BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 18, 2008

Kenangan Zaman Sekolah - Kita Adalah Watak Utama Dalam Kehidupan Kita Sendiri

Saya percaya, setiap yang dapat membaca tulisan ini pasti pernah pergi ke sekolah. Kamu semua tentu ada pengalaman dan kenangan semasa di sekolah juga. Setiap orang ada pengalaman yang berbeza. Bagaimana kenangan saya semasa di sekolah? Hari ini saya ingin memberi inspirasi dan motivasi terhadap diri saya sendiri. Saya mahu bercerita mengenai diri saya.


INI HIDUP SAYA, DAN SAYA ADALAH HERONYA

Setiap bulan, setiap pertengahan tahun, saya mendapat keputusan terbaik di dalam kelas. Walaupun berada di dalam kelas kedua, saya mendapat bilangan A paling banyak antara semua pelajar di sekolah. Guru memberikan saya hadiah set alat tulis. Oleh sebab saya selalu membantu menaikkan nama kelas kedua, maka kawan-kawan sekelas menganggap saya sebagai wira.

Kelas saya juga sering menang tempat pertama dari aspek kebersihan. Guru sangat percaya pada kebolehan saya. Tugas-tugas penting sering diberikan kepada saya. Saya sangat terharu dengan kepercayaan guru. Saya juga sangat terharu dengan kepercayaan dan kerjasama rakan-rakan sekelas. Kami satu kelas wujud sebagai satu pasukan yang kuat. Hal ini menyebabkan kelas kami menjadi rebutan para guru. Ada guru yang berkata, "Kelas Tingkatan Dot Dot itu harapkan nama sahaja kelas terpandai, tetapi saya rasa kelas kamu lebih cemerlang. Ada pelajar pintar, ada pelajar rajin."

Berdasarkan pengalaman saya, ada segelintir manusia yang tidak boleh membaca entri seperti ini. Hati mereka mudah panas, geram dan terasa tercabar dari segi ego mereka. Mereka akan memberi pelbagai reaksi agresif atau memberontak sahaja di dalam jiwa. Tidak kurang yang akan cuba menyakiti hati seseorang dengan kata-kata yang mereka rasakan mampu menyakitkan hati. Apa pun, ini adalah blog saya dan saya memiliki hak untuk menulis apa sahaja mengenai diri saya di dalam blog ini, betul tak? Bagi saya manusia yang berasa panas hati itu, mereka patut berasa insaf. Cuba fikirkan secara logik, jangan ikutkan ego dan emosi sahaja. Sebab, kerana apa yang membezakan taraf manusia dengan binatang atau lebih teruk, syaitan, adalah cara manusia itu berfikir. Kerana ramai yang ingin menjadi syaitan, maka mereka lebih suka mendengar dan membaca keburukan, keaiban dan kesengsaraan orang lain berbanding kebaikan orang lain. Tajuk-tajuk seperti pengakuan seorang pelacur, kisah keruntuhan rumah tangga orang, putus tunang dan sebagainya menjadi tajuk perbincangan. Astagfirullahalazim. Belajarlah menyukai kebaikan orang. Belajarlah berasa gembira dengan kebaikan yang diceritakan oleh orang lain.

Semasa di sekolah, saya suka memberontak. Macam Uzumaki Naruto ada, macam Kurosaki Ichigo pun ada, tetapi selalunya macam Uchiha Sasuke. Namun pemberontakan saya betul. Guru-guru tidak salahkan saya. Sebab saya memberontak secara 'pulang paku buah keras'. Kadangkala ada guru yang mengeluarkan kenyataan yang kurang adil untuk semua pelajar.

"Kamu semua ni tak pandai berdikari!"

Semua pelajarkah yang tidak pandai berdikari? Saya mula melakukan penyelidikan sendiri untuk memahami satu-satu perkara. Akhirnya saya mampu memberikan penjelasan terhadap semua perkara di dalam kelas dan sering dijadikan pakar rujuk di sekolah, bukan sahaja di kalangan pelajar tetapi juga oleh guru-guru.

Kemuncaknya, saya dilantik sebagai Ketua Editor semasa usia masih muda dan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh segelintir pelajar senior. Saya tahu saya tidak salah, guru yang membuat keputusan ini dan saya cuma memegang amanah dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai orang pelajar.

"Kami sudah tingkatan 5, kami mahu sijil. Nanti senang nak cari kerja." Itu alasan mereka.

Saya masih ingat bagaimana seorang guru yang sering mengkritik pelajar lelaki, akhirnya berubah sikap apabila bertembung dengan saya semasa di Tingkatan 2. Ini adalah kisah di mana saya diangkat sekali lagi sebagai wira di kalangan pelajar lelaki.

"Pelajar lelaki tidak pandai buat karangan!" Begitulah label yang dilontarkan oleh guru tersebut terhadap pelajar lelaki.

Semua pelajar lelakikah tidak pandai buat karangan? Lalu saya pun menulis karangan saya sendiri, dan sejak itu guru tersebut mula mengiktiraf pelajar-pelajar lelaki juga boleh menulis karangan. Bukan setakat itu sahaja, karangan saya dijadikan sebagai bahan rujukan untuk pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5. Kata guru, tahap karangan saya mencapai standard yang tinggi. Jarang ada pelajar yang boleh menulis seperti ini.

Bagi saya pengiktirafan guru terhadap pelajar lelaki, itulah paling penting. Sekali lagi saya dianggap wira oleh pelajar lelaki (tetapi ada juga watak jahat yang berhati busuk dan berhasad dengki, tetapi tak kisahlah sebab saya ada kawan-kawan yang baik juga. Di mana-mana pun ada orang berhati jahat. Kita carilah kawan yang baik-baik. Buat apa mahu berkawan dengan orang berhati busuk?).

"Kamu semua ni tahu menyalin sahaja, lain kali kamu buat sendiri! Cikgu takkan bagi lagi contoh karangan, faham?" Seorang guru Bahasa Inggeris mengkritik semua pelajar di dalam kelas.

Semua pelajar tahu menyalin sajakah? Saya menulis sendiri karangan saya. Memang watak saya low profile di dalam kelas. Saya jarang bercakap, tetapi hubungan saya sangat baik dengan pelajar-pelajar di kelas saya. Saya popular kerana kawan-kawan dan guru-guru yang mempopularkan saya. Mereka yang bercerita tentang saya, bukan saya. Bagi saya, cukuplah saya bercerita tentang diri saya di dalam diari atau jurnal. Ya, seperti ini. Tetapi zaman itu mana ada blog seperti zaman ini. Saya juga tidak pernah menulis diari. Saya cuma tahu menulis buku. Buku pertama saya ditulis ketika saya berusia sekitar 7 tahun dan diterbitkan oleh saya sendiri. Buku berjudul "Teori Warna dan Kesannya Terhadap Aspek Psikologi". Judulnya bukan begitu, tetapi begitulah terjemahannya.

Semasa di tadika, saya menunjukkan bakat rekacipta yang luar biasa. Guru-guru kagum dengan keupayaan saya mewujudkan keseimbangan dalam setiap rekacipta. Begitu juga dengan lukisan-lukisan yang dikatakan bukan tahap seorang kanak-kanak berusia 5 tahun. Saya melangkau pemikiran kanak-kanak seusia saya. Malah ramai yang mengikut cara saya. Hal ini berlanjutan sehingga saya di universiti.

Yup. Semasa berusia 7 tahun, saya menerangkan kepada guru dengan gaya saya sendiri mengenai bagaimana sel darah putih melawan penyakit. Guru itu terpegun dan kagum. Kawan-kawan di sekolah ada yang mengetawakan saya dan ada pula yang terpegun. Guru itu berkata kepada pelajar-pelajar yang ketawa, "Apa yang Amien cakap itu betul".

Badannya menggigil. Matanya tidak berkelip memandang saya. Pada mulanya saya tidak tahu kenapa guru itu bersikap begitu. Saya cuma teringatkan rupa itu sering ditonjolkan orang dewasa kepada saya. Kemudian saya memahami kenapa. Saya walaupun masih seorang budak kecil, tetapi pemikiran saya telah melangkau zaman usia saya. Saya menjadi lebih dewasa daripada pelajar seusia saya. Kawan-kawan panggil saya profesor.

"Apa yang Amien cakap semua betul. Kita mesti percaya cakap Amien." Kata seorang kawan saya baik. Begitu 'Siddiq' dia terhadap saya.

Tetapi tidak semua orang yang dilahirkan pintar memiliki zaman yang cerah dan bahagia. Saya sendiri tidak ada masa silam yang menggembirakan. Saya melihat ramai manusia pintar mengalami masa depan yang gelap dan merudum. Jika tidak percaya, carilah di internet, terlalu menyedihkan untuk melihat kehidupan anak-anak yang diiktiraf pintar dan bijak, tetapi akhir menjalani kehidupan yang kurang bahagia. Tidak ada kemewahan, tidak ada pangkat, dan tidak ada pergantungan yang terjamin selain daripada Tuhan.

Saya cuma bergantung kepada anugerah Tuhan untuk terus hidup. Saya dibebankan dengan pelbagai tanggungjawab berat. Kadangkala tidak sesuai dengan usia saya. Mereka berikan saya tanggungjawab yang lebih daripada budak-budak lain, semata-mata kerana saya dianggap berkebolehan dalam banyak perkara.

Akhirnya saya berjaya. Tuhan menyayangi saya. Dia berikan saya kepintaran ini, dan tubuh badan yang tegap sebagai satu pakej lengkap untuk saya menempuhi cabaran. Tuhan berikan saya rintangan dan cabaran supaya saya dapat belajar mengenai erti kehidupan. Alhamdulillah.

Saya memahami satu perkara mengenai manusia berkebolehan. We must walk on our own path. Saya mesti melangkah mengikut jalan yang saya pilih sendiri. Tidak ada sesiapa yang boleh membuat keputusan untuk diri saya. Saya melihat terlalu banyak kelemahan dalam keputusan mereka, tetapi fahamilah, kalau saya jelaskan satu persatu maka ramai yang tidak dapat menerima hakikat betapa banyaknya kesilapan mereka. Sedangkan saya sendiri melihat kesilapan saya.

Saya melihat diri saya di cermin dan mengimbas kelemahan saya. Setiap hari saya berkata kepada diri saya, "Saya pada hari tidak sama dengan dsaya yang semalam, dan saya pada hari esok tidak akan sama dengan saya pada hari ini. Setiap kali masa berdetik, saya akan semakin maju."

Paling penting saya bertanya kepada diri saya, apakah keutamaan saya dalam hidup? Dan saya memiliki jawapannya. Kadangkala ada jawapan yang tidak perlu dijelaskan dengan perkataan, sebab usaha dan hasil kita akan menjelaskan semua itu, sendiri. Lagipun, sebagai watak utama dalam kehidupan saya, saya cuma perlu menjelaskan keutamaan ini kepada Tuhan saya. Sebab ini adalah kisah seorang hero di dalam kehidupannya.

Saya adalah hero dalam kisah hidup saya.