BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Februari 25, 2010

Doa Makbul: Rumah Unggul Menang

Kali ini saya ingin bercerita tentang guru yang menjadi Penolong Ketua/Pengurus Rumah Sukan. Saya namakan rumah sukan itu sebagai Rumah Sukan Unggul.

Doa Guru Penolong Ketua/Pengurus Rumah Sukan
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Aku adalah Penolong Ketua/Pengurus Rumah Sukan Unggul. Setiap petang aku melatih pelajar-pelajar Rumah Sukan Unggul untuk bersedia dan bersemangat menghadapi Hari Sukan Tahunan Sekolah.

Ada pelajar India dan seorang pelajar Melayu yang aku cukup suka akan keperibadiannya. Kedua-duanya merendah diri tetapi bersemangat tinggi. Ada pula seorang pelajar cilik yang suka menjawab. Pelajar ini merupakan pelajar tingkatan satu. Dia agak degil dan kerana itu hari ini dia telah menerima pengajarannya. Dia tidak turun memanaskan badan. Pelajar-pelajar lain melaporkan hal ini kepada aku. Lalu aku mencarinya dan meminta dia memanaskan badan. Dia buat ala kadar sahaja. Semasa pertandingan, pelajar cilik ini gagal merebut sebarang pingat. Sedangkan dia dianggap sebagai peserta larian paling laju dalam kategorinya. Selepas tamat acara sukan dia mendapatkan aku, dan aku memberitahunya mengenai sikap biadabnya, dan akibat buruk yang dia telah terima. Dia mendiamkan diri. Ada riak kesal pada wajahnya tetapi nasi sudah menjadi bubur. Inilah akibatnya apabila pelajar melawan cakap guru.

Sementara itu, pelajar yang biadab dan derhaka terhadapku sejak tahun lalu, aku lihat hari ini mukanya kelihatan agak kasihan. Entah kenapa hari ini timbul rasa kasihan aku terhadapnya. Hari ini aku mengharapkan sekurang-kurangnya ada pingat dalam acara yang disertainya. Pagi ini dia dimarahi guru lain kerana tidak memberi sumbangan kepada rumah sukan, dan lebih banyak ponteng latihan sukan dan menghilangkan diri ketika diperlukan. Sedangkan dia ada memegang salah satu jawatan penting dalam Rumah Sukan Unggul. Dia tidak turun latihan, dia tidak membantu aku melatih pelajar-pelajar Rumah Sukan Unggul, dan dia masih terus dengan sikap ego dan sombongnya.

Dia menghilangkan diri seperti malu untuk mengakui dirinya anggota Rumah Sukan Unggul, dan cuma berada di Khemah Rumah Sukan Unggul dan mencari publisiti murahan ketika Rumah Sukan Unggul diumumkan sebagai juara keseluruhan untuk Hari Sukan Tahunan itu. Dia melebih-lebih seolah-olah dialah yang turun melatih pelajar-pelajar Rumah Sukan Unggul. Sebenarnya, ada seorang pelajar Cina yang rajin membantuku melatih ahli-ahli Rumah Sukan Unggul dan lebih layak untuk beraksi gembira seperti itu. Pelajar Cina itu sememangnya wajar dipuji kerana menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan banyak membantuku melatih pelajar-pelajar lain. Pelajar Cina itu juga ada meminta maaf kepadaku kerana gagal mendapat tempat pertama dalam acara baton.

Aku memberitahu pelajar Cina itu, tak mengapa. Apa yang penting ialah dia tahu menghormati guru, tidak besar kepala dan telah banyak membantu aku melatih pelajar-pelajar Rumah Sukan Unggul pada waktu petang. Sekurang-kurangnya pelajar Cina itu jujur. Kata-kata pelajar Cina tersebut semasa meminta maaf kepadaku kerana gagal mendapat pingat emas dan hanya mendapat tempat kedua dalam acara baton mengingatkan aku semula mengenai keadaan diriku semasa bersedih, murung dan berkabung kerana gagal mengubah pelajar yang derhaka itu. Mengingatkan hal itu, aku tersenyum dan memberitahu pelajar Cina itu, apa yang penting ialah niat yang ikhlas, sifat merendah diri, menghormati guru, beradab dan bertanggungjawab. Bukan pula seperti pelajar yang derhaka itu yang hanya tahu melebih-lebih di depan khemah rumah sukan dan memalukan rumah sukan apabila bersorak-sorak dan berlari-lari seorang diri membawa bendera kerana tersalah dengar.

Piala pusingan Juara Sukan Tahunan dibawa, aku memberi peluang kepada semua pelajar Rumah Sukan Unggul untuk menjamah piala tersebut. Mereka semua berhak untuk menyentuh piala tersebut kerana tidak kira peserta atau pun penyokong Rumah Sukan Unggul, mereka semua sama-sama telah memberi sumbangan kepada Rumah Sukan Unggul. Tidak lupa juga kepada guru-guru Rumah Sukan Unggul yang lain, dan juga guru-guru rumah sukan yang lain, terutamanya Guru Rumah Sukan Darah, kerana kesanggupannya menjalankan latihan dan pertandingan persahabatan acara padang dengan Rumah Sukan Unggul pada waktu petang, ketika aku melatih para peserta Rumah Sukan Unggul.

Selama beberapa minggu ini, aku tidak makan tengah hari dan kelaparan hingga waktu malam hari kerana mahu melatih pelajar-pelajar ini. Doaku untuk melihat Rumah Sukan Unggul menang telah makbul. Sekali lagi hatiku berasa takut kepada Tuhan, dan bimbang jika aku melakukan apa-apa kesalahan kepada Tuhan. Aku mohon kepada-Mu Tuhan agar dijauhkan daripada sifat riak dan angkuh, sifat-sifat terkutuk yang sering hinggap pada diri mereka yang merasai kejayaan pada pihak mereka. Sifat-sifat terkutuk yang menyebabkan mereka lupa pada kekuasaan dan keizinan Tuhan. Sifat-sifat yang memesongkan mereka daripada matlamat asal mereka. Jauhilah aku daripada sifat-sifat yang tidak Engkau redhai, dan berikan aku petunjuk dan rahmat-Mu.