BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Mei 09, 2010

Auto Update: Tidak Pernah Cuti Cuma Pernah Rehat

Sejak beberapa minggu lepas, aku tidak pernah cuti daripada bekerja. Sama ada kerja rasmi atau pun tidak rasmi, semuanya menyumbang ke arah kerjayaku yang rasmi. Kesuntukan masa pada waktu kerja rasmi, menyebabkan aku rasa aku harus melakukan kerja-kerja di luar waktu rasmi untuk menyokong kerja-kerja rasmi.

Aku cuma dapat rehat, tetapi rehatku juga masih dibayangi kerja-kerja rasmi. Pendek kata, aku tidak pernah cuti, cuma pernah rehat. Boleh dikatakan, 99.99 peratus kehidupanku kini adalah kerjayaku. Pekerjaanku sudah menjadi kehidupanku.

Aku banyak mendengar komen daripada teman-teman, bunyinya lebih kurang begini: "Adakah kamu tidak memiliki kehidupan lain selain daripada bekerja untuk kerjaya kamu?"

Aku cuma ada satu jawapan, dan jawapan ini merupakan kata-kata yang pernah diberikan oleh pensyarahku kepadaku kepada pensyarah-pensyarah yang lain beberapa tahun yang lepas, "Amien adalah seorang yang sangat cintakan dunia pendidikan."

Dan menurut ayahandaku, namaku sendiri bermaksud: "Pemimpin Berilmu."

Kini aku perlu membuat satu keputusan besar, untuk masa depanku. Mengikut apa yang diberitahu daripada kitab Tuhan, pada masa akan datang, akan semakin ramai golongan pandai dan berpelajaran tinggi yang biadab akan menguasai muka bumi. Mereka akan menghapuskan kebenaran dan menegakkan kegelapan, penyelewengan, korupsi, penindasan dan kemungkaran.

Aku sudah memilih pihak mana yang aku harus sertai, namun kini, apa yang aku perlu adalah rakan seperjuangan untuk memulakan perjuangan ini. Menentang kebiadaban manusia yang pandai, kerana aku percaya seperti apa yang akan dikatakan oleh kitab Tuhan, pada suatu hari nanti, kemenangan akan berpihak kepada pihak yang benar, biarpun sebelum sampai saat itu, kegelapan akan kelihatan seperti sudah menang, kegelapan akan kelihatan seperti kebenaran.

Aku mengerti, semua ini adalah ujian untuk melihat hati, sama ada dapat membezakan antara benar dan salah dalam dunia yang penuh dengan ketidakadilan dan penyelewengan kini. Perjuangan pertama aku adalah, menentang kebiadaban.