BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Januari 07, 2012

Surat Pembaca - Pelajar STPM Mahu Berhenti Sekolah

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Nama yang disiarkan juga adalah nama samaran, berdasarkan kehendak pengirim surat

Surat Pembaca: Pelajar Pra-U Mahu Berhenti Sekolah Kerana Kehilangan Kawan
Saya seorang pelajar pra-u. Tahun ni saya akan mengambil peperiksaan STPM tetapi saya rasa sangat bimbang dan takut untuk hadir. Lebih-lebih lagi saya sangat tertekan dengan keluarga saya. Selain itu, saya juga kehilangn seorang rakan seperjuangan. Dia sudah berhenti dari sekolah. Saya merasakan saya hendak berhenti sahaja dari belajar. Saya tidak ada kawan di sekolah untuk meluahakan perasan saya ini.

Nurul Yahya

Jawapan Amiene Rev: Betulkan Niat Belajar, Belajar Kerana Allah, Bukan Kerana Manusia
Terima kasih kepada saudari Nurul kerana sudi berkongsi kisah sedih saudari di sini. Pertama, saya bersimpati dengan saudari kerana hidup dalam kesunyian, tanpa kawan dan sokongan keluarga dalam masa saudari perlu belajar di Tingkatan 6. Jika saudari tidak ada kawan untuk berkongsi masalah atau meluahkan perasaan saudari, saudari boleh pergi bertemu dengan kaunselor di sekolah saudari. Kaunselor sedia membantu saudari untuk membina kembali semangat yang hilang.

Kedua, betulkan niat belajar saudari. Alangkah bagusnya jika kita dapat belajar untuk berjaya dan mendapat peluang melanjutkan pelajaran, mempelajari ilmu yang lebih tinggi, menguasai kemahiran yang dapat membantu menyenangkan diri dan keluarga? Jika kita belajar dengan niat untuk mencari keredhaan Allah, sebagai satu ibadat, maka semangat belajar itu akan sentiasa ada. Saudari cubalah sendiri.

Saya doakan agar saudari berjaya dalam hidup, dan diiringi kebahagiaan sentiasa.

Yang benar,
AMIENE REV