Keluarga Angkatku
Kali ini saya mahu menulis sesuatu yang berkenaan dengan keluarga angkat saya. Saya menjadi ini sebagai bahan untuk penulisan novel blog kali ini.
Keluarga Angkat Guru Tingkatan
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Sudah lama saya tidak menghubungi keluarga angkat saya. Hari ini, malam ini saya berkesempatan menghubungi mereka. Keluarga angkat saya memberitahu saya, mereka merindui saya. Jadi, saya rasa, suatu ketika nanti saya akan berangkat ke sana untuk menemui mereka.
Hari ini, saya ada sedikit masa luang. Sedikit cuma. Kemudian saya akan kembali sibuk. Kerja-kerja saya amat banyak. Kesihatan saya agak merosot. Saya tidak ada masa untuk pergi berjalan-jalan. Kebanyakan masa saya habis dengan aktiviti kerja dan pengurusan. Saya adalah seorang pengurus. Saya menguruskan ramai orang. Saya juga tidak ada masa untuk mengeluarkan duit di bank atau menambah nilai telefon bimbit saya. Justeru, saya menggunakan kad kredit untuk apa-apa pembelian yang saya rasa penting. Sebenarnya, saya sangat tidak suka untuk menggunakan kad kredit selain untuk mengisi petrol ke dalam kereta sporty hitam saya. Saya ingat saya mahu memandu kereta sporty hitam saya memecah kedamaian Felda, menuju ke rumah keluarga angkat saya.
Suatu ketika dahulu, saya ingin menyewa di sebuah rumah, kemudian penyewa rumah tersebut berminat untuk menjadikan saya anak angkat mereka. Maka jadilah saya anak angkat mereka sehingga kini. Sudah lebih tujuh tahun saya menjadi anak angkat mereka. Ini adalah salah satu daripada beberapa keluarga angkat yang saya ada. Saya juga memiliki ramai kakak angkat di tempat-tempat kerja yang pernah saya lalui dahulu.
Saya berharap saya akan dapat menemui keluarga angkat saya lagi. Sebenarnya, sekitar hari ini, hati saya dilanda kerinduan. Saya sendiri tidak pasti apa yang saya rindukan. Saya sendiri tidak pasti kenapa saya rasa seperti ada perasaan sunyi dan perasaan kehilangan sesuatu. Saya sudah lama tidak pergi menonton wayang, atau berjalan-jalan. Hari ini juga saya terlalu penat untuk berjalan-jalan. Saya cuma keluar untuk makan. Kemudian saya terasa sunyi lagi. Apa yang saya rindukan?
Saya tidak pasti. Saya rasa saya rindukan kawan-kawan saya semasa di universiti. Apa pun pada Tahun Baru Cina ini, saya akan balik ke kampung saya untuk makan stik arnab. Ayah saya memberitahu saya bilangan arnab di kampung sudah semakin banyak.
Kemudian saya akan menemui keluarga angkat saya pula. Saya tinggal dengan keluarga angkat saya pada jangka masa yang agak lama. Berbulan-bulan juga. Mereka adakah ibu bapa angkat saya yang menjaga makan minum saya, memberikan saya tempat tinggal dan melalui keluarga angkat saya inilah, saya mengetahui bahawa saya memiliki keistimewaan yang selama ini menghantui saya.
Saya tidak sama dengan kebanyakan manusia. Saya memiliki sesuatu yang melebihi manusia biasa. Saya boleh mengetahui apa yang kebanyakan manusia tidak tahu. Saya boleh melihat apa yang kebanyakan manusia tidak boleh lihat. Saya boleh merasai apa yang manusia biasa tidak boleh rasa. Saya boleh mendengar apa yang manusia lain tidak boleh dengar. Ini adalah keistimewaan saya. Namun saya tidak suka menunjuk-nunjuk. Saya cuma menggunakan kebolehan ini untuk membantu orang-orang yang diperkenankan sahaja.
Kata orang saya memiliki keistimewaan ini, kerana saya berdarah raja. Raja-raja dari dua benua. Ini kerana keistimewaan ini biasanya hanya dimiliki oleh mereka yang berdarah raja. Saya ketawa. Sehingga kini, asal-usul saya masih menjadi misteri.
Ada orang mengatakan saya seorang kaunselor biarpun saya bukan seorang kaunselor. Ada orang kata saya ustaz biarpun saya jauh daripada layak menjadi seorang ustaz. Kebenarannya, saya cuma seorang manusia yang masih perlu belajar banyak perkara. Namun, oleh kerana keistimewaan yang saya miliki, saya boleh menghayati, memiliki kuasa empati dan simpati terhadap sesiapa sahaja yang saya temui. Saya boleh membaca jika seseorang itu baik atau jahat.
Namun, selalunya, saya lebih suka mengutamakan pertimbangan logik akal berbanding perasaan saya. Ini kerana, di dunia ini, tidak ada seorang pun yang benar-benar jahat. Setiap orang jahat, pasti akan ada satu titik kebaikan di dalam dirinya. Jika saya berjaya membongkar titik kebaikan ini yang ada di dalam diri seseorang itu, maka kemungkinan besar orang jahat itu dapat diselamatkan menjadi baik.
Malangnya, orang yang jahat itu adalah... orang yang pernah saya didik seperti anak sendiri. Walaupun sudah berkali-kali dia mengakui pernah menyakiti hati saya, namun kasih sayang saya terhadap manusia menguatkan diri saya untuk cuba mengubahnya. Sayang sekali, dia sudah selesa dengan kejahatannya, kerana mungkin kerana dia selalu mendapat keuntungan dengan cara itu, maka dia berasa sayang untuk meninggalkan sikap dan tabiat buruknya, berlakon dan terus berlakon, hipokrit dan terus hipokrit di depan orang lain yang boleh memberi keuntungan kepada dirinya.
Dia tidak lagi akan mendekati saya, kerana saya akan terus menegur, dan menegurnya, menunjukkan jalan keluar kepadanya dari jalan yang hina itu. Seperti apa yang dikatakannya kepada saya, sudah ramai orang yang telah menegurnya tetapi dia akan tetap seperti itu. Mungkin kerana dia rasa selesa dengan keuntungan yang diperolehi dengan cara itu, biarpun hakikatnya dia menganiayai dan mempergunakan orang lain.
Lalu, saya memutuskan, jika begitu kehendaknya, maka biarlah Tuhan sahaja yang menghukumnya kali ini. Suatu hari nanti dia akan menyesal seumur hidupnya dan perkara ini akan menjadi sempadan buat manusia-manusia yang lain supaya jangan ikut jejak langkahnya biarpun kaedah itu tampak menguntungkan diri mereka.
Di dunia ini, sikap sebegitu mungkin menguntungkan dirinya, tetapi di akhirat nanti, dia tidak akan dapat lari daripada hukuman Tuhan. Mungkin juga, di dunia ini juga dia akan menerima pembalasan-Nya.
Perasaan saya amat sedih apabila memikirkan tentang hal ini, sehingga kini saya sedang cuba untuk melupakan hal ini. Mungkin suatu hari nanti saya akan bertukar ke tempat lain supaya dapat melupakan pengalaman yang pernah memberi trauma terhadap diri saya. Sehingga kini saya masih ada perasaan trauma, takut untuk mengajar orang lain, biarpun ada yang menawarkan bayaran sehingga ratusan ringgit. Ada juga ibu bapa yang memujuk saya untuk mengajar anak mereka, namun perasaan takut budi akan dibalas dengan racun menyerang saya. Bayangkan apabila kita bersungguh-sungguh untuk memandaikan anak orang lain walaupun kita tahu kita tidak akan mendapat apa-apa pun seperti wang saraan bulanan hidup (seperti kita yang sudah bekerja kirimkan wang perbelanjaan untuk ibu bapa kita), tetapi kita tetap mengajar pelajar tersebut yang merupakan anak orang lain. Memang benar kita tidak mengharapkan apa-apa ganjaran wang daripada pelajar tersebut, tetapi kita juga tidak mengharapkan balasan racun, kata-kata kesat, lupa diri, lupa daratan, biadab dan seumpamanya kepada diri kita daripada pelajar tersebut.
Pertama kali dalam hidup saya, menemui pelajar yang banyak termakan budi, dari segi makan minum dan ilmu, tetapi kemudiannya apabila sudah pandai dan cemerlang, dia pun menendang kita seperti sampah yang tidak berguna lagi. Saya dapati pelajar ini cuma tahu berlakon baik di hadapan saya apabila di depan orang-orang lain tetapi apabila dia terserempak dengan saya pada ketika itu cuma ada dia dan saya, wajahnya seolah-olah tidak mengenali saya.
"Kalau cikgu tak suka perangai saya macam ini, saya tak kisah kalau cikgu tak mahu dekat dengan saya lagi. Saya memang macam ini, dan saya suka macam ini."
Ketika itu saya sedar, saya sudah tidak boleh menegurnya lagi.
"Ramai orang dah pernah tegur saya, tapi selepas dua tiga hari saya akan balik semula jadi macam ini."
Sebak hati saya mendengar kata-kata seperti ini. Kenapa? Kenapa saya masih cuba menolong untuk mengubahnya biarpun dia banyak kali menyakitkan hati saya.
"Saya tahu, saya dah banyak buat salah terhadap cikgu. Saya dah banyak sakitkan hati cikgu, tapi cikgu masih nak tolong saya. Saya tahu saya hipokrit."
Semua kata-kata ini menganggu emosi saya. Setiap kali mengingati dialog-dialog pelajar itu semasa saya menegur dan cuba untuk mengubahnya, air mata saya akan menitis. Hati saya sakit, tetapi dia adalah pelajar saya, yang pernah saya ajar sehingga mengorbankan waktu rehat saya, dan waktu cuti saya.
Lupakan seketika tentang pelajar tersebut. Tumpukan kepada pelajar-pelajar yang lain. Kata suara hati saya. Ramai lagi pelajar yang jauh bernasib malang dan perlu dibantu. Ramai lagi anak yatim yang jauh memerlukan perhatian daripada kamu, wahai sang guru.
Kemudian tahun ini saya didatangi beberapa orang pelajar lagi. Saya menolak. Namun mereka tetap mahu mendampingi saya. Kadangkala mereka menuturkan kata-kata yang positif tentang diri saya. Saya tersenyum. Saya tidak menerima semua pujian itu bulat-bulat. Saya membandingkan kebenarannya. Saya menyelidik dan menyiasat sama ada saya layak atau tidak untuk menerima setiap pujian yang menyebabkan kenapa pelajar-pelajar tersebut suka mendekati saya. Saya memutuskan untuk tidak mengulangi sesuatu yang boleh mendatangkan tragedi seperti itu.
Namun, saya tidak dapat lari lagi apabila ibu bapa mereka juga semakin rapat dengan saya. Ibu bapa mereka menghargai apa yang saya lakukan terhadap anak mereka. Kemudian saya sedar, semakin saya berusaha untuk menjauhi daripada menjadi rapat dengan pelajar-pelajar saya, semakin mereka akan mendekati saya dan menghormati saya. Saya keliru. Semakin ramai ibu bapa yang mula rapat dengan saya ketika saya cuba menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang cuba mendekati saya.
Saya mengingati pula tragedi tahun lalu. Seorang pelajar yang bodoh Matematik, datang kepada saya dengan mengatakan dirinya memerlukan tunjuk ajar dan tumpuan lebih dalam pembelajaran Matematik. Disebabkan ketika itu saya masih keliru dengan keadaan di sekolah baru, dan semangat saya untuk mengajar amat tinggi, maka saya menerimanya bulat-bulat sebagai murid pertama saya di sekolah itu. Saya menghargainya kerana datang mencari saya untuk belajar Matematik. Dan, kemudian saya mengetahui sifat hipokritnya, dan bagaimana dia mula tidak menghargai saya, mengherdik saya, memalukan saya di depan ibu bapa dan kawan-kawannya, dan terus berlakon baik di depan orang-orang yang mempunyai kepentingan untuk dirinya, maka saya pun sedar kenapa saya membelakangi perasaan curiga saya terhadapnya dari awal-awal lagi. Rupa-rupanya kasih sayang juga adakalanya boleh menjadi satu kelemahan untuk diri saya.
Biarpun begitu, saya tidak menyalahkan kasih sayang saya sebagai seorang guru terhadap pelajar saya sebagai punca kesilapan tersebut. Saya sedar, cara saya mungkin salah. Kini setiap kali ada pelajar cuba mendekati saya, saya akan cuba bertindak dan mewujudkan batas saya sebagai seorang guru terhadap seorang pelajar. Saya memahami, cara untuk mewujudkan batas ini juga merupakan sesuatu yang perlu dipelajari. Bukan mudah untuk menggariskan batas antara guru dengan pelajar. Kebajikan dan keperluan pelajar perlu dijaga juga. Moral, amalan beradab sopan dan rasa bertanggungjawab menghormati orang lain perlu diajar kepada pelajar.
Saya tidak tahu kenapa ramai pelajar suka mendekati saya. Sekarang ini, semua ini agak menakutkan saya. Saya bimbang tragedi lama akan berulang. Pada masa yang sama saya tidak mahu menyinggung perasaan pelajar-pelajar yang cuba mendekati saya. Mungkin mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang. Mungkin mereka ada masalah dan mereka rasa saya boleh menyelesaikan masalah mereka. Namun begitu, setiap kali ada pelajar cuba mendekati saya, hati saya risau dan bimbang. Air mata saya akan menitis tanpa dipinta jika saya terkenangkan sikap biadab dan tidak mengenang budi pelajar tersebut. Sesungguhnya saya sedar, kecederaan emosi yang saya alami sangat sukar untuk sembuh. Saya perlukan tempat untuk meluahkan kesakitan dan kesedihan ini. Saya perlukan ruang untuk mengadu. Saya tidak mahu kecederaan emosi ini terus menerus mewujudkan kesakitan dalam dada saya. Saya tidak mahu kecederaan emosi ini terus menerus membuatkan saya menitis air mata pada bila-bila masa saya bersendirian.
Menonton filem Case 39 beberapa minggu lepas membuatkan saya semakin takut. Filem itu mengisahkan seorang budak yang suka menganiayai orang-orang yang memiliki sifat baik hati dan suka menolong orang. Budak itu adalah syaitan yang mencari orang-orang yang suka menolong orang, dan kemudian membunuh mereka. Saya rasa saya tidak patut menonton filem Case 39 dalam keadaan emosi saya yang masih tercedera. Cerita itu menambahkan perasaan sedih, mahu meraung dan menjerit kerana sangat sedih disebabkan seorang pelajar. Sehingga kini, setiap kali berseorangan saya mendodoi hati saya yang sedih dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran. Saya bimbang suatu ketika nanti saya akan tersesat kerana kesedihan yang melampau ini. Saya mohon kepada Tuhan untuk terus mengekalkan hati saya. Sesungguhnya saya menyayangi pelajar-pelajar saya. Dan kerana kasih sayang itu jugalah yang membuatkan hati dan emosi saya terluka dengan teruk kerana disakiti oleh pelajar saya sendiri.
Apabila saya mengingati keluarga angkat saya, tiba-tiba perasaan sedih itu hilang. Saya bersyukur kerana hati saya masih tetap menyayangi dan merindui keluarga angkat saya. Dahulu, kerana keluarga angkat saya merindui saya, saya menghadiahkan mereka seekor kucing. Saya berasa sangat susah hati jika saya tidak mampu mengubati kerinduan keluarga angkat saya terhadap saya. Saya akan pergi menemui mereka nanti.
Dan sekali lagi saya tersedar, apabila saya cuba untuk menolong mengurangkan kesusahan, kerinduan dan kesedihan orang lain, maka setiap kali itu juga hati saya menjadi lega dan semakin tabah. Sesungguhnya Allah Maha Menyayangi hamba-hamba-Nya.
|