BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Mei 16, 2010

Selamat Hari Guru 2010 - Kalau Dulu-dulu

Saya masih ingat, semasa zaman persekolahan saya dahulu, guru-gurunya jauh berbeza dengan guru-guru yang saya lihat pada hari ini. Saya juga masih ingat cerita-cerita ibu bapa, orang-orang lama mengenai guru-guru pada zaman dahulu.

Kalau dulu-dulu, tidak hafal sifir dianggap dosa besar. Pelajar dulu-dulu akan teruk didenda kalau sudah umur 11 tahun pun masih tidak dapat menghafal sifir. Kalau direnungkan kembali, ada benarnya. Kalau pelajar masih gagal menghafal sifir, mereka akan menyusahkan guru-guru pada darjah atau tingkatan yang seterusnya. Benda yang mudah menjadi susah. Rugi dari segi masa. Perhatian guru terhadap pelajar-pelajar lain juga semakin terhad.

Kalau dulu-dulu, guru-guru akan mengeluarkan kata-kata yang keras, pedas dan memang mampu memecahkan hati pelajar yang rapuh supaya pelajar berubah. Kalau direnungkan, memang betul, sebab dengan cara itu, pelajar-pelajarnya lebih berdikari, lebih berorientasikan makna hidup, lebih tahu mengenang budi dan kemudiannya memberi kebaikan kepada sekalian manusia.

Kalau zaman dulu, guru sangat menekankan adab. Sekitar era 90-an dahulu, ramai pendidik mula bimbang dengan budaya barat yang kian mencengkam adab orang-orang tempatan. Budaya serba biadab kini menular dan semakin menular sehingga dipertahankan pula oleh penyokong-penyokong budaya biadab, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kalau pelajar dulu, biarpun disebat, ditengking, dimarahi, dikritik seteruk mana pun, mereka akan masih menghormati guru dan cuba sedaya-upaya untuk mengenang dan membalas jasa guru mereka.

Dukacitanya pelajar hari ini, jika diperlakukan sedemikian, maka mereka tidak lagi akan mengenang budi guru. Benarlah, kiamat makin dekat. Ramai pelajar kini, begitu mudah menyalahkan guru-guru. apabila guru bersikap tegas dan keras terhadap mereka. Ada pelajar yang tidak dapat menerima teguran dan kritikan guru-guru. Ada pelajar yang tergamak memburuk-burukkan guru-guru mereka.

Sudah musnah nilai-nilai murni dalam diri mereka. Apa yang mereka inginkan cuma kecemerlangan akademik, dan kejayaan dunia. Suatu hari nanti, golongan ini pasti musnah dan binasa. Sayang sekali, ketika itu, sudah terlambat untuk mereka kembali meminta ampun dan maaf kepada guru-guru yang telah mereka sakiti hatinya. Tuhan tidak lagi meredhai mereka, kerana penderitaan, penghinaan dan penganiayaan yang mereka lakukan kepada guru mereka, biarpun telah ditegur berkali-kali sebelumnya.

Apabila guru menegur kamu, dan kamu memburuk-burukkan guru kamu, lalu di mana harga diri kamu sebagai seorang pelajar yang pergi menuntut ilmu dengan gurumu? Semata-mata kamu tidak puas hati dengan gurumu, maka segala budinya enggan kamu kenang, lalu kamu sisihkan gurumu, lalu kamu pulaukan gurumu, lalu kamu menderhakainya kerana beliau (gurumu) tidak menyenangkanmu.

Seorang pelajar, akan tetap terus menyapa dan memohon maaf biarpun beribu-ribu kali tidak dilayan oleh gurunya, kerana biarpun seberapa teruk pun seorang guru itu, dia tetap adalah seorang guru yang telah mengajarmu sekurang-kurangnya satu perkara yang membantu mempermudahkan kamu pada kemudian hari.

Juga, jika guru mengenang budi gurunya yang terdahulu, kemudian guru itu mengajar kamu, tetapi kamu pula tidak mengenang jasa gurumu? Sesungguhnya kamu berdosa besar terhadap gurumu dan guru kepada gurumu, kerana kamu mengkhianati mereka.

Dosa kamu kerana memburuk-burukkan seorang guru kerana kamu tidak menyukai guru tersebut, adakah mampu kamu tanggung ketika di akhirat kelak? Sesungguhnya api neraka tidak akan memanjai kamu, seperti ibu bapamu, atau guru-gurumu terhadap kamu.