BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Oktober 28, 2008

Mengenangkan Kegelisahan Seorang Sahabat

Sejak beberapa hari yang lalu saya hilang 'mood' untuk melakukan apa-apa. Sebab sekarang adalah detik yang sangat genting bagi seorang sahabat. Saya ada seorang sahabat yang belum tamat pengajian. Oleh kerana sekarang saya berada beribu-ribu kilometer jauhnya daripada beliau, maka sukarlah untuk saya menemui dan melihat perkembangan beliau.

Dia perlu menyelesaikan satu projek akademik akhirnya sebagai syarat untuk menamatkan pengajian. Saya telah membantunya setakat yang boleh, tetapi masih dalam sempadan syarat menolong yang sah. Maksudnya, saya menolongnya dalam etika seorang sahabat dan sebagai seorang anggota ALUMNI kepada institusi pengajian tersebut. Saya tidak menolongnya membuat tugasan tetapi saya memberikan panduan, contoh dan tunjuk ajar kepadanya.

Sejak beberapa bulan yang lalu saya memberi sokongan moral yang lebih kepadanya. Malah boleh dikatakan sesuatu yang tidak sepatutnya saya uruskan. Saya melihat jalan dan peluang yang dapat diberikan kepada beliau supaya dia dapat menamatkan pengajiannya.

Saya bertambah sedih dan risau sekarang. Kejayaan terakhir ini harus bergantung kepada dia dan kehendak Tuhan. Hari itu dia meminta saya supaya berunding dengan Ketua Jabatan yang berkaitan dalam bidang ini. Sememangnya saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan golongan profesional berpangkat tinggi dan berkuasa menentukan hal-hal berkaitan dengan pelajar dan akademik.

Namun, kali ini saya mahu dia mencuba sendiri. Sebab laluan dan peluang telah lama dibuka kepada beliau. Beberapa bulan yang lalu saya telah meminta pihak berkenaan supaya membenarkan beliau untuk mendaftar dan menamatkan pengajian ini. Saya juga telah berusaha memberi peluang kepada mana-mana pelajar yang gagal supaya dapat kembali menyambung pengajian.

Namun kini kejayaan yang mesti dicapai ini mestilah di tangan dia. SMS saya tempoh hari yang apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu standard berbunyi begini:

"Awak mesti cuba menghubungi dia sendiri untuk proses pembentangan, sebab kalau saya yang menghubungi beliau, ini akan menyebabkan pihak berkenaan akan memiliki satu ekspresi negatif terhadap awak kerana awak terlalu bergantung kepada saya. Awak mesti cuba sendiri, sebab saya sudah buka laluan dan peluang kepada awak supaya awak dapat capai ke tahap ini. Jika saya menolong awak lagi, ini seolah-olah menunjukkan awak tidak pandai berusaha, dan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menamatkan pengajian awak."

Had pertolongan saya ada batasnya. Beliau mesti berusaha sendiri. Namun sehingga ke hari ini saya masih berasa sangat bimbang. Adakah dia berjaya? Saya mesti menghubungi pihak berkenaan esok. Harap-harap dia berjaya melepasi rintangan ini.

Ini realiti kehidupan yang dia perlu lalui. Hal ini tidak berkenaan dengan saya, tetapi sebab ini adalah berkaitan dengan masa depan seorang sahabat, maka ia menjadi satu perkara yang berkenaan dengan saya. Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit.