BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Februari 05, 2012

Karyawan Sebagai Aset Pembangunan Ekonomi Negara

Tulisan menggabungkan pendapat ringkas Amiene Rev berkenaan kepentingan karya dan juga sebagai maklum balas menyokong tulisan Nisah Haron mengenai artikelnya yang berjudul "Sastera Lahirkan Mercu Tanda Pelancongan".

Sastera selama ini dianggap mempunyai peranan besar dalam membangunkan nilai-nilai murni dan nilai-nilai jati diri sebagai warganegara Malaysia. Namun, peranan sastera sebenarnya jauh lebih hebat daripada itu. Jika diperhatikan sejak bertahun-tahun dahulu, sastera dan pelbagai bentuk karya yang lain telah lama menyokong ke arah wujudnya industri pelancongan, dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara. Taman Tema Disney atau Disneyland merupakan salah satu kejayaan besar dalam industri pelancongan.

Drama bersiri dari Korea, "Winter Sonata" yang merupakan pembukaan bagi 'demam drama Korea' beberapa tahun lalu turut membuka ruang bagi industri pelancongan di Korea untuk mewujudkan pakej pelancongan Winter Sonata. Menerusi pakej pelancongan khas itu, para peminat setia drama Winter Sonata kini mampu menghayati perasaan dan suasana di dalam drama tersebut menerusi pakej pelancongan Winter Sonata.

Suatu ketika dahulu, filem Finding Nemo telah mencetuskan fenomena baru apabila beribu-ribu peminat filem tersebut telah membeli dan memelihara ikan clown fish, dan juga beberapa ikan lain yang dijadikan sebagai watak utama dalam filem itu. Jelas di sini, bagaimana karyawan dapat membantu melariskan jualan satu-satu benda hanya menerusi karya.

Filem Ombak Rindu adalah hasil daripada novel popular Ombak Rindu. Kejayaan novel ini membantu memberi keuntungan besar kepada penerbit filem Ombak Rindu. Disebabkan filem Ombak Rindu mempunyai kualiti yang berjaya memikat penonton, hasilnya karya dalam bentuk filem itu turut membantu melariskan semula novel Ombak Rindu yang sudah diterbitkan bertahun-tahun dahulu. Ini adalah satu bentuk di mana dua bentuk karya, saling sokong-menyokong antara satu sama lain.

Jika orang-orang dari industri penulisan, industri perfileman dan industri pelancongan saling bekerjasama untuk menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian pembaca atau penonton untuk pergi ke satu-satu tempat, maka secara tidak langsung kerjasama ini boleh dianggap sebagai salah satu jasa besar terhadap penduduk setempat. Jika sebelum ini orang tidak kenal Kampung Gantong dan Pulau Belitung, sekarang menerusi novel dan filem Laskar Pelangi, dunia sudah mula buka mata.

Seorang penulis blog atau blogger juga boleh dianggap seorang karyawan. Peranan blogger dalam membantu meningkatkan ekonomi setempat menerusi tulisan-tulisan mereka juga tidak boleh dinafikan. Kerana itu kita lihat wujudnya kini pelbagai saluran iklan tempatan khusus untuk memanfaatkan hasil tulisan penulis-penulis blog sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan atau melariskan satu-satu produk seperti Google Adsense, Nuffnangs dan Innity. Tulisan positif blogger tentang sesuatu filem, novel atau apa-apa produk boleh membantu melariskan produk-produk tersebut.

Blogger mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan meningkatkan pendapatan harian penduduk setempat, bukan sekadar menghangatkan dunia hiburan dan politik semata-mata. Begitu besar sumbangan dunia penulisan dan karyawan dalam membantu memajukan negara. Bukan lagi sekadar aspek kemanusiaan, tetapi juga dari sudut material. Blogger boleh jadi seorang wira yang membantu masyarakat, dan boleh saja menjadi seorang pemusnah menerusi kritikan yang berat sebelah.