajar pintar sejak di sekolah rendah, Nadiah mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).


Berita Kedua: Khabar angin palsu berkaitan Nur Amalina

KUALA LUMPUR: “Itu semua khabar angin,” kata Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri, berhubung dakwaan beliau sudah tersingkir daripada pengajiannya di Cheltenham Ladies College (CLC), Gloucestershire di United Kingdom, baru-baru ini.

Amalina, 19, yang mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan 17 A1 dalam peperiksaan itu berkata, pengajiannya di kolej berkenaan berjalan dengan baik dan program A-Level yang diikutinya dijangka selesai tahun ini.

“Jangan bimbang... itu (khabar angin) semua tidak betul. Saya masih belajar di CLC. Saya pun hairan bagaimana khabar angin ini boleh timbul. Namun, saya sedar ini semua resam bila jadi orang terkenal.

“Bila teringatkan khabar angin ini, saya ketawa sendiri. Tidak terfikir pun ada orang akan ambil berat pasal pengajian saya. Saya pun tidak ambil serius khabar angin ini. Tumpuan saya pada pengajian pun tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi New Straits Times.

Selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2004, Amalina mendapat biasiswa Bank Negara untuk melanjutkan pengajian pada peringkat A-Level di CLC, selain dilantik sebagai Duta Pendidikan bagi akhbar sisipan Skor, Didik dan Minda Pelajar terbitan Berita Harian.

Katanya, sebaik saja menamatkan pengajiannya di CLC, beliau berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Cambridge, London atau Imperial College, Universiti Edinburgh dan Universiti Bristol.

Amalina, 19, yang mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan 17 A1 dalam peperiksaan itu berkata, pengajiannya di kolej berkenaan berjalan dengan baik dan program A-Level yang diikutinya dijangka selesai tahun ini.

“Permohonan sudah pun saya hantar ke empat-empat universiti itu. Bagaimanapun, baru satu tawaran saya terima setakat ini, dari Universiti Bristol. Saya masih tunggu tawaran dari universiti lain sebelum buat keputusan pilih universiti mana,” katanya.

“Saya harap rekod itu dapat dipecahkan. Saya mahu lihat lebih ramai anak Malaysia mencatatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka, seterusnya mampu melahirkan sebuah bangsa yang berjaya,” katanya.



Berita Ketiga: Calon termuda 15 tahun dapat 16A1

Melisa Sia Yin Ying, walaupun baru sahaja mencapai usia 15 tahun, membuktikan usianya tidak menjadi penghalang bagi mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 dengan memperolehi 16 A1 dalam semua mata pelajaran yang didudukinya.

Melisa suka permainan komputer dan gemar mendengar muzik rock. Pelajar Sekolah Menengah Kian Kok dekat sini yang memulakan zaman persekolahannya pada usia empat tahun muncul sebagai pelajar SPM terbaik Sabah.

Anak seorang doktor, Dr Edward Sia Hock Nun, Melisa Sia memperoleh A1 dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Literature in English, Fizik, Kimia, Biologi, Sains, Pengetahuan Moral, Pendidikan Seni Visual, English For Science and Technology, Ekonomi Asas, Perdagangan, Matematik, Matematik Tambahan, Sejarah dan Geografi.

Malah jika keputusan A1 mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119 diambil kira, Melisa Sia mendapat 17A1.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Melisa Sia berkata: "Saya memberi sepenuh perhatian terhadap pembelajaran di kelas dan mengulang kaji di rumah antara dua hingga tiga jam sehari."

Anak sulung dari tiga beradik itu yang sering lompat darjah semasa di sekolah rendah, berkata beliau belajar tanpa menggunakan jadual namun pada lumrahnya semua kerja rumah yang diberikan guru akan disiapkan semasa di sekolah lagi.

Bercita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya untuk menjadi seorang doktor, Melisa Sia yang amat berminat terhadap permainan strategi di komputer dan gemar mendengar muzik rock kumpulan Nickel Back dari Kanada, berkata minatnya itu tidak langsung menjejaskan pencapaian akademik, malah membantu melapangkan pemikirannya.

Ayahnya Dr Edward Sia berkata pada mulanya hobi anaknya itu merisaukan kerana Melisa Sia suka bermain komputer kadang-kadang hingga jam 3 pagi namun selepas puas menasihatinya, beliau akur dengan minat anaknya itu asalkan ia tidak menjejaskan pelajaran.



HAKIKATNYA: PETUA dapat banyak A dalam peperiksaan. Solat hajat, baik sesama manusia

KOTA BHARU: Kejayaan Nur Amalina Che Bakri yang meraih A1 dalam semua 17 subjek yang diambilnya pada peperiksaan SPM 2004 lepas menjadi perangsang kepada dua pelajar negeri ini untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan mereka yang diumumkan hari ini.

Malah bagi Siti Fatimah Mukhtar, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMA) Maahad Muhammadi Perempuan beliau telah berjaya mendapat 17A1 dan 1A2, sementara Siti Aisyah Hussin, 17, dari SMK Ahmad Maher pula hanya berjaya mendapat 14 A1.

Siti Fatimah mendapat A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English For Science and Technology (EST), dan A2 bagi mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi.

Siti Aisyah pula mendapat A1 dalam semua mata pelajaran yang diambilnya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Sejarah, Pendidikan Islam, English For Science and Technology (EST), Kimia, Fizik, Biologi, Seni Visual, Ekonomi Asas, Prinsip Akaun dan Tasawwur Islam.

Siti Fatimah semasa ditemui di sekolahnya berkata kejayaannya itu membuktikan pelajar aliran agama juga mampu mendapat keputusan yang baik jika disertakan dengan usaha yang gigih.

"Mungkin orang ramai beranggapan aliran agama ini agak susah namun saya buktikan ia tidak sukar jika kita inginkan kejayaan," kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Beliau berkata ketika pertama kali melihat keputusan Nur Amalina hatinya nekad untuk mencapai kejayaan yang serupa bahkan mungkin lebih baik daripada itu.

"Alhamdulillah saya mampu lakukan walaupun pada mulanya keluarga agak bimbang, takut saya tidak mampu belajar sebanyak itu," katanya yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland atau Jordan.

Beliau yang sentiasa memberi penumpuan semasa pembelajaran dalam kelas serta mengambil kelas tambahan untuk subjek yang sukar berkata: "Apa yang penting saya mendekatkan diri kepada Allah, selalu solat hajat dan jalinkan hubungan baik sesama manusia, insya Allah kejayaan akan jadi milik kita."

Sementara itu bagi Siti Aisyah yang juga bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di United Kingdom berkata beliau lebih suka memberi fokus terhadap apa yang hendak dilakukan berbanding mengikut jadual harian.

"Saya mengulang kaji seperti biasa dan turut aktif dalam sukan terutamanya bola keranjang tetapi saya sentiasa meletakkan sasaran apa yang perlu dilakukan bagi setiap subjek untuk meningkatkan pemahaman," katanya


BERITA SELANJUTNYA:

Siti Fatimah Mukhtar, pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan, mendapat 18A, iaitu 17 A1 dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pengajian Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English for Science and Technology (EST) dan 2A2 untuk subjek Bahasa Arab.

Siti Fatimah Mukhtar ditawarkan biasiswa RM250,000 bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tawaran Kerajaan Negeri Kelantan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Nik Mohd Amar Nik Abdullah, yang menemui pelajar itu di sekolah berkenaan, semalam.

Siti Fatimah berkata, beliau menerima biasiswa itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Asia Barat kerana memang berminat mendalami bidang perubatan di sana.

Nik Mohd Amar berkata, Siti Fatimah yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik dianggap pelajar terbaik negara oleh kerajaan negeri, layak menerima biasiswa melanjutkan pengajian dalam bidang itu.“Kerajaan negeri meluluskan biasiswa untuk Siti Fatimah kerana beliau melakar sejarah kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) memperoleh 18 A."

“Kita mencadangkan Asia Barat kerana Siti Fatimah berlatar belakang pendidikan agama dan tahfiz. Selain perubatan, beliau boleh mendalami Bahasa Arab serta menghabiskan tahfiz al-Quran,” katanya.

NOTA AMIENE REV: SAYA MEMASUKKAN BERITA INI PADA 22 MAC 2007. HATI SAYA TIDAK TENTERAM DENGAN LAPORAN BERITA SEBELUM INI BERKAITAN KEPUTUSAN 19A. Sekarang saya faham kenapa hati saya tidak tenteram, rupa-rupanya kerana ada kebenaran yang tidak dipaparkan. Sekarang kebenaran itu sudah ada. Ini, cuma firasat seorang pendidik... barangkali...

Ditulis semula berdasarkan gabungan sumber-sumber berikut:
www.bharian.com.my, utusan.com.my, kelatedaiy.net, mstar.com.my, BERNAMA

Jumaat, Mac 09, 2007

KITAB: Kelas Pertama Yang Cemerlang!

Yeehaaa! Malam tadi segala objektif yang aku tetapkan tercapai.
Markah pencapaian objektif ialah 100% alias Gred A. Penasihat PMP memuji:

"Kelas malam ini excellent! Saya beri gred A!"

Pagi tadi, pula, sekali lagi Penasihat PMP menghantar SMS kepadaku:

"Alhamdulillah dan syukur KITAB berjaya setakat ini. Syabas semua!"

Aku pasti SMS itu dikirimkan kepada semua jawatankuasa KITAB.

Malam tadi, Penghulu Desa Bakti tersenyum puas, memandang ke arahku...

Program KITAB berjaya dari segi pencapaian matlamatnya. Semua ahli jawatankuasa KITAB telah mendapat pelajaran baru malam tadi. Kebanjiran tutee, ibu bapa dan tutor.

Pada kelas kedua minggu hadapan, beberapa cadangan telah ditambah. Untuk tujuan itu aku telah mencipta satu sistem baru dalam pelaksanaan arahan, selaras dengan objektif yang akan dilancarkan minggu depan. Aku memanggilnya Sistem MANDAT.

Sakit aku belum pulih... namun dengan adanya Sistem MANDAT, matlamat program akan tercapai tanpa adanya aku. Ini adalah kehebatan sistem MANDAT rekaan aku.

Untuk mengawal manusia, anda tidak perlukan kekuatan, tetapi kebijaksanaan dalam percaturan. Sekali anda menemui kuncinya, dunia adalah milik anda.

Namun begitu, aku tidak berminat memiliki dunia, aku cuma mahu KITAB berjaya sepenuhnya. Kemudian selepas segalanya bersiap sedia, aku sudah boleh meninggalkan KITAB, dan mencari orang untuk menggantikan tempat aku.

Wah... seronoknya. Dapat mengajar... lagi. Selepas program ini berjaya, aku rasa dah sampai masanya untuk meninggalkan institusi tersebut. Kemudian sekali lagi aku menjadi pengembara... bebas, tidak terikat dengan apa-apa jawatan.

KITAB adalah hadiah terakhir yang aku akan berikan kepada universiti dan fakulti tersebut. Kepada masyarakat di situ. Kepada mahasiswa di situ. Kepada staf-staf di situ. Kepada Naib Cancelor. Kepada... generasi baru...

Dan... aku memohon agar Tuhan sentiasa melindungi hatiku dan hati semua pihak yang terlibat. Agar tidak lari dari matlamat. Semoga akan sentiasa mendapat keredhaan-Nya.

Khamis, Mac 08, 2007

Sebelum Kisah Gembira, Ada Kisah Sedih

Sebentar lagi, aku harus menyelesaikan perkara-perkara terakhir untuk apa yang telah aku lakukan. Aku harap cuaca pada malam ini baik-baik sahaja.

Hari ini aku rasa sangat gembira, tidak sabar menanti detik-detik tersebut. Beberapa jam sebelum itu, aku perlu pastikan segalanya dalam keadaan baik.

Ini soal tanggungjawab, bukan lagi soal kepentingan diri masing-masing. Aku harap semua jawatankuasa program ini pun berfikir begitu.

Bagi aku, sekiranya ada berlaku apa-apa kekurangan pada malam ini nanti, itu semua adalah kerana perkara-perkara baru bagi semua jawatankuasa. Kebanyakannya masih dalam Tahun Satu, ini pengalaman buat mereka semua. Sebarang kesilapan mereka, sekiranya ada pada malam ini, aku akan sedia beri peluang untuk malam kedua, minggu depan.

Malam ini malam pertama untuk program ini. Sekejap lagi aku mahu pergi menolong unit-unit persiapan tempat menyusun meja. Sebagai seorang atasan, aku tidak boleh berehat-rehat begitu sahaja. Lagi pun kami semua masih belajar, bukan bekerja. Setiap orang ada jadual kuliah masing-masing. Aku tidak mahu semata-mata kerana jawatan mereka, pelajaran mereka terjejas. Sebab itu, dari awal program ini, aku memilih kaedah berdasarkan tugasan atau objektif.

Aku tidak mengawal tindakan mereka sepenuhnya, cuma meletakkan objektif. Pada masa yang sama ada beberapa pemalar dan pemboleh ubah untuk memastikan setiap unit tidak lari daripada objektif. Panduan alternatif telah aku sediakan lebih awal. Namun sekiranya unit-unit dan timbalan-timbalan pengarah ada idea yang baik atau lebih senang, mereka boleh melaksanakannya sendiri.

Panduan tutor, panduan bertugas dan lain-lain telah aku serahkan pada awal-awal sesi. Mereka akan bergerak di bawah pemantauan aku. Cuma malam ini sahaja...

Ya. Aku sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Malam ini adalah malam percubaan. Setiap unit akan dapat sesuatu pada malam ini.

Tiba-tiba aku teringatkan sebuah keluarga. Ya, dahulu dalam keluarga itu aku adalah anak yang paling tua. Namun keluarga itu tidak ada lagi.

Aku harus bersyukur sebab masih ada keluarga yang satu lagi. Walau pun dalam keluarga ini aku bukan anak yang paling tua. Itu tidak bermaksud, aku tidak boleh bertindak sendiri.

Ini... jalan hidup yang telah aku pilih, aku lalui... dan akan terus menjadi misteri dalam arkib hidup aku. Tidak akan ada sesiapa yang boleh mengetahui, sejarah hidup aku yang penuh liku...

Sebelum hari ini, ada masa silam... di mana aku adalah manusia yang membesar bersama-sama hukum rimba. Namun, itu menjadikan aku manusia yang lain daripada yang lain...

Bak kata seorang guru lebih kurang satu dekad yang lalu:

Kaulah Bintang Terang - 1 dalam sejuta. Legenda dalam sekolah ini...

dan aku yakin, guru itu tidak bergurau...

semoga apa yang aku lakukan ini, akan sentiasa mendapat keredhaan-Nya...

Selasa, Mac 06, 2007

KITAB: Sentuhan Terakhir...

DETIK-DETIK terakhir sebelum kelas pertama berlangsung. Dua taklimat telah diadakan sebelum ini, pertama dengan ibu bapa di Desa Bakti. Sekitar 40-50 orang hadirin. Kedua, taklimat dengan para mahasiswa, Isnin lalu. Jumlah tutee sekarang sudah mencecah 55 orang, dijangka akan bertambah menjadi 70 orang. Jumlah tutor berdaftar setakat ini adalah sekitar 66 orang. Bilik-bilik baru ditambah lagi untuk menampung semua peserta.

Antara beberapa unit yang dijangka akan dilanda kesibukan ialah Unit Penyelaras Tutor dan Unit Keselamatan. Unit-unit ini harus cekap bertindak semasa fakulti mula dibanjiri para peserta pada malam itu nanti.

Setakat ini segala-galanya berjalan lancar. Namun, awas! Kelas pertama ini akan berlaku kekalutan sekiranya ahli-ahli jawatankuasa yang mengawasi program tidak mempunyai perancangan yang teratur.

Ada beberapa faktor yang perlu diperhatikan sebelum dan semasa program ini berlangsung. Apa yang ada dalam fikiran aku sekarang ialah, adakah ketua-ketua unit ini mampu menghadapi suasana dan cabaran pada malam itu. Kebanjiran ibu bapa, kebanjiran para peserta dan kebanjiran tutor. Penyelarasan harus dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Sebelum ini segala objektif yang aku tetapkan untuk Ketua-ketua Unit sudah tercapai. Cuma... pada malam itu semuanya berjalan serentak, dan ketua-ketua unit harus berdikari dalam membuat persiapan pada malam itu.

Jadi, malam ini aku mahu mendengar laporan daripada semua ketua unit, dan kemudian melancarkan beberapa objektif baru untuk diberi perhatian oleh ketua-ketua unit sebagai sentuhan terakhir sebelum program KITAB dilancarkan.

Timbalan-timbalan pengarah perlu mengawasi ketua-ketua unit di bawah bidang kuasa masing-masing pada malam itu. Aku mesti memastikan kedua-dua timbalan pengarah ini dapat melaksanakan arahan-arahan yang telah diberikan sebelum ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang telah dijangka dan mungkin... tidak terjangka.

BERGERAK!!!

Ahad, Mac 04, 2007

KITAB: Kejayaan Taklimat Kejayaan Semua!

Selepas solat Isyak berjemaah, Jumaat lalu satu taklimat untuk ibu bapa telah diadakan di Surau Desa Bakti. Surat makluman mengenai taklimat ini telah diedarkan tiga hari sebelumnya, kepada ibu bapa oleh Ketua Unit Perhubungan dan ahli-ahli jawatankuasanya. Basah kuyup ahli-ahli jawatankuasa Unit Perhubungan KITAB pada hari itu, dengan bersemangatnya mereka menyampaikan surat-surat dari rumah ke rumah.

Pada malam itu, para kenamaan terdiri daripada Penghulu Desa Bakti, Imam Surau Desa Bakti, Penasihat PMP, Aku (Pengarah KITAB), Timbalan Pengarah Operasi KITAB, Timbalan Pengarah Strategik KITAB, Setiausaha KITAB, Ketua Unit Penyelaras Tutor KITAB, Ketua Unit Perhubungan KITAB, Ketua Unit Kebajikan dan Pengangkutan KITAB.

Para hadirin dianggarkan dalam 40-50 orang, terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak Desa Bakti. Kehadiran anak-anak menggamatkan suasana.

Penghulu Desa Bakti mempengerusikan majlis pada malam itu, ucapan diberikan oleh Penasihat PMP, kemudian aku dan seorang wakil daripada tutor siswi, iaitu Timbalan Pengarah Operasi KITAB.

Aktiviti pada malam itu melibatkan pengenalan, tentatif program, sesi soal jawab dan perbincangan yang berkaitan dengan keselamatan dan pengangkutan untuk anak-anak Desa Bakti.

Esoknya, aku mendapat SMS daripada Penasihat PMP, memaklumkan kesyukurannya mengenai kejayaan mengadakan taklimat pada malam itu.

Alhamdulillah. Sudah lama aku tidak berdepan dengan orang ramai dan sudah lama aku tidak melibatkan diri dalam perkara-perkara melibatkan organisasi. Kali terakhir ialah ketika aku dijemput untuk memberi ucapan di hadapan 2500 orang pelajar di sebuah institusi, beberapa tahun lepas.

Penasihat PMP menjemput aku untuk hadir ke satu program khas, atas matlamat untuk menubuhkan KITAB sebagai sebuah kelab rasmi pada masa akan datang. Jika KITAB sempat ditubuhkan, maka ini adalah khazanah paling berharga untuk para pelajar junior sekalian. Aku merancang untuk menjadikan KITAB sebagai program rasmi fakulti pada masa akan datang untuk melatih junior-junior aku.

Apa pun, kejayaan KITAB kali ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang terlibat, terutamanya barisan jentera penggerak KITAB dan warga Desa Bakti.