Kematian Benazir Bhutto
Apabila seseorang itu menyertai dunia politik, maka dia juga harus bersedia untuk memikul segala kecelakaan dan kedajalan yang terkandung dalam kewajiban perjuangan. Benazir Bhutto, wanita yang berani menyahut segala malapetaka dalam dunia politik, lalu mati sebagai seorang pejuang.
Benazir Bhutto tidak mati di atas katil, sebaliknya mati di medan perjuangan. Berapa ramai antara kita yang berani memikul beban orang ramai, menjadi pejuang dalam arena politik yang terkenal dengan najis dan derita, dakwat dan darah.
Keluargamu atau masyarakatmu, apa yang kau perjuangkan? Jika mahu kehidupan bahagia, tenteram dan damai tanpa kesibukan mental, jauhi politik, tetapi politik itu sentiasa akan cuba menghidu dan memburu kehidupan setiap manusia. Walau pun kita rakyat yang neutral, yang bencikan politik, juga tidak dapat lari daripada tempiasnya.
Dunia politik adalah peperangan. Sukar membezakan benar atau salah, kerana setiap pihak mendukung cita-cita dan pendirian masing-masing. Benazir Bhutto mungkin mampu hidup, sekurang-kurangnya lebih aman dan tenteram sekiranya dia tidak melibatkan diri dalam politik. Namun dia telah memilih untuk menjadi seorang wanita yang berani, menceburi dunia yang tidak menjamin keselamatan fizikal dan masa depan.
Bagaimana pula kisah Tunku Abdul Rahman, pada suatu ketika dahulu, aman daripada politik, sebelum dia berjuang menuntut kemerdekaan? Sebelum menyerlahkan diri dalam dunia politik, kehidupan Tunku boleh dikatakan sungguh aman, bahagia dan tenteram. Setelah menggubah keputusan untuk memimpin rakyat jelata mencapai kemerdekaan, hidupnya mula dilanda pelbagai rintangan.
Seorang ahli politik, sama ada mengorbankan diri atau mempergunakan orang ramai, kesan baik dan buruk itu tetap harmonis. Setiap tindakannya sama ada mendapat sokongan atau kecaman orang ramai. Niat yang baik tidak semestinya disangka baik, niat yang jahat kadangkala terselindung tidak terbongkar. Bagaikan sekeping syiling emas di dalam segumpal najis, begitu jugalah dunia politik, tidak ada siapa pun yang tahu, di mana letaknya kebenaran.
Keliru... lagi mengelirukan.
|