Ulasan Filem Ant-Man and The Wasp
Filem Ant-Man and The Wasp adalah salah satu filem dalam rangkaian filem Adiwira Marvel seperti Avenger yang berkait-kait antara satu sama lain. Dari segi aksi, dialog dan jalan cerita, tidak dinafikan filem ini mempunyai tarikannya yang mampu menghiburkan penonton.
Biarpun begitu menarik, jalan ceritanya adalah biasa dilihat dalam kebanyakan filem. Watak utama yang menghadapi masalah dengan pihak berkuasa, terpaksa membantu orang dengan secara senyap-senyap, memiliki anak perempuan yang memahami, rakan-rakan setiawan yang sanggup berkorban melibatkan diri dalam risiko berdepan masalah dengan pihak berkuasa. Watak hero yang sanggup memaafkan dan menaruh belas kepada pihak lawan atau anti-hero, atau antagonis.
Siapakah musuh dalam cerita ini? Mungkin ketamakan seorang pedagang gelap yang menjual barang-barang teknologi atau seorang gadis yang terdesak untuk menyelamatkan nyawanya sendiri dengan merompak rakan-rakan kepada hero? Mungkin juga pihak FBI yang sentiasa memberi ancaman terhadap usaha hero dan rakan-rakannya untuk menyelesaikan misi menyelamat mereka.
Kisah-kisah dalam Ant-Man and The Wasp boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama Scott yang perlu bertahan untuk tidak keluar dari rumahnya kerana masih di dalam pengawasan pihak berkuasa namun baki tiga hari itu sangat mencabar apabila Hope meminta bantuannya dan untuk membantu Hope, Scott perlu melanggar syarat-syarat yang boleh menyebabkan dia dipenjara selama 20 tahun. Kedua, kisah Hope dan ayahnya yang ingin menyelamatkan ibunya dari alam kuantum tetapi menghadapi halangan daripada Ghost dan juga Sonny, seorang pedagang gelap yang ingin merampas dan melelong makmal berteknologi canggih mereka. Ketiga, kisah seorang profesor yang dipecat oleh Dr. Hank Pym, iaitu Bill Foster yang ingin menyelamatkan nyawa Ghost tetapi mereka perlu merampas makmal Dr. Hank Pym. Pada masa yang sama Sonny bekerjasama dengan seorang pegawai FBI untuk menangkap Hope dan Dr. Hank Pym.
Persoalan kepada kisah-kisah di atas adalah seperti berikut. Pertama, berjayakah Scott atau Ant-Man membantu Dr. Hank dan Hope menyelamatkan ibu mereka tanpa dikesan oleh pihak FBI? Kedua, berjayakah Dr. Hank dan Hope menyelamatkan Janet selepas diganggu oleh Sonny, Ghost dan pihak FBI? Ketiga, berjayakah Bill Foster menyelamatkan nyawa Ghost yang terancam kerana bencana kuantum? Inilah tiga plot utama yang memberi nafas kepada filem Ant-Man and The Wasp ini.
Tidak ada sesuatu yang kelihatan baru dalam filem Ant-Man and The Wasp, tetapi ia adalah tetap sebuah filem yang boleh ditonton dan tidak merugikan wang membeli tiket. Ada beberapa kelemahan dalam cerita ini seperti jika Scott mendakwa dia kepenatan dan terpaksa tidur selama tiga hari selepas menjadi gergasi tetapi kali ini selepas beberapa kali menjadi gegasi dia masih kelihatan bertenaga. Mungkin ada penjelasan dari segi saintifik atau fiksyen-saintifik oleh para peminat tegar filem ini nanti untuk menyokong perbezaan fakta visual tersebut.
Jangan terkejut jika The Wasp kelihatan lebih handal berbanding Ant-Man disebabkan latar belakang The Wasp itu sendiri yang lebih rapat dengan situasi kehidupan adiwira berbanding Ant-Man yang merupakan mangsa bidang terjun dalam profesion adiwira.
Bagi pengikut-pengikut filem adiwira Marvel, anda akan didedahkan dengan jawapan kenapa Ant-Man tidak dapat membantu Avengers dan sekutunya yang lain dalam memerangi tindakan berasaskan falsafah perjuangan Thanos dalam filem Infinity War.
Jalan cerita Ant-Man adalah mudah dihadam dan plotnya memang ditulis dengan mudah. Namun plot yang mudah biasanya memerlukan keringat dan kreativiti yang tinggi untuk dijadikan skrip filem yang mampu menarik penonton ke panggung. Aksi-aksi pertempuran dan kesan khas yang menarik akan membuatkan para penonton terhibur selain aksi komedi yang sekali-sekala menjadi penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Ya, itu adalah kecenderungan yang menjadi tabiat dalam kebanyakan filem Marvel di mana aksi komedi merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah. Komedi, aksi lucu boleh mendatangkan situasi tidak terjangka yang menyebabkan gangguan tumpuan dan menyelamatkan keadaan.
|