Bicara Selepas PMR - Panduan Masuk Ke Tingkatan 4 - Panduan Memilih Bidang Yang Tepat dan Bahagia Untuk Masa Depan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Kepada adik-adik yang baru tamat PMR. Hari ini, akan menjadi suatu hari yang bermakna dalam diri adik-adik. Keputusan PMR mungkin belum dianggap sepenting keputusan SPM, tetapi bagi adik-adik yang sudah bertungkus lumus menuntut ilmu sebelum ini, maka ketahuilah, bahawa adik-adik telah pun menjadikan PMR ini penting bagi adik-adik.
Adakah adik-adik sedar, semasa adik berusaha dengan bersungguh-sungguh semasa mempelajari pelbagai subjek semasa di Tingkatan 1, 2, dan 3 dahulu, adik sudah pun mengesan potensi adik-adik. Adakah Matematik itu senang atau susah? Adakah Bahasa Inggeris itu mudah difahami? Adakah subjek sains itu mudah untuk adik-adik ikuti? Bahagian manakah yang senang itu? Fizik? Biologi? Kimia? Adakah subjek Bahasa Melayu itu seolah-olah sejiwa dengan diri adik-adik? Sejarah itu cukup untuk menimbulkan penghayatan dalam diri adik-adik? Ilmu perakaunan dalam Kemahiran Hidup menarik tumpuan adik-adik? Sukan sentiasa di jiwa adik-adik?
Jika adik-adik sedar atau sudah pun mengetahui apakah subjek yang paling mudah untuk adik-adik fahami, maka catatkan nama subjek tersebut. Kemudian, teliti pula subjek-subjek yang lain. Asingkan subjek yang mudah untuk adik-adik pelajari, dan subjek-subjek yang susah untuk adik-adik pelajari? Ada yang susah? Tiada? Alhamdulillah, adik-adik telah diberi anugerah yang istimewa.
Ada senang dan ada pula yang susah? Asingkan. Senaraikan subjek-subjek yang senang dan subjek-subjek yang susah secara berasingan.
Setelah adik-adik berjaya menyenaraikan subjek-subjek tersebut, teliti pula gred adik-adik untuk setiap satu subjek tersebut. Matematik, apakah grednya? Kemudian cuba adik-adik hayati, imbas kembali senang atau susahnya subjek tersebut bagi adik-adik. Jika mudah, jika adik-adik sekejap sahaja boleh memahami konsep Matematik, Insya-Allah, peluang adik-adik untuk bahagia dalam bidang Sains amat cerah.
Teliti pula subjek Sains, mudah atau senang? Imbas kembali pembelajaran adik-adik dalam subjek ini? Bayangkan bagaimana adik-adik bermain dengan tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang semasa eksperimen. Tubuh badan manusia. Struktur tulang. Sel, tisu, organ dan sebagainya. Minat? Senang? Suka? Itulah biologi.
Imbas pula pengalaman adik semasa bermain dengan alat-alat eletrik. Mentol. Jam randik. Graf. Rumus laju, halaju, pecutan, tenaga, daya dan sebagainya. Sudut dongak. Sudut tunduk. Pertukaran unit. Joule. Watt. Ohm. Sentimeter. Graviti. Itu fizik. Adik-adik minat? Suka? Mudah faham? Alhamdulillah, adik-adik digalakkan untk mengambil subjek ini sekiranya adik-adik tidak ada sebarang masalah untuk memahami konsep-konsep ilmu fizik.
Imbas pula bagaimana adik-adik bermain dengan perkataan Hidrogen. Oksigen. Karbon Monoksida. Etanol. Imbas kembali bau-bau bahan kimia, tabung uji, penunu bunsen, balang kaca dan sebagainya semasa melakukan eksperimen. Berat emas. Berat atom. Molekul. Itulah kimia. Senangkah adik-adik mengingati rimus-rumus kimia dan unsur-unsur kimia? Sekiranya mudah, adik-adik digalakkan mengambil subjek ini.
Kimia, Biologi, Fizik dan Matematik. Inilah antara elemen penting dalam bidang Sains Tulen. Sekiranya adik-adik berminat untuk menjadi jurutera, ahli sains, ahli biologi, ahli kimia, pakar teknologi, maka subjek-subjek ini perlulah merupakan subjek-subjek yang mudah untuk adik-adik fahami.
Bagaimana pula dengan Kemahiran Hidup? Pertukangan? Perdagangan? Perakaunan? Manakah antara topik-topik dalam subjek Kemahiran Hidup yang mudah difahami? Imbas kembali pengalaman adik-adik semasa mempelajari subjek ini. Inilah kepentingan dan kelebihan bagi adik-adik yang rajin belajar. Adik-adik akan semakin mengenali diri adik-adik.
Sebab itu, semasa di sekolah, tidak kira adik-adik tidak pandai dalam sesuatu subjek. Jangan putus asa, jangan malas dan jangan pula memberontak untuk tidak mahu belajar. Cuba. Sebab dengan usaha adik-adik untuk belajar itulah yang akan menyebabkan adik-adik kenal siapa diri adik-adik dan apakah cita-cita yang paling sesuai dengan diri adik-adik. Berfikiran positif. Jangan kata cita-cita itu susah hendak dicapai kerana ada orang-orang yang di sekeliling adik-adik tidak dapat kerja kerana memilih bidang tersebut. Setiap orang berlainan potensi.
Guru-guru dan ibu bapa adik-adik menyuruh adik-adik rajin belajar bukan kerana adik-adik bodoh, tetapi kerana mahu adik-adik menemui potensi adik-adik. Oleh itu, janganlah adik-adik kata, "Saya bodoh, tak pergi sekolah pun tak apa."
Adik-adik mungkin tidak pandai dalam satu-satu perkara atau subjek, tetapi mungkin dalam subjek yang lain, adik-adik jauh lebih cemerlang berbanding kawan-kawan sekelas. Jangan kecewa dengan keputusan PMR yang tidak sebaik kawan-kawan adik. Lihat apa yang terbaik. Senaraikan gred yang terbaik dan yang paling senang untuk adik-adik pelajari. Adakah adik-adik mudah nampak jalan atau konsep ilmu bagi subjek tersebut? Jika ya, masukkan subjek tersebut dalam senarai subjek yang mahu adik-adik pelajari semasa di Tingkatan 4 nanti.
Bincang dengan guru, terutamanya guru kaunseling. Guru kaunseling memiliki banyak panduan berkaitan dengan pemilihan kerjaya. Mereka sudah belajar bagaimana hendak menentukan apakah kerjaya yang paling sesuai dengan personaliti dan bakat adik-adik. Sekiranya adik-adik berminat untuk menjadi guru kaunseling atau pakar psikologi, pastikan adik-adik juga berminat dengan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam atau Moral. Beberapa elemen dalam subjek Pendidikan Moral, Sains Sukan dan Kemahiran Hidup juga ada membincangkan mengenai ilmu yang berkaitan dengan bidang psikologi dan kaunseling. Menghayati sejarah adalah penting bagi pakar psikologi.
Belajarlah bersunguh-sungguh semasa di sekolah. Kita belajar untuk mengetahui sejauh mana potensi kita dalam sesuatu bidang. Tidak semestinya kita mendapat 8A dalam PMR bermakna masa depan kita cerah. Salah memilih bidang semasa masuk ke universiti akan membawa padah dan penderitaan yang tidak terkata hebatnya.
Jadi bagi adik-adik yang sudah menghadapi PMR, bersiap sedialah. Gunakan tempoh masa yang ada ini untuk menentukan kembali apa bidang yang hendak adik-adik pelajari semasa di Tingkatan 4 nanti. Lihat gred, imbas kembali pengalaman belajar dan senaraikan subjek senang dan susah. Ingat panduan yang Cikgu Amien berikan ini.
Bagi adik-adik yang belum mengambil PMR, ingat pesan Cikgu, belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk semua subjek semasa di sekolah. Kita belajar kerana kita hendak tahu sejauh mana potensi kita, dan bidang apakah yang paling layak untuk kita. Kita belajar kerana kita mahu tahu potensi terpendam dalam diri kita. Usah fikiran kita pandai atau tidak pandai. Kita akan temui bakat sebenar kita apabila kita rajin belajar. Rajinkan diri menuntut ilmu, supaya kita tahu sejauh mana potensi kita dalam sesuatu subjek atau bidang. Apabila bakat-bakat dalam diri sudah temui, maka senaraikan bakat-bakat tersebut untuk dijadikan sebagai faktor penentu masa depan kita. Bakat itu adalah anugerah, hargailah bakat dengan sebaik-baiknya.
Selamat berjaya.
Salam hormat daripada,
Amiene Rev
|