Mereka Seharusnya Dijadikan Contoh Artis Teladan, Bukan Dihina, Diusik atau Dipulaukan
KUALA LUMPUR: Dihina, diusik dan dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘ustazah jadi-jadian’ selain dipulau rakan, saudara-mara dan adik beradik antara cabaran kehidupan empat artis ini selepas mendekatkan diri ke jalan Allah.
Pada zaman kemuncak mereka, siapa tidak kenal Catriona Noorhayati Ross Bahrain Ross (Cat), Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge) dan Zafri Nanarudin (Zaf VE).
Mereka bukan asing dalam industri hiburan tanah air. Masing-masing pernah merasai dunia glamor dan menyemarakkan dunia lakonan dan muzik melalui genre R&B dan hip-hop hingga menjadi kegilaan ramai, terutama anak gadis.
Cat kini bergelar penceramah bebas, manakala tiga lagi artis lelaki itu menubuhkan kumpulan nasyid Al Mawlid bersama Abdullah Ahmad (Lah VE) dan Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge). Sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, keempat-empat artis ini mengambil kesempatan berkongsi cabaran dan pengalaman dalam mengharungi fasa baru dalam hidup mereka.
Begitulah petikan daripada HMETRO mengenai reaksi sesetengah manusia terhadap manusia yang cuba berubah menjadi lebih baik. Walau bagaimana pun kita semua pun sepatutnya sudah mengetahui, manusia yang baik akhlaknya tidak akan mengusik, memulaukan atau mengeji artis-artis yang mahu kembali ke jalan yang benar. Cuma manusia yang sesat, gelap hatinya sahaja yang akan mengeji, menghina dan memulaukan artis-artis yang sudah bertaubat dan menutup aurat.
Tahniah kepada artis-artis yang telah berubah menjadi lebih baik. Semoga usaha anda dapat membuka hati artis-artis lain untuk berubah kepada lebih baik dari sudut agama.
|