BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Februari 10, 2012

War Horse - Ulasan Filem

Ulasan Filem: War Horse
"Filem Drama Terbaik" - Amiene Rev
Pengulas: Amiene Rev (C) 2012

Jika anda pernah menonton filem Water For Elephants (2011), We Bought A Zoo (2011), Running Free - One Paw (1994), anda mungkin akan suka dengan filem War Horse. Filem Running Free pula mengisahkan seekor wolverine yang mempunyai satu tapak kaki berwarna putih yang diselamatkan oleh Garrett semasa kecil, dan kemudiannya terlepas dan tersesat ke dunia haiwan liar dan terpaksa berhempas-pulas untuk hidup sebelum berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan dunia haiwan liar. Jika filem Running Free dibantu oleh suara latar yang membantu penonton untuk memahami jalan ceritanya, filem War Horse pula mampu berdiri dengan sendirinya, menerusi tingkah laku kuda yang bernama Joey sendiri. Tidak ada naratif, tetapi sinematografi yang indah serta runut bunyi yang menyentuh hati.

Setelah menonton filem War Horse yang menyentuh hati ini, apa yang terlintas di fikiran saya ialah filem Artificial Intelligent. Kedua-dua filem arahan Steven Spielberg ini, iaitu War Horse dan A.I: Artificial Intelligent, di mana ia mengisahkan pertemuan, perpisahan dan pertemuan kembali. Filem War Horse adalah berdasarkan novel kanak-kanak yang berjudul War Horse, hasil garapan Michael Morpurgo dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1982 di United Kingdom. Kualiti filem ini amat baik. Ini adalah sebuah filem yang bakal merangkul anugerah untuk tahun ini.

Filem yang menjadikan Zaman Perang Dunia Pertama sebagai latar ini mengisahkan watak haiwan, khususnya kuda sebagai watak utama, selalunya akan disertakan dengan pemandangan yang cantik. Filem War Horse walau bagaimana pun, bukan sahaja memanfaatkan pemandangan yang cantik, tetapi turut disertakan dengan sinematografi yang menarik. Penggunaan Hukum Ketiga (Rule Of The Third) digunakan secara meluas dalam filem ini, sesuai dengan objek tunggal dan latar belakang senada.

Filem War Horse banyak bermain dengan suasana senja. Warna jingga sememangnya mempunyai kuasa yang kuat dalam menyentuh hati manusia. Warna jingga mampu menimbulkan rasa tenang, sayu, sepi dan damai. Warna jingga, coklat dan rumput yang menghijau, serta pakaian watak-watak yang kebanyakannya harmoni dengan warna-warna di dalam filem menjadikan visual di dalam filem ini tampak menarik dan menenangkan.

Kebanyakan babak dalam filem War Horse bergerak perlahan, tetapi disaratkan dengan dialog-dialog yang menarik. Muzik di dalam filem War Horse juga memainkan peranan penting dalam membantu penonton untuk menitiskan air mata. Gabungan jalan cerita yang penuh dengan semangat perjuangan untuk hidup, persahabatan, kesetiaan, kasih sayang, belas kasihan dan keikhlasan dengan runut bunyi John William menghasilkan suasana yang cukup dramatik.

Joey melalui satu peristiwa ke satu peristiwa, dari satu pihak ke satu pihak, hinggalah pada akhirnya Joey belajar melompat dan melepaskan diri dari cengkaman perang.

Joey digambarkan sebagai seekor kuda perwira, yang sanggup mengorbankan dirinya demi keselamatan kuda-kuda lain, dan akhirnya Joey menjadi faktor perdamaian antara dua buah negara yang sedang berperang, iaitu England dan Jerman.

Lakonan kuda yang bernama Joey ini memang menarik, kerana kuda ini seolah-olah berjaya menghayati situasi yang ada. Tahniah buat pelatih Joey kerana berjaya membantu Joey mewujudkan tingkah laku yang tepat dengan situasi di dalam satu-satu babak filem War Horse. Joey, si kuda kecil, seolah-olah mampu menghayati lakonannya, seolah-olah berupaya membaca skrip filem ini.

Sinopsis Filem War Horse
Sebelum para pembaca membaca sinopsis ini, perlu saya jelaskan bahawa saya bukan jenis menonton filem kerana berhibur, tetapi sebaliknya mengkaji jalan cerita, moral dan budaya dalam satu-satu karya. Saya tidak begitu peduli tentang hiburan dalam filem. Saya utamakan kualiti dan resepi dalam sesuatu filem. Saya tidak kisah jika saya terlebih dahulu sudah tahu tentang jalan cerita satu-satu filem, tetapi mungkin ada orang yang tidak suka mengetahui jalan cerita lebih awal kerana mahukan kejutan dan rasa terhibur dengan kejutan semasa menonton filem. Oleh itu, jika anda dari jenis yang sukakan kejutan tentang filem, anda tidak digalakkan membaca sinopsis ini. Sinopsis di bawah ini adalah berguna untuk diri saya dan mungkin juga kepada sesiapa yang berminat untuk melihat pandangan saya mengenai filem War Horse ini.

Filem War Horse mengisahkan Joey, seekor kuda kecil yang dibeli oleh Ted Narracott (lakonan Peter Mullan), yang bagaikan kerasukan, tertarik dengan kuda tersebut. Kuda tersebut akhirnya menjadi teman baik anaknya, Albert Narracott (lakonan Jeremy Irvine).

Demi membantu ayahnya menyelesaikan hutang sewa tanah yang mereka duduki, Albert dan Joey berusaha gigih untuk membangunkan ladang mereka. Namun, hujan lebat telah membinasakan tanaman mereka.

Tidak lama kemudian, peperangan antara England dan Jerman tercetus. Ted Narracott menjual Joey kepada seorang pegawai tentera, Kapten Nicholls (lakonan Tom Hiddleston). Albert berasa sangat sedih, namun Kapten Nicholls berjanji akan memulangkan semula kuda Albert, Joey selepas tamat peperangan.

Di kem tentera, Joey berkenalan dengan seekor kuda padi berwarna hitam yang angkuh, bernama Topthorn. Kedua-dua kuda ini saling bersaing, seperti kedua-dua tuan mereka. Joey berjaya mengalahkan Topthorn walaupun saiz badannya lebih kecil berbanding Topthorn. Ini kerana pengalaman Joey sebagai kuda pembajak menjadikannya lebih kuat berbanding kuda-kuda yang lain.

Joey tidak lama berada dalam pasukan tentera England apabila Kapten Nicholls terkorban dalam satu pertempuran. Joey dan Topthorn diselamatkan oleh dua adik-beradik berusia belasan tahun yang bertugas di bahagian perubatan tentera Jerman. Hubungan Joey dan Topthorn bersama kedua-dua adik-beradik ini juga tidak lama, selepas kedua-dua adik-beradik ini ditembak mati kerana cuba melarikan diri dari peperangan.

Joey dan Topthorn ditemui pula oleh seorang gadis biadab bernama Emelie (lakonan Celine Buckens) yang tinggal bersama datuknya (Neil Arestrup). Datuk Emelie amat menyayangi cucunya yang berstatus anak yatim piatu.Emelie cuba mengajar Joey cara-cara untuk melompat, tetapi Joey masih belum pandai melompat.

Tidak lama kemudian Joey dan Topthorn dirampas semula oleh pasukan tentera Jerman untuk dijadikan kuda pengangkut senjata berat. Hubungan Joey dan Topthorn semakin rapat. Topthorn terkorban kerana kecederaan teruk pada lututnya, dan Joey sempat mengiringi pemergian Topthorn.

Sejurus selepas itu, Joey dikejar oleh sebuah kereta kebal. Joey terperangkap, di satu sudut yang dipenuhi pagar berduri. Akhirnya Joey berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke atas pagar kereta kebal. Kemudian Joey memecut selaju-lajunya melarikan diri dari medan peperangan, melompat dari satu kubu ke satu kubu, merentasi tanah berlumpur tanpa mempedulikan pagar-pagar dawai berduri yang terlekat pada badannya.

Babak Menarik Dalam Filem War Horse
Semakin lama semakin banyak dawai berduri yang terlekat pada tubuh Joey. Joey akhirnya rebah di medan peperangan. Tidak lama kemudian, seorang tentera England bernama Colin dan seorang tentera Jerman bernama Peter menyabung nyawa untuk merentangi medan perang bagi menyelamatkan Joey. Colin melambaikan bendera putih, kedua-dua pihak tentera menangguhkan pertempuran. Colin dan Peter sama-sama berusaha untuk menyelamatkan Joey.

Pada pandangan saya, inilah babak yang paling menarik dalam filem War Horse. Dua tentera dari dua negara yang sedang berperang, bekerjasama menyelamatkan Joey, saling bertanya khabar, dan saling bertukar-tukar cerita tentang negara masing-masing. Keadaan ini menunjukkan kepada kita bahawa seperti Joey, kedua-dua tentera ini juga berperang kerana nasib, bukan kerana adanya perasaan saling benci-membenci, tetapi kerana kesetiaan kepada negara masing-masing.

Selepas menyelamatkan Joey, kedua-dua tentera bersepakat untuk menggunakan duit syiling bagi menentukan siapa yang layak memiliki Joey. Colin dari England menang. Kedua-dua tentera tersebut berjanji akan saling kunjung-mengunjungi ke kampung halaman masing-masing selepas tamat peperangan. Pada ketika ini, peperangan bagaikan tidak ada ertinya lagi.

Colin membawa pulang Joey ke kem tentera. Di sana merupakan detik pertemuan antara Colin dan Albert. Colin meminta pegawai perubatan tentera agar mengubati Joey, tetapi Joey didapati telah cedera teruk. Seorang pegawai tentera yang berpangkat meminta agar Joey ditembak mati. Berita mengejutkan ini tersebar pantas di kem tentera England.

Ketika ini mata Albert masih sedang dirawat selepas terkena gas beracun tentera Jerman. Sebaik-baik sahaja Albert mengetahui ada seekor kuda dibawa masuk ke kem, gerak hati Albert kuat mengatakan bahawa kuda itu adalah Joey. Albert memanggil Joey dengan cara yang telah diajarkannya kepada Joey. Joey terdengar dan menunjukkan reaksi. Usaha untuk menamatkan nyawa Joey tertangguh.

Albert lalu muncul dengan matanya yang dibalut dengan kain untuk mendekati Joey sambil memanggil Joey dengan teknik siulan orang India Merah. Semua orang terpegun melihat kejayaan Albert. Albert semakin yakin kuda yang berlumuran lumpur itu adalah Joey.

Pegawai perubatan tidak mahu percaya pada sebarang keajaiban, namun Albert dengan matanya yang tertutup lalu menyatakan ciri-ciri fizikal Joey; mempunyai empat pasang kaki stokin putih dan terdapat satu jalur putih pada dahinya. Para pegawai lalu mencuci keempat-empat kaki Joey, ternyata Albert benar. Pegawai perubatan masih tidak yakin, lalu mengelap dahi Joey, dan dalam keadaan masih terkejut, beliau kini percaya bahawa kuda itu ialah Joey, kepunyaan Albert Narracott. Pegawai perubatan itu berjanji akan merawat kuda itu sebaik mungkin.

Tidak lama kemudian peperangan ditamatkan. Pihak berkuasa menegaskan bahawa semua harta rampasan perang mesti dilelong. Joey bakal dilelong kerana dianggap sebagai rampasan perang. Para tentera mahu menyelamatkan Joey dari dilelong, lalu mereka semua mengumpul wang untuk diberikan kepada Albert, supaya Joey dapat kembali kepada Albert.

Semasa lelongan, datuk Emelie tampil ke hadapan dan menewaskan semua pembida Joey termasuk Albert. Joey diserahkan kepada datuk Emelie. Albert merayu kepada datuk Emelie untuk memulangkan Joey, namun datuk Emelie tidak mahu kerana baginya Joey begitu bermakna buat Emelie. Joey tahu siapa tuannya yang sebenar, Joey memberontak, melepaskan diri dari datuk Emelie dan kembali kepada Joey.
Datuk Emelie tersentak. Ternyata tanggapannya terhadap Albert salah. Pada mulanya dia menyangka bahawa Joey adalah milik Albert semata-mata selepas ditemui di medan peperangan, tetapi panji anugerah milik ayah Albert yang dijadikan Albert sebagai tangkal penyelamat nyawa Joey yang disimpan oleh datuk Emelie menjadi bukti bahawa Joey adalah kepunyaan Albert. Datuk Emelie mengalah dengan sukarela.

Albert menunggang Joey pada waktu senja, pulang ke kampung halaman. Ibu bapa Albert terpegun melihat kembalinya Joey ke kampung halaman. Cerita ini tamat dengan Joey memandang pemandangan yang jauh, pada waktu senja. Kuda yang memegang watak Joey ini memang telah melakonkan wataknya dengan amat baik. Tahniah kepada pelatih Joey.

Filem War Horse sarat dengan nilai-nilai murni. Ini adalah filem genre drama terbaik. Dialog-dialognya bersih daripada carutan dan maki-hamun. Jalan ceritanya sarat dengan inspirasi dan motivasi, serta teladan yang boleh dicontohi. Sebuah filem yang amat menyentuh hati dengan penamatan yang menggembirakan.