BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Mei 07, 2008

Find Your Destiny Through Unity



Tahun itu, barangkali 2004. Tarikhnya, 6 Oktober, secara kebetulan merupakan tarikh hari lahir salah seorang kakandaku. Forum Dragonizer ditubuhkan pada tahun tersebut. Pada asalnya penubuhan e-forum ini sekadar untuk bereksperimen.

Tidak sangka pula mendapat sambutan dan sekitar tahun ini sudah melebihi satu juta pengunjung. Pernah suatu ketika, forum ini mencatat lebih 5000 orang sehari dan purata 2500 orang pengunjung setiap hari. Ada juga tulisan dan pandangan di dalam laman web ini dimasukkan ke dalam akhbar-akhbar tempatan.

Forum ini telah berubah menjadi medan ilmu. Aku menggalakkan ahli-ahli forum menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (disebut standard). Terdapat beberapa orang moderator yang terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat umur. Rata-rata ahli forum terdiri daripada golongan yang bermasalah. Aku memanfaatkan ilmu kaunseling yang kupelajari semasa di universiti untuk membantu golongan ini.


Usaha Membendung Ketagihan
Namun, ada suatu perkara yang amat aku kesali. Ketagihan internet, barangkali? Apabila internet menjadi tempat mengadu, tempat yang selesa untuk berkunjung, maka sukar untuk seseorang itu meninggalkannya. Bimbang dengan masa depan ahli-ahli forum, aku mula tidak menggalakkan mereka untuk masuk ke laman web ini sekiranya tidak ada urusan yang berfaedah. Tumpukan pada dunia realiti, tumpukan kepada masalah yang nyata. Jangan jadikan ruangan forum ini untuk berborak kosong. Jadikannya medan untuk memajukan diri, menyelesaikan masalah yang dihadapi. Jika masalah sudah selesai, mari mengejar cita-cita dengan tegas dan garang.

Untuk tidak menggalakkan ahli-ahli forum terus menggunakan masa yang ada untuk melayari forum ini tanpa sebab, aku mula bersikap dingin. Sesekali aku meletakkan bahan-bahan yang aku rasakan dapat membantu orang ramai yang berkunjung ke laman forum ini. Dan, aku tidak lupa mendengar khabar-khabar terkini daripada mereka. Menjejaki mereka dalam diam. Aku gembira apabila mendengar ada yang sudah berjaya.


Tegas dan Garang
Forum Dragonizer adalah simbolik kepada prinsip tegas dan garang. Tegas dengan prinsip perjuangan, garang dengan cabaran yang menghalang. Forum yang menjadi tumpuan orang-orang bermasalah, dan dengan membantu orang-orang yang bermasalah ini, aku mendapat semacam kekuatan untuk terus menghadapi pelbagai cabaran. Salah seorang moderator forum ini adalah kawanku dari Sabah. Kini dia seorang arkitek. Dia berbangsa Kadazan.

Aku pula akan bergelar seorang pendidik. Forum Dragonizer akan terus wujud, tetapi aku sudah amat jarang mengaktifkannya. Ketagihan internet, adalah perkara yang harus dibendung. Masalah sudah selesai, diselesaikan bersama-sama. Kooperatif. Akal manusia tidak sempurna, dan manusia boleh bergabung, berbincang untuk menyelesaikan masalah. Ini antara asas kaunseling yang aku pelajari.

Sekarang aku lebih selesa menulis blog. Namun aku sukar memisahkan semangat yang pernah wujud dalam Forum Dragonizer dahulu, maka aku mahu blog ini juga menjadi suatu tempat persinggahan yang bermatlamat, bermanfaat kepada orang ramai. Jika dahulu, Forum Dragonizer merupakan satu cara terapi berkumpulan, maka kini blog juga memiliki peranan yang hampir sama.


Merindui Mereka
Sekali-sekala ada juga aku ke sana. Ada juga ahli-ahli forum yang berkunjung memberitahu khabar terkini. Aku tersenyum. Aku doakan kejayaan dan kebahagiaan mereka semua. Ada ahli forum yang cacat anggota badannya, kini dialah yang memiliki kekuatan dan berupaya pula untuk memberikan kekuatan semangat kepada orang lain. Dia telah berubah menjadi lebih kuat.

Kita menjadi semakin kuat menerusi apa yang kita tulis, kita fikirkan mengenai diri kita. Tulislah sesuatu yang positif dan membina. Masanya sudah hampir tiba. Bukan mudah untuk kuharungi semua ini. Suatu ketika aku menemui seseorang menulis mengenai sesuatu di suatu forum yang lain. Ya, beliau adalah salah seorang Ibu Angkat Forum Dragonizer, dan ini yang ditulisnya:


Assalamualaikum Nina...

Topik nina ini memberi saya peluang memperkenalkan blog sesorang yang menarik hati saya. Beliau sesaorang yang berwawasan dan saya percaya dapat membantu sesiapa yang ikhlas mengenali diri beliau. Sesorang jejaka yang bijaksana dan bakal pelapis pimpinan masa depan.

Di bawah ini saya sertakan blog beliau dan laman web yang selalu di kunjongi beliau semuga dia dapat membantu sesiapa yang berhasrat mendapatkan khidmatnya


http://dukeamienerev.blogspot.com/

http://z6.invisionfree.com/DRAGONIZER/index.php?

Bonda Zarith Sofiah telah berjaya mengesan blog anakanda ini. Bonda juga sudah tahu identiti Amiene Rev dan identiti Dragonizer. Ya, Bonda, Amiene Rev ini adalah anakanda Dragonizer.

Semoga anakanda ini tidak akan menghampakan harapan dan sokongan Bonda. Perjuangan dalam dunia ini tidak pernah ada penamatnya. Manusia akan terus mencari kesempurnaan biarpun tidak berpeluang mencapainya.

Find your destiny through unity.