Seorang Lelaki Cina
Dahulu, saya sentiasa berhasrat untuk pergi ke pasar malam yang berada di satu kawasan perumahan. Saya tidak pernah pergi ke pasar malam itu. Jadi, pada suatu hari, saya pun berkesempatan untuk pergi ke sana.
Semasa sedang menunggu bas ketika hendak balik, seorang lelaki Cina, berusia sekitar 35 tahun menegur saya. Dia bertanya jam pukul berapa ketika itu. Sebenarnya pada waktu-waktu begini perlu berhati-hati sebab kawasan ini juga terkenal dengan kes-kes jenayah. Baru-baru ini (pada tahun itu) ada berlaku kes pembunuhan bersiri, di mana seorang amah warga Indonesia dikelar lehernya di kawasan itu.
Kemudian dia meminta wang tambang bas sebanyak 50 sen. Wangnya tidak cukup. Dia tidak makan apa-apa hari ini kecuali air teh.
Saya pun memberikannya duit syiling 50 sen. Memandangkan bas yang akan saya naik melalui tempat yang ingin dia tujui juga, maka kami naik bas bersama-sama.
Lelaki Cina itu sedang menunggu seseorang di tempat yang bakal kami tujui. Menurutnya dia sudah berjanji untuk bertemu dengan seorang agen pekerjaan. Agen itu berjanji akan bertemunya di suatu tempat yang akan kami tujui selepas ini.
Di dalam bas dia bercerita mengenai kisahnya semasa zaman mudanya. Dia memberitahu mengenai latar kehidupannya yang susah. Dahulu dia bekerja sebagai pemandu lori haram. Dia juga bercerita susah payah kehidupannya untuk mengelak sekatan polis dan lain-lain.
Jadi sekarang apa yang dia hendak buat? Dia mencari pekerjaan baru. Dia sangat lapar dan dahaga. Dia mengajak saya pergi minum teh. Saya pun memberikan mi goreng yang saya beli kepada dia. Mi goreng sebungkus. Sebenarnya mi goreng itu saya beli kerana saya kasihan melihat mak cik penjual mi goreng yang jualannya tidak laku di pasar malam tadi. Harganya pun cuma seringgit. Ayam goreng yang berharga RM1.50 itu saya simpan untuk makan malam. Sebenarnya, saya sudah lama mengidam mahu makan ayam goreng tepung yang dijual di pasar malam. Itulah tujuan saya ke pasar malam tersebut.
Semasa turun dari bas, saya mengajaknya pergi ke Jusco. Hari itu hari Ahad. Saya membawanya berjalan-jalan sekitar Jusco. Ada banyak gerai promosi makanan dan minuman. Saya mengajaknya mencuba semua makanan dan minuman percuma di gerai promosi.
Saya memberitahu lelaki Cina itu, beginilah kehidupan saya. Saya seorang pelajar. Saya juga tidak ada duit yang banyak. Kadangkala pada hari Sabtu dan Ahad, saya akan keluar menaiki bas universiti untuk merasa makanan percuma di sini.
Selepas itu saya pun memberitahu lelaki Cina itu, saya ingin meminta diri. Bas universiti pasti sudah menunggu. Jika saya lambat, saya akan ketinggalan.
Sebelum beredar, saya mengucapkan "Semoga Berjaya mendapat pekerjaan yang dicarinya." kepada lelaki Cina itu. Air muka lelaki Cina itu kelihatan berubah.
Lelaki Cina itu berkata, "Apabila saya sudah kaya nanti, saya pasti balas budi kamu."
Saya tersenyum dan beredar pergi. Kehidupan ini mudah, tetapi kerana maruah dan hasrat, segala-galanya berubah menjadi suatu perkara yang mencabar.
|