BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Januari 24, 2012

Surat Pembaca - Menghilangkan Rasa Penat Belajar

Surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu dari struktur ejaannya kerana pihak Duke Amiene Rev tidak suka menyiarkan ejaan-ejaan SMS. Sekiranya pembaca mahu maklum balas yang cepat daripada pihak Duke Amiene Rev, pastikan anda menulis dalam Bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Nama yang disiarkan juga adalah nama samaran, berdasarkan kehendak pengirim surat.

Surat Pembaca: Masalah Tentang Pelajaran
Hai. Saya ingin menceritakan masalah saya tentang pelajaran. Saya pelajar yang akan mengambil PMR pada tahun ini, jadi saya selalu sampai di rumah pada pukul 4-5 petang sehingga tidak dapat mengikuti jadual yang disediakan untuk belajar kerana terlalu letih. Saya balik dari sekolah pada pukul 5.00 petang kerana ada kelas tambahan. Apakah cara untuk saya belajar pada masa kini? Adakah saya masih mengikuti jadual yang disediakan?

Winnie Girl

Jawapan Amiene Rev: Susun Semula Jadual Ikut Kemampuan Diri
Pertama, tahniah saya ucapkan kepada Winnie kerana memiliki semangat untuk belajar dan membuat jadual waktu belajar sendiri biarpun penat dengan tugas. Ini menunjukkan bahawa Winnie seorang anak yang tahu menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru, serta mempunyai kesungguhan untuk masa depan yang cerah.

Waktu selepas pukul 5.00 petang adalah waktu beriadah, bersukan atau waktu untuk menenangkan fikiran. Belajar dalam keadaan penat tidak akan memberi kesan yang baik. Gunakan waktu sekitar pukul 5.00-6.30 petang ini untuk merehatkan minda. Teh hijau dapat membantu melegakan tekanan belajar dan kepenatan. Pastikan Winnie tidur lebih awal iaitu sebelum pukul 11.00 malam. Jadual waktu Winnie masih boleh diubah. Pastikan ada waktu rehat yang cukup. Pengambilan Vitamin B Kompleks juga membantu, namun ini memerlukan preskripsi dan panduan daripada pakar perubatan. Kurma, madu dan kismis adalah pilihan terbaik.

Sekiranya Winnie masih kepenatan. Mungkin ada baiknya Winnie tidur sekejap sekitar pukul 8.00 dan bangun semula pada pukul 8.30 untuk mengulangkaji pelajaran. Masa belajar boleh dilanjutkan selama dua setengah. Pastikan pada waktu tidur, Winnie tidur secukupnya. Minumlah air untuk melancarkan perjalanan darah bagi membawa masuk lebih banyak oksigen ke dalam darah. Dengan ini badan akan terasa lebih segar.

Yang benar,
AMIENE REV