BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 22, 2008

Beza Manusia Dengan Ulat: Kesusahan Dan Kesenangan - Mengejar Kepuasan Dalam Hidup

Entri ini adalah respon kepada Tuan Tanah: Tribulasi


Suatu hari, saya bertanya kepada diri saya, "Kenapa manusia mengalami kesusahan?". Kemudian terlintas di fikiran saya, bahawa kesusahan itu berpunca daripada keinginan manusia mengejar kesenangan. Betulkah begitu? Adakah kesenangan itu wujud atau tidak wujud? Atau kesusahan itu wujud atau tidak wujud? Saya masih ingat dahulu kala saya banyak mendengar orang berkata atau menulis: "Ulat dalam batu pun boleh hidup, takkan manusia tidak boleh?"

Ulat, hidupnya mudah. Manusia, hidupnya kompleks. Manusia mempunyai keazaman, cita-cita dan kehendak. Kerana adanya semua ini, bagaimana manusia boleh menjalani kehidupan semudah seekor ulat?

Ulat adakah mempedulikan anak bini mereka? Manusia mempunyai sesuatu untuk dijaga. Ulat makan, kenyang dan rehat. Manusia, pelbagai tanggungjawab perlu diselesaikan.

Makanya, saya rasa manusia tidak dapat lari daripada kesusahan. Kehendak manusia terlalu tinggi. Manusia meletakkan syarat dan menyenaraikan keperluan, supaya mereka dapat mencapai status yang lebih tinggi. Status rezeki, status pangkat, status kekayaan, status kehidupan dan lain-lain. Barangkali manusia terlalu memilih.

Hidup manusia penuh dengan penapis. Filter. Ada perkara yang manusia mahu, dan ada perkara yang manusia tidak mahu. Seperti pepatah "Buang yang keruh, ambil yang jernih". Manusia mahukan sesuatu yang dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada diri mereka.

Kerana syarat dan keperluan yang ditetapkan oleh manusia sendiri, maka kehidupan manusia menjadi semakin sukar. Tetapi kerana ini juga, kualiti manusia meningkat, dan dengan ini manusia tidak berada di dalam kelas yang sama seperti ulat.

Ulat tentu berasa marah apabila membaca entri ini. Tetapi nasib baik ulat tidak tahu membaca, biarpun ada peribahasa yang berbunyi "Ulat Buku". Sekian.